Titah KDYMM Semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 kali Pertama bagi tahun 2023

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMASA MESYUARAT MAJLIS TERTINGGI WAWASAN BRUNEI 2035 
KALI PERTAMA 

BAGI TAHUN 2023

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana mengizinkan kita dapat duduk bersama di Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 kali Pertama bagi tahun 2023 pada hari ini. 

Beta terlebih dahulu merakamkan penghargaan kepada Paduka Anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri di atas pimpinan khidmat bakti tenaga dan buah fikiran yang telah disumbangkan selama menjadi Pengerusi Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035. 

Di kesempatan ini juga, Beta ingin mengucapkan tahniah kepada semua ahli di atas pelantikan semula dan pelantikan baru dalam Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035. Begitu juga Beta merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mantan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 di atas sumbangan-sumbangan yang telah diberikan. 

Pengemaskinian keahlian Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 adalah merupakan wadah strategik yang Beta harapkan akan menjadikan majlis sebagai landasan utama Whole of Government. Dengan adanya keahlian semua Menteri-Menteri Kabinet diharapkan akan dapat mencetuskan pemikiran-pemikiran besar serta transformatif ke atas menjana kesejahteraan rakyat dan penduduk serta memastikan kemakmuran negara dipertahankan. 

Beta menaruh harapan yang tinggi kepada ahli-ahli yang baru dilantik untuk memberikan sokongan padu bagi menjayakan Wawasan Brunei 2035. Wawasan Brunei 2035 adalah merupakan aspirasi Beta sendiri bagi melihat pembangunan negara berjalan lancar. Pada awalnya Wawasan diterbitkan melalui Badan Perencana Kemajuan Jangka Panjang bagi merancang pembangunan negara dalam tempoh 30 tahun ke hadapan. Beta difahamkan pelbagai usaha sudahpun dijalankan bagi merealisasikan Wawasan 2035 ini. Namun persoalannya, sejauh manakah usaha telah berhasil sedang tempoh cuma tinggal 12 tahun sahaja lagi? 

Dalam keadaan dunia sangat sukar diramal, maka Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali dari menghadapi kesan-kesan global seperti konflik geopolitik, penularan wabak Coronavirus dan situasi ekonomi tidak menentu. 

Ini semua sudah setentunya memaksa kita untuk berfikir lebih fokus kepada pemeriksaan dasar dan kemampuan. Perlu diingat, pembentukkan asal Wawasan Brunei berlaku dalam satu masa yang berbeza dari masa sekarang. Oleh itu untuk melihatnya sentiasa relevan dan unggul maka kita perlu memastikan apa yang dirancang akan tetap kekal sebagai sasaran. 

Maka disinilah pentingnya Wawasan Brunei 2035 diberikan perhatian sewajarnya dalam kita mengharungi cabaran-cabaran sukar yang dibawa oleh arus perubahan masa yang sangat pesat dengan lebih fokus kepada pencapaian matlamat-matlamat yang dirancang. 

Kita tidak mahu Wawasan Brunei 2035 hanya tinggal retorik sahaja sebagai satu angan-angan kosong, tetapi kita mahu ia mesti direalisasikan sepenuhnya sebagai agenda utama pembangunan negara. 

Beta mengambil maklum terhadap usaha-usaha mengukuhkan perlaksanaan strategik dan pelan-pelan tindakan yang menjurus kepada mencapai Matlamat- Matlamat Utama Wawasan iaitu melalui Manpower Blueprint bagi Matlamat Pertama yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan dan Manpower Planning and Employment Council (MPEC); Sosial Blueprint bagi Matlamat Kedua yang diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS) dan Economic Blueprint bagi Matlamat Ketiga yang diterajui oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi. 

Beta berharap dengan adanya Blueprint-Blueprint ini negara akan dapat mentransformasikan tindakan termasuk pensejajaran dengan keperluan projek- projek Rancangan Kemajuan Negara. 

Beta juga berharap permesyuaratan di peringkat Jawatankuasa Kerja Wawasan 2035 akan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai landasan Whole of Government yang menyatukan isu-isu termasuk juga penyelesaian sebarang permasalahan. 

Wawasan Brunei 2035 adalah merupakan harapan tinggi rakyat dan penduduk negara ini untuk melihat tindakan-tindakan yang diambil melalui Majlis Tertinggi ini akan lebih fokus kepada kepentingan rakyat, “people-centered”. 

Untuk ini kita nampak masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan setakat perlaksanaan inisiatif-inisiatif sahaja belumlah mencukupi. Jika tidak diikut oleh penelitian-penelitian terhadap inisiatif-inisiatif tersebut, bagaimana hasil atau keberkesanan ia juga diharapkan untuk melihat lebih jauh lagi ke hadapan semua perancangan yang mampu membawa negara kepada perubahan-perubahan besar yang di tunggu-tunggu. 

Oleh itu semua pihak tidaklah boleh goyang kaki melainkan sama-sama mesti serentak menggandakan usaha ke arah mencapai semua sasaran yang telah ditetapkan. Pihak pelaksana tidak boleh lemah atau semangat sejuk untuk menghadapi sebarang cabaran. Sangat mustahak untuk diingat bahawa sebarang usaha atau kerja untuk mengurus negara dan kerajaan memang tidak sunyi dari cabaran. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

 

Titah KDYMM sempena Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke-21

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
UPACARA SOVEREIGN’S PARADE
PENGAMBILAN KE DUA PULUH SATU
SEKOLAH PEGAWAI KADET,
AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

PADA HARI KHAMIS
04 REJAB 1444 / 26 JANUARI 2023

BERTEMPAT
PADANG KAWAD AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
KAMPUNG TANAH JAMBU
 
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Pujian dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat hadhir di Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke Dua Puluh Satu (21), Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada pagi ini. Beta mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pegawai-Pegawai Kadet di atas pertunjukan perbarisan yang penuh semangat sebentar tadi.

Seramai 64 orang Pegawai Kadet yang terdiri daripada 45 Lelaki dan 19 Wanita telah berjaya menjalani latihan Pegawai Kadet selama 48 minggu. Ini bererti, seramai 752 orang pemimpin tentera telahpun berjaya dilahirkan sejak penubuhan Sekolah Pegawai Kadet 14 tahun yang lalu. Beta turut berbangga di atas pencapaian ini, sambil tidak lupa merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para ibu-bapa dan penjaga diatas dorongan dan sokongan mereka untuk kejayaan latihan ini.

Pada pengambilan kali ini, Beta gembira dengan langkah meningkatkan kredibiliti dan kapasiti pembelajaran Sekolah Pegawai Kadet iaitu seperti yang dapat dilihat melalui penglibatan latihan luar negeri ke Republik Singapura seperti Joint Urban Operations bersama Singapore Armed Forces Training Institute-Military Institute (SAFTI-MI), yang buat pertama kalinya melibatkan semua perkhidmatan Pegawai Kadet Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara. Skop Sekolah Pegawai Kadet juga turut dikembangkan lagi penglibatannya dengan mengikuti International Army Cadet Week bersama Republik Rakyat China dan SAFTI-MI International Cadet Conference di Republik Singapura.

Dalam usaha untuk mengembangkan pembelajaran dan menghasilkan Pegawai Tentera yang berpengetahuan tinggi, maka Akademi Pertahanan memang perlu untuk membuat kolaborasi dengan universiti dan institusi pendidikan tentera, samada dari luar negara mahupun tempatan sebagai academic provider kepada Akademi Pertahanan. Selain bagi tujuan melahirkan pemimpin tentera yang kredibel, komitmen seumpama ini juga adalah mampu untuk menaikkan lagi taraf akreditasi pendidikan Akademi Pertahanan sehingga sebanding dengan institusi pendidikan tentera luar negara.

Untuk melahirkan pemimpin tentera yang kredibel, RBAF Leadershif Model adalah memainkan peranan utama sebagai pembentuk watak atau karakter yang kita kehendaki. Kita hanya mahukan pemimpin-pemimpin yang berwatak atau berkarakter kebruneian semata-​­mata, dengan ditambah lagi memiliki sifat-sifat jujur, amanah, takwa, berani, setia dan profesional. Inilah Model Kepimpinan yang sangat­-​sangat didambakan oleh Brunei.

Berpandukan kepada Model Kepimpinan seperti inilah, insya Allah, tapisan pemilihan bagi bakal Pegawai ABDB di Sekolah Pegawai Kadet akan lebih terperinci lagi dilaksanakan, dengan mengambil kira juga standard pembelajaran dan mutu latihan hendaklah sentiasa ditahap yang tinggi dan tidak berkompromi dengan apa-apa jua perkara yang boleh menjejaskan mutu latihan.

Beta mengambil maklum, bahawa mulai Pengambilan Ke Dua Puluh Dua (22) pada tahun 2023 ini, Sekolah Pegawai Kadet buat julung kalinya akan menerima kemasukan Pegawai Kadet dari luar negara. Ini selain dapat meningkatkan hubungan diplomasi pertahanan, kehadhiran Pegawai Kadet luar negara juga akan memberikan nilai tambah dan pengiktirafan terhadap Sekolah Pegawai Kadet kita sebagai setanding dengan Sekolah Pegawai Kadet luar negara.

Untuk akhirnya, Beta sekali lagi mengulangi ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Pegawai Kadet yang telah berjaya menamatkan latihan mereka. Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan kepada Komandan Akademi Pertahanan, Pegawai Pemerintah, Pegawai-Pegawai Colour Sergeant dan Jurulatih Sekolah Pegawai Kadet diatas usaha mereka melatih dan mendidik Pegawai-Pegawai Kadet. Semoga Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan terus berkembang maju dan sentiasa didalam pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala, Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan ini mengurniakan Tauliah sebagai Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada Enam Puluh Empat (64) Pegawai Kadet Pengambilan Kedua Puluh Satu (21).

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Di Majlis Bersama Rakyat Dan Penduduk Negara Brunei Darussalam Yang Berada Di United Kingdom Dan Ireland

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN

 

DI MAJLIS BERSAMA RAKYAT
DAN PENDUDUK NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
YANG BERADA DI UNITED KINGDOM DAN IRELAND

 

PADA:
24 JAMADILAWAL 1444 / 18 DISEMBER 2022

 ​

TEM​​PAT:
LONDON UNITED KINGDOM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem,

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta merafa’kan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua, dapatlah Beta bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland, terutama para pelajar, pegawai-pegawai Kerajaan yang bertugas di sini dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.​

Majlis ini sangat bermakna kerana ianya mencerminkan perpaduan erat yang dibina di kalangan penduduk dan rakyat Beta, dimanapun mereka berada, terutama setelah dunia bergelut dengan pandemik coronavirus. Alhamdulillah, kini Beta dapat bersua-muka dan mengetahui secara dekat perkembangan, kemaslahatan dan kesejahteraan para penduduk dan rakyat Beta, khasnya para pelajar yang sedang mengikuti pengajian mereka di sini.

Beta sedia maklum, bahawa para pelajar juga ada yang dijangkiti virus ini, dan Beta gembira mengetahui, keadaan mereka yang dijangkiti itu cuma ditahap ringan sahaja dan telah sembuh dalam tempoh yang singkat.

Dalam hubungan ini, Beta ingin mengingatkan, supaya para pelajar terus sahaja berjaga-jaga dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan, walaupun telah menerima vaksinasi sepenuhnya.

Beta memahami, bahawa COVID-19, sedikit sebanyak telah memberikan kesan ke atas pembelajaran dan proses penyelidikan para pelajar sekalian. Namun Beta tetap yakin, para pelajar akan terus cekal, tabah, gigih dan resilient dalam menempuh cabaran ini.

Perlu diingat oleh semua golongan pelajar, bahawa pendidikan adalah kunci utama untuk memacu pembangunan negara, kerana pendidikanlah yang menentukan sumber manusia menjadi nadi penggerak kepada kemajuan. Kerana itu, Kerajaan Beta akan terus menyediakan peluang untuk para pelajar mengikuti pengajian melalui pelbagai skim biasiswa. Gunakan dan rebutlah peluang ini dengan sebaiknya.

Dalam pada itu, disamping giat menimba ilmu, Beta juga tidak jemu-jemu mengingatkan, supaya para pelajar hendaklah terus peka memelihara identiti kebruneian dimana sahaja mereka berada. Kita ‘Orang Brunei’ tetap Orang Brunei dengan calaknya pula ialah MIB, Melayu Islam Beraja.

Supaya para pelajar tetap berhias dengan iman dan sifat takwa, maka Beta sangat menggalakkan supaya program bimbingan Al-Qur’an dan ugama yang dilaksanakan oleh pihak berkenaan bagi pelajar-pelajar yang menuntut di luar negara. Ini penting, sebagai kewajipan melengkapi diri pelajar-pelajar dengan nilai-nilai seimbang, duniawi dan ukhrawi.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendoakan, semoga semua pelajar dan pegawai-pegawai yang bertugas di sini sentiasa dalam keadaan baik-baik belaka, sejahtera dan maju serta berada di bawah ‘inayah dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala jua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-10 Universiti Teknologi Brunei (UTB)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-10
UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI
(UTB)
 
PADA HARI ISNIN
08HB. SAFAR 1444
05HB. SEPTEMBER 2022
 
TEMPAT:
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadhir ke Majlis Konvokesyen Kali Ke-10 Universiti Teknologi Brunei (UTB) pada hari ini.

Dikesempatan ini, Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Semoga kejayaan ini akan jadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang secara konsisten mendorong para graduan sehingga beroleh kejayaan.

Beta juga merakamkan ucapan syabas di atas kejayaan UTB meraih kedudukan 340 di QS World University Rankings, kedudukan 85 di Asia dan 16 di Asia Tenggara. Manakala di antara universiti-universiti Kejuruteraan dan Teknologi di Asia Tenggara, UTB berada di tangga ke lima (5). Kejayaan ini menjadi bukti bahawa UTB mampu bersaing di rantau walaupun masih muda dalam arena antarabangsa.

UTB dilihat masih ada peluang untuk memperbaiki kedudukannya dengan menyusun semula strategi bagi menaikkan reputasi akademiknya, terutama dalam bidang penyelidikan. Sehubungan itu, Beta difahamkan bahawa UTB sedang giat memperkenalkan projek-­projek penyelidikan terkini yang sejajar dengan kepentingan negara.

Beta gembira, UTB telahpun memulakan projek penyelidikannya bersama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, dalam Penanaman Padi Menegak atau Vertical Rice Farming yang berintegrasikan teknologi Internet of Things yang inovatif. Selain itu, pada tahun 2021 penerbitan kertas-kertas penyelidikan dari staf akademik UTB telah meningkat dan terus menampakkan perkembangan positif pada tahun 2022. Beta berharap perkembangan positif ini akan terus dikekalkan.

Menyentuh mengenai pandemik Coronavirus, Beta telah mendapati kesan positif pandemik terhadap transformasi digital di institusi-institusi pengajian tinggi kita, yang menyaksikan pembelajaran dan pengajaran telah dijalankan dalam talian secara sepenuhnya. Lalu berikutnya, Kerajaan Beta pun menyediakan infrastruktur internet jalur lebar yang pantas, untuk tujuan tersebut.

Beta difahamkan bahawa pada masa ini, pembelajaran dan pengajaran di UTB diteruskan dalam pelbagai kaedah, termasuk secara bersemuka, di dalam talian dan secara hybrid. Pengalaman ini boleh dijadikan sandaran untuk sentiasa adaptable dan resilient dalam menempuh cabaran serupa, di mana konsep Pandemic Proof University of the Future harus dipertimbangkan.

Beta juga difahamkan bahawa UTB akan menawarkan Postgradute Micro-credentials pada tahun akademik 2022-2023 ini, yang akan disasarkan kepada para profesional yang bekerja dan graduan-graduan baru. Program-program ini disifatkan sebagai Personalised Learners’ Journey, di mana para pelajar setelah tamat, akan berpeluang menerima Sijil, Diploma atau Ijazah Sarjana dalam tempoh masa yang fleksibel. Beta amat gembira dengan perkembangan ini.

Akhirnya, Beta merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan di atas segala sumbangan dan khidmat mereka. Beta berdo’a semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan memberkati segala usaha kita dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​