Selepas Sidang Kemuncak ASEAN-Australia ke-6, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea (ROK) ke-27 bersama para pemimpin ASEAN yang lain.

Pada Sidang Kemuncak tersebut, Baginda bertitah dengan pandangan bahawa Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Republik Korea (ROK) mampu menyokong kepelbagaian ekonomi dan mewujudkan sumber pendapatan yang mampan. Baginda menekankan bahawa kekuatan teknologi dan industri kreatif Republik Korea (ROK) menawarkan peluang kepada golongan belia dan perniagaan kecil di ASEAN untuk berkembang maju dalam ekonomi yang sedang berubah. 

Baginda bertitah Kecerdasan Buatan (AI) dapat memperkemas tugas-tugas pentadbiran dan meningkatkan kecekapan bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berdepan kekurangan tenaga kerja serta peningkatan kos operasi. Baginda juga bertitah bahawa Inisiatif ASEAN-R.O.K. A.I. Companionship dapat memperkukuh hubungan antara perniagaan kecil dengan syarikat teknologi bagi mendapatkan akses kepada peralatan mampu milik, latihan praktikal serta sokongan berterusan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka.

Baginda bertitah menekankan bahawa industri kreatif merupakan satu lagi saluran penting bagi pertumbuhan yang berteraskan warisan budaya dan bakat, di samping menggalakkan bimbingan, penerbitan bersama dan akses pasaran yang lebih luas untuk penggiat kreatif muda melalui Inisiatif Industri Budaya dan Kreatif ASEANROK.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto