Titah KDYMM sempena Sambutan Isra’ dan Mi’raj Peringkat Negara Tahun 1443H / 2022M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA
SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ
PERINGKAT NEGARA
TAHUN 1443H / 2022M
  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Kita bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, kita dapat lagi memperingati peristiwa agung yang terjadi kepada junjungan besar kita Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam iaitu peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah merupakan kejadian luar biasa yang berlaku keatas Nabi kita Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Bagi orang-orang yang beriman peristiwa ini tidak dilihat dengan logik akal, tetapi dengan mata hati dan keimanan kepada Allah Subhanahu Wata’ala yang berfirman dalam Surah al-Isra ayat 1, tafsirnya:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haraam ke Masjidil Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Adapun matlamat utama dari peristiwa ini ialah untuk menerima sembahyang lima waktu daripada Allah. Perintah sembahyang disyari’atkan secara langsung oleh Allah kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tanpa sebarang perantaraan. Inilah hebat dan istimewanya sembahyang itu.

Tidak syak lagi, sembahyang adalah tali penghubung diantara Al-Khaliq dan hamba-Nya. Maka akan kuatlah hubungan itu dengan melakukan sembahyang.

Oleh itu diwajibkan sembahyang itu sebagai ibadat utama didalam kehidupan kita, sebagai cara untuk menjaga hubungan ini biar ia terus kekal dan kukuh sehingga tiada putus-putus.

Dengan sembahyang, Allah akan mengurniakan keamanan, ketenangan, kesihatan dan kebahagiaan. Ini, dapat dikesan dari firman Allah dalam Surah Al-‘Ankabut ayat 45, tafsirnya:

“Baca serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Qur’an, dan dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah (terutama dengan melakukan sembahyang) itu adalah lebih besar (faedah dan kesannya) dan Allah Maha Mengetahui akan apa-apa jua yang kamu kerjakan.”

Ayat ini adalah isyarat untuk kita memahami bahawa, ibadat sembahyang adalah segala-galanya yang mampu untuk membersihkan kita daripada mungkar.

Apakah ada lagi selain ini yang lebih sempurna?

Demikian itulah dengan sembahyang. Ia adalah ‘kubu’ untuk membentengi kita daripada mungkar. Manakala seseorang itu terselamat daripada mungkar, maka itulah harapan tertinggi baginya untuk meraih Syurga Allah Ta’ala.

Kerana matlamat yang suci inilah, Kerajaan Beta mengambil sikap tegas menyediakan sistem persekolahan ‘wajib ugama’. Kerana Beta tidak mahu, walau seorangpun dari rakyat muslim di negara ini yang tidak sembahyang.

Beta akan merasa bahagia, jika semua kita orang Islam menunaikan sembahyang. Kerana Sembahyang adalah Tiang Ugama, jika ia ditinggalkan, bererti kita meroboh ugama.

Beta berharap, pihak-pihak berkenaan yang dipertanggung-jawabkan untuk mengendalikan hal ehwal pendidikan, hendaklah tidak mengabaikan perkara ini. Kerana inilah tugas asasi diantara lain-lain tugas yang ada. Ia adalah ‘amanah’ tertinggi untuk ditunaikan.

Semua orang tidak boleh lari dari kewajipan ini. Para guru, ibu bapa dan malah Kerajaan adalah sama-sama bertanggungjawab untuk memastikan ibadat ini benar-benar dihayati. Apabila sudah berlaku demikian, maka insya Allah, berkat dan rahmat akan turun kepada Brunei dan kepada kita semua.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

 

Titah KDYMM sempena Majlis Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Ke-18 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) 2022

TITAH

 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS PEMBUKAAN PERSIDANGAN
MUSIM PERMESYUARATAN KE LAPAN BELAS
MAJLIS MESYUARAT NEGARA (MMN)
2022
  
PADA HARI KHAMIS
23HB. REJAB 1443
24HB FEBRUARI 2022
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Kita bersyukur kerana dapat berkumpul pada pagi ini untuk menghadhiri Majlis Pembukaan Persidangan Bagi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke Lapan Belas (18) Majlis Mesyuarat Negara.

Majlis Mesyuarat Negara, sebagaimana pernah Beta titahkan, adalah merupakan wadah strategik untuk membahaskan perkara-perkara yang berkebajikan untuk rakyat dan negara.

Persidangan Majlis pada kali ini, akan membincangkan Rang Belanjawan Negara Tahun kewangan 2022/2023. Rang ini telahpun ditunduki bersama-sama dengan Kementerian-Kementerian berkenaan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Belanjawan Negara. Oleh itu, semua projek yang disenaraikan sudah tentu mendokong Perancangan Strategik setiap Kementerian dan Jabatan yang berkenaan.

Beta ingin mengingatkan bahawa kewangan negara hendaklah dikendalikan dengan berhemah dan berdisiplin. Setiap Pegawai Pengawal yang dilantik hendaklah memahami perkara ini, bahawa mereka diminta untuk mematuhi peraturan-peraturan kewangan yang ada, tidak menggunakan kuasa berbelanja secara sewenang-wenang. Luruskanlah tadbir urus masing-masing mengikut keutamaan, keperluan, tidak membazir dan dilaksanakan dengan teratur.

Mengenai Peraturan Kewangan, Beta telahpun memperkenankan pindaan ke atas Perintah Perlembagaan (Prosedur Kewangan) (Pindaan) 2022 dan Peraturan-Peraturan Kewangan 2022 yang akan mula berkuatkuasa pada 1 haribulan April 2022.

Sedikit mengenai isu Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP), Alhamdulillah Beta mengambil maklum bahawa kajian telahpun selesai dibuat oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan Kerjasama Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan insya Allah perlaksanaan penuh akan bermula pada tahun 2023. Dalam pada itu, Beta sukacita menekankan bahawa segala persiapan sebelum perlaksanaannya hendaklah dilaksanakan dengan teratur, antaranya pindaan kepada Akta, perubahan kepada sistem teknologi maklumat dan termasuk pemberigaan. Apa yang penting bagi mereka yang terlibat dalam skim ini ialah, untuk memahami berkenaan dengan skim persaraan baru yang dimaksudkan.

Rancangan Kemajuan Negara Ke Sebelas (11) akan berakhir pada Tahun Kewangan 2022/2023. Ini bererti, Rancangan Kemajuan Negara ke Dua Belas (12) akan bermula pada bulan April 2023, dimana pada masa ini Sekretariat Rancangan Kemajuan Negara di Kementerian Kewangan dan Ekonomi sedang giat menyediakan peta jalan bagi projek-projek yang akan dimasukkan ke dalam Rancangan Kemajuan Negara ke Dua Belas (12) nanti. Peta jalan ini menerapkan kaedah Whole of Government yang melibatkan semua Kementerian, sebagai usaha untuk memastikan Wawasan Negara 2035 tercapai.

Sejak gelombang kedua wabak koronavirus melanda negara ini, Kerajaan Beta telah menghulurkan bantuan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, dengan tujuan untuk mengurangkan pekerja-pekerja diberhentikan. Manakala bagi golongan pekerja sektor swasta yang terkesan pula, bantuan kewangan juga dihulurkan untuk kelangsungan hidup seharian mereka.

Antara perkara yang menjadi pengajaran berikutan penularan wabak ini ialah mengenai jaminan makanan (food security). Berikutan dengan beberapa sekatan perjalanan yang masih dilaksanakan oleh sebahagian negara, maka langkah ini sedikit sebanyak telah menjejaskan kemasukan barang-barang makanan dan sekaligus menjadikan harga barangan dan kadar inflasi tinggi.

Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali dari menerima kesan yang sama. Namun alhamdulillah, Beta difahamkan, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik di Kementerian Kewangan dan Ekonomi sedang aktif melaksanakan tindakan pemantauan harga, sebagai langkah memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan pada paras yang tidak dibenarkan.

Semua orang tahu, bahawa pendapatan negara masih bergantung kepada hasil Minyak dan Gas. Namun usaha-usaha mengembangkan ekonomi bagi mengurangkan kebergantungan ini, telahpun mula menampakkan hasilnya, berupa jumlah export Refined Fuel melalui projek Pelaburan Langsung Asing dari bulan Januari 2021 hingga November 2021 bernilai USD 4.9 bilion. Di samping itu juga, projek Brunei Fertilizer Industry telah mula mengeksport 6,200 ton metrik baja Urea pada 3 haribulan Februari 2022.

Dengan kemasukan Pelabur Langsung Asing ke negara ini, sudah setentunya akan membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada orang-orang dan syarikat-syarikat tempatan. Ini semua memberi faedah signifikan kepada negara, termasuk menambahkan hasil pendapatan.

Sementara itu, usaha meningkatkan sara diri dalam sektor pertanian, agri-makanan perikanan dan ternakan sedang diaktifkan. Beta mengambil maklum bahawa perkara ini sedang dilaksanakan oleh Kementerian berkenaan dengan meningkatkan keluaran dari sektor pertanian dan perikanan. Pengeluaran beras tempatan pada khususnya, juga sudah mula menampakkan hasilnya dengan produktiviti peningkatan kapasiti rice milling. Insya Allah dengan terlaksananya projek ini nanti akan membantu para petani untuk lebih fokus kepada penanaman padi masing-masing.

Akhirnya, Beta berharap kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya bersedia memberikan buah fikiran dan pendapat masing-masing tanpa ragu-ragu dan walang demi kebaikan semata-mata. Adapun negara, memang sentiasa menunggu idea-idea bernas daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Beta mahu, supaya digunakan peluang ini untuk mengemaskan mana-mana yang belum kemas dan menambah baik mana-mana yang masih perlu diperbaiki. Inilah ‘moto’ persidangan kali ini. Beta ucapkan selamat bersidang.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

 

Titah Perutusan KDYMM sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali ke-38 bagi tahun 1443H/2022M

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
HARI KEBANGSAAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
KALI KE-38 

BAGI TAHUN 1443H/2022M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan yang ke Tiga Puluh Lapan (38) Tahun pada tahun ini.
Hari Kebangsaan adalah detik bersejarah bagi setiap negara merdeka, tidak terkecuali juga bagi negara kita, Brunei Darussalam.
 
Dengan menyambut Hari Kebangsaan, kita dapat mengenang dan menghargai nilai kemerdekaan, termasuk pengorbanan mereka yang bekerja keras untuk kemerdekaan itu.

Sayugia kemerdekaan itu, wajar dipelihara oleh sekalian rakyat dan penduduk dengan semangat patriotik yang tinggi, selaku warisan berharga yang berhak dinikmati oleh generasi demi generasi.

 

Selama Tiga Puluh Lapan Tahun negara merdeka, pelbagai cabaran telah kita alami. Namun alhamdulillah, jentera pembangunan tetap terus berfungsi menghasilkan perkembangan dan kemajuan didalam pelbagai bidang. Diantara pencapaian terpenting, Kerajaan Beta berupaya untuk melaksanakan Projek Perumahan Negara untuk kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat.

Turut amat ketara juga ialah, terbinanya Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien yang menghubungkan Daerah Brunei dan Muara dengan Daerah Temburong. Dengan terbinanya Jambatan ini, banyaklah manfa’at dapat diraih. Selain untuk kemudahan perhubungan, ia juga mengilhami kita untuk segera bergerak kehadapan menjana kemajuan. Diantaranya sekarang, Negara telah menubuhkan Autoriti Kemajuan Daerah Temburong (AKDT) untuk merancang pelbagai perancangan, termasuk memajukan bidang pertanian serta juga menjadikan Daerah ini sebagai destinasi eko pelancongan.

Sementara Rancangan Kemajuan Negara adalah merupakan projek jangka panjang secara menyeluruh, untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang boleh dinikmati oleh rakyat, termasuk pelabur-pelabur di negara ini. Ini juga menjadi keutamaan untuk dilaksanakan.

Kita menyedari bahawa usaha-usaha pemulihan ekonomi, kesan dari wabak koronavirus adalah memerlukan langkah berhati-hati, termasuk dengan melonggarkan sekatan yang dahulunya menyebabkan kegiatan perekonomian terjejas. Dan sehubungan itu telah memaksa sektor awam dan swasta untuk menerapkan budaya penggunaan Teknologi Maklumat dalam kehidupan seharian. Ini menjadikan kita perlu mempercepatkan pengukuhan Transformasi Digital bagi memastikan norma baharu dapat dilaksanakan dengan berkesan.  Perkara ini adalah selaras dengan matlamat Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.

Semua ini, setentunya memerlukan kesepaduan dan kesepakatan dalam membuat sebarang keputusan.

Penularan wabak koronavirus benar-benar menguji kesabaran dan keupayaan negara dalam membendung wabak ini. Program Vaksinasi Kebangsaan yang dilaksanakan secara berperingkat, boleh dianggap mencapai hasil yang baik. Disamping itu, satu usaha yang baik juga, telah diungkayahkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan mengadakan rancangan “Malam Munajat” yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala melalui istighfar, membaca Yasin, bertazkirah dan lain-lain bentuk zikir, semoga dengan itu, rakyat dan negara akan mendapat perlindungan serta terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit, khasnya wabak koronavirus.

Hanya sedikit sahaja ingin Beta sarankan, supaya diperkemas lagi cara membaca Surah Yasin. Seeloknyalah kalau ia dapat dibaca dengan suara ramai, bukan suara seorang sahaja, dan bacaan pula mustahak secara tartil, bukan terlalu cepat sehingga boleh menjejaskan kesempurnaan bacaan.

Akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa yang sama-sama terlibat dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke Tiga Puluh Lapan Tahun pada tahun ini.

Tidak lupa juga, Beta merakamkan ucapan terima kasih kepada semua lapisan rakyat, termasuk warga Perkhidmatan Awam, sama ada yang bertugas di dalam dan luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan, para sukarelawan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua, Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 
***

Titah KDYMM sempena Majlis Konvokesyen Ke-11 KUPU SB

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KESEBELAS
KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA

SERI BEGAWAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
TAHUN 1443H/2021M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita hadhir ke Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Ke-11 pada pagi yang berkat ini.

Dengan hati yang tulus ikhlas, Beta merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan kursus dan pengajian masing-masing.

Ucapan yang sama juga Beta tujukan kepada semua tenaga akademik dan ahli keluarga di atas kesabaran dan dedikasi mereka memberikan bimbingan dan sokongan kepada para graduan sehingga mereka itu berjaya.

Dedikasi adalah antara ciri utama untuk meraih kejayaan dan keberkesanan dalam pendidikan. Oleh itu para guru, ibu bapa dan lebih-lebih lagi graduan sendiri sangatlah mustahak untuk sentiasa memiliki sifat dedikasi itu.

Bagi para graduan adalah perlu untuk mengamalkan pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi dari pusat pengajian seperti KUPU SB ini, serta menyebarkannya kepada masyarakat. Pengalaman dan pengetahuan yang sentiasa dipupuk dan diamalkan itulah, sebenar-benarnya, matlamat pengajian.

Beta melihat, KUPU SB sangat berkaitan dengan banyak keperluan semasa.

Sejak penggubalan korikulumnya beberapa tahun yang lalu, KUPU SB sudahpun menawarkan pelbagai kursus minor sebagai nilai tambah bagi pengalaman dan pasaran kerjaya graduannya.

Demikian juga KUPU SB telah menjadikan ‘Sejarah Islam’ sebagai subjek teras bagi Program Sarjana Muda dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama. Langkah ini diambil, adalah sebagai respon spontan terhadap titah Beta semasa Majlis Mengadap Hari Keputeraan pada tahun 2018, yang menyarankan supaya Mata Pelajaran Sejarah Islam itu dijadikan mata pelajaran wajib di semua institusi pengajian. Tahniah kepada KUPU SB.

Sehubungan itu, Beta telahpun memperkenankan penubuhan sebuah lagi fakulti baru di KUPU SB iaitu ‘Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan’, yang akan berfungsi untuk membuat penyelidikan, mengembangkan silibus dan pedagogi yang berkaitan dengan kemasyarakatan, seperti Sejarah Islam, Pendidikan Kesihatan, Peradaban dan lain-lain.

Beta juga gembira mengikuti langkah-langkah kemasyarakatan KUPU SB, seperti mengadakan program-program kerohanian dan intelek dengan menganjurkan umpamanya, jerayawara Menghalusi Sembahyang Menurut Mazhab As-Syafi’e yang melibatkan sehingga lebih kurang 1,500 guru-guru yang bukan mengajar subjek Pengetahuan Ugama Islam di Kementerian Pendidikan, menganjurkan Kursus Training for Trainers untuk guru-guru bagi kemahiran mengajar al-Qur’an, menganjurkan Seminar Kebangsaan Pendidikan MIB, mengadakan Bengkel Pemantapan Da’ie dan lain-lain.

Ini semua adalah projek ilmu yang bermanfaat belaka.

Dari sudut antarabangsa pula, Beta mengambil maklum bahawa KUPU SB adalah semakin menyerlah dikalangan universiti-­universiti mahupun individu yang berminat dalam bidang pendidikan. Beberapa seminar antarabangsa secara maya dan kesepakatan membuat kajian bersama diantara KUPU SB dengan universiti luar negara telahpun pernah diadakan. Sementara pada tahun ini, KUPU SB terus melangkah ke hadapan menawarkan biasiswa “Brunei Darussalam Government Scholarship for Foreign Students” kepada calon-calon yang berkelayakan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Apabila ini diteroka, bererti KUPU SB telah mengembangkan sayapnya sehingga ke arena antarabangsa.

Akhirnya, Beta merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Majlis Kolej Universiti dan Senat, Ra’es, pegawai-pegawai utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan sekalian di atas jasa dan khidmat mereka yang telah disumbangkan.

Marilah kita sama-sama berdoa, semoga setiap amal kebajikan itu akan diganjar oleh Allah dengan ganjaran yang melimpah-limpah.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Sabda DPMM Sempena Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-9 Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah

SABDA
 
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
 MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

DI MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KALI KE-9
INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

 

BERTEMPAT
DEWAN UTAMA, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
PADA
HARI RABU, 15 REJAB 1443 BERSAMAAN 16 FEBRUARI 2022

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat dan izin-Nya jua kita berpeluang berhimpun dalam Majlis Haflut Takharruj, Diploma ‘Aaliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kali Kesembilan. Syabas dan setinggi kejayaan menamatkan pengajian masing-masing.

Sesungguhnya kejayaan setiap graduan akan terus menjadi tunjang utama kepada hasrat kita untuk melahirkan generasi huffaz negara yang menyumbang secara langsung kepada kecemerlangan institut, serta memelihara kesinambungan generasi penjaga ‘Kalamullah’.

Malah, keberhasilannya juga menjurus kepada mengukuhkan aspek emosi, rohani, jasmani, dan intelek kehidupan bermasyarakat seiring dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Tambahan pula, kecenderungan masyarakat dalam melestarikan amalan membaca dan mentadabbur Al-Quran serta melazimkan zikir dan doa tertentu kini boleh sahaja dipraktikkan menerusi pelbagai bentuk media masa terkini semata-mata bagi meraih syafaat ukhrawi dan duniawi, serta limpahan rahmat-Nya.

Ianya adalah juga bagi memohon dihindari daripada segala bentuk bencana yang berpunca dari sifat ‘hubbud dunia’ atau cinta dunia, sebagaimana maksud Surah Al-A’raf ayat 204 dan 205:

“Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia, serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

“Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai”.

Sehubungan dengannya, Kementerian Hal Ehwal Ugama, khasnya Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, termasuk institusi pengajian Islam dan khidmat swasta untuk secara berterusan mengaktifkan dan memperbanyakkan lagi rancangan halaqah atau program penggalak bagi mengasuh serta meningkatkan kemahiran membaca, menghafaz, dan mentadabbur Al-Quran.

Di samping itu, pendekatan yang diguna pakai bagi rancangan dan program sedia ada hendaklah dipelbagaikan dengan lebih kreatif dalam usaha mendekati dan melibatkan masyarakat agar mereka lebih berminat dan tertarik untuk menyertainya ke arah memastikan pencapaian rancangan dan program yang luas dengan kesan berimpak tinggi.

Dalam pada itu, peluang adalah terbuka luas bagi para graduan untuk menimba ilmu ke peringkat lebih tinggi yang menjurus kepada menambah nilai serta meningkatkan potensi masing-masing sebagai pembimbing masyarakat.

Dalam hubungan ini, saya ingin memetik Titah Paduka Ayahanda pada Majlis Haflut Takharruj UNISSA Kali Ke-9 seperti berikut :

“Pada masa ini tidak terdapat tanggapan walau satu pun, tentang institusi Pendidikan tinggi Islam yang tidak relevan. Sedang pendapat yang sahih, telah meletakkan Pendidikan tinggi Islam itu sebagai keperluan asasi yang tidak boleh diabaikan, kerana daripadanya muncul tamadun yang sempurna”.

Kerana itu Paduka Ayahanda berpendirian, pengajian dan Pendidikan Islam mesti terus diperkasa, kerana ia adalah teras segala kepentingan, yang mampu untuk menghadirkan segala kebaikan untuk bangsa dan negara.

Di sinilah juga pentingnya Institut Tahfiz sendiri, untuk terus peka dengan kehendak peredaran masa, khususnya menilai keberkesanan program-program yang diterajuinya sebagai pemangkin dalam melahirkan lebih ramai modal insan berkeupayaan ke arah membantu negara berkembang maju secara progresif.

Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan dan berharap ilmu yang diraih dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Saya juga tidak lupa merakamkan ucapan setinggi tahniah dan penghargaan kepada kepimpinan, pentadbir dan tenaga pengajar serta warga kerja Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah termasuk ibu bapa dan penjaga di atas semangat gigih, usaha sama dan komitmen berterusan masing-masing yang telah menyumbang kepada kelangsungan program serta kejayaan setiap graduan.

Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan ganjaran berupa rahmat dan syafaat untuk kita semua.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum warahmatullaahi Wabarakaatuh.
 

***