Titah Perutusan Khas KDYMM – Tahun 1443H/2021M
TITAH PERUTUSAN KHAS
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
TAHUN 1443H/2021M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Sebagai negara yang berpegang teguh kepada ajaran agama Islam, kita menyempurnakan tanggungjawab dengan ikhtiar dan tawakal. Inilah dua bentuk usaha yang menjadi kunci kejayaan kita mencapai apa yang dihasratkan.
Dari masa ke semasa, kita terus mengikuti perkembangan jangkitan COVID-19 di negara ini. Kita dapat menyaksikan jumlah jangkitan yang kadang kala memberi sedikit harapan, apabila jumlah kes harian kelihatan menurun. Namun ternyata, jumlah kes-kes ini tidak menentu dan amat sukar untuk diramal.
Keadaan seperti ini kita tangani secara berterusan. Beta memahami bahawa penularan jangkitan dan kesannya kepada kesihatan, masih sahaja membimbangkan. Ia tidak boleh diambil ringan selama mana virus ini masih wujud di permukaan bumi.
Seiring itu, Beta bersyukur dan juga terharu melihatkan kerjasama serta kesungguhan rakyat dan penduduk dalam sama-sama menangani musibah ini. Strategi negara untuk terus bertahan sehingga wabak ini benar-benar berundur, adalah harapan tertinggi kita.
Sejak beberapa bulan lalu, kesan penularan tetap dirasakan. Sekatansekatan yang terpaksa dilalui semakin lama semakin berat untuk dihadapi. Misalnya kerana sekatan, kita sampai terputus hubungan dengan masjid, surau dan balai ibadat. Begitu juga kerana sekatan, sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian sampai menangguhkan operasi masing-masing.
Demikian juga produktiviti ekonomi, perniagaan dan perkhidmatan awam tidak terkecuali turut terkesan oleh sekatan-sekatan yang dijalankan. Pendeknya, tidak ada yang terlepas daripada sama-sama menerima kesan.
Sekatan-sekatan ini bukanlah dilakukan secara sewenang-wenang. Tetapi ia adalah merupakan langkah-langkah kritikal, selaras dengan keupayaan dan kesediaan negara.
Perlu difahami, berdasarkan trend dan statistik negara dan global, wabak ini dilihat tidak akan hapus sepenuhnya dalam masa terdekat. Namun ini hanyalah ‘jangkaan’ jua, dimana setiap jangkaan itu tidaklah semestinya tepat.
Yang betulnya, semua perkara adalah terpulang kepada Allah belaka. Jika Allah mahu, apapun perkara, boleh saja berlaku. Nabi Allah Ayyub ‘Alaihissalam, dalam sekian lamanya telah diuji olleh Allah dengan penyakit luar biasa, yang pada zahirnya, dapat dianggap sebagai tidak ada harapan lagi untuk sembuh, sehingga masyarakat dan bahkan keluarga Baginda sendiri juga sampai lari meninggalkan Baginda. Tetapi setelah Nabi ini mengadu dan berdo’a kepada Allah, maka Baginda telah dikurniakan kesembuhan, dan malah mendapat ‘kelebihan’ setelah sembuh itu.
Inilah antara ‘petunjuk’ mengenai kuasa Allah, dan sekali gus kita boleh menjadikannya sebagai sandaran, mengapa kita mesti terus berusaha dan berdo’a kepada Allah Subhanahu Wata’ala.
Dengan mengambil kira situasi yang ada sambil menerima hakikat kehidupan cara baru, maka sudah tiba masanya untuk kita melangkah setapak kehadapan untuk mengurangkan gangguan kualiti hidup yang ada, iaitu dengan memilih jalan lurus kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Maka dalam hubungan ini, Beta bertawakal kepadaNya mengisytiharkan permulaan Fasa Endemik Negara pada Hari Rabu, 10hb. Jamadilawal, 1443 bersamaan dengan 15hb. Disember, 2021.
Dalam fasa ini, tidak dijanjikan jumlah kes menurun atau naik, dan tidak juga bermakna kita sudah berjaya atau tidak. Tetapi sebaliknya, kita masih sahaja dituntut untuk menitikberatkan kerjasama dan kepekaan di kalangan masyarakat dalam masa menjalani kehidupan norma baru. Beta berharap, rakyat dan penduduk akan terus meningkatkan tanggungjawab sosial dalam mendukung dan mematuhi usaha-usaha Kerajaan.
Walaupun fasa ini membolehkan orang ramai menjalani aktiviti-aktiviti harian seperti biasa, namun langkah berjaga-jaga masih sahaja diperlukan tanpa mengabaikan Standard Operating Procedures (SOPs) yang ditetapkan.
Tidak dapat dinafikan, perasaan bimbang atau khuatir terhadap penularan, masih saja ada. Oleh itu kita janganlah lalai dari terus berhati-hati atau beringat-ingat. Keputusan untuk meneruskan kehidupan norma baru adalah berasaskan kepada kajian dan analisa saintifik serta data-data yang berkaitan. Namun pemantauan terhadap jangkitan akan tetap dilaksanakan, terutama kes-kes kritikal yang memerlukan pemantauan rapi dan bantuan alat tertentu.
Dalam masa yang sama, kita juga perlu kekal dan konsisten dengan amalan-amalan yang selama ini kita laksanakan, iaitu sembahyang hajat, membaca al-Qur’an, berselawat, berdo’a dan berzikir memohonkan rahmat Allah untuk membebaskan Brunei Darussalam dari wabak koronavirus.
Dalam kita bakal meneruskan kelangsungan hidup dalam norma baru, kita janganlah lupa terhadap mereka yang telah pergi buat selama-lamanya disebabkan kerana jangkitan. Beta sendiri turut bersimpati dan merasakan kesedihan yang amat mendalam di atas pemergian mereka itu. Beta juga terharu dengan kesabaran ahli keluarga yang tidak dapat mengkebumikan atau membuat penghormatan terakhir kepada insan-insan tersayang akibat terhalang oleh pandemik.
Sebelum mengakhiri perutusan ini, Beta merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada petugas kesihatan, penjawat awam, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta para sukarelawan yang telah menyumbangkan khidmat masing-masing. Dan Beta juga turut memberikan penghargaan kepada semua lapisan masyarakat di negara ini yang sentiasa berganding bahu melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dalam menangani wabak koronavirus.
Marilah kita berdo’a memohon kepada Allah Subhanahu Wata’ala semoga keputusan untuk beralih kepada Fasa Endemik ini mendapat keberkatan serta segala perancangan dipermudahkan dan berjaya. Amin Ya Rabbal ‘Alameen.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
Sabda DPMM Sempena Majlis Pembukaan Rasmi Anugerah Perniagaan Asean (ABA) 2021 Menerusi Rakaman Video
SABDA
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
DI MAJLIS PEMBUKAAN RASMI ANUGERAH PERNIAGAAN ASEAN (ABA) 2021 MENERUSI RAKAMAN VIDEO
PADA
HARI SELASA, 30 NOVEMBER 2021
Bismillahir Rahmanir Rahim
Para tetamu yang dihormati, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Selamat malam.
Saya berbesar hati menyertai awda secara maya, pada Majlis ASEAN Business Awards 2021 yang berprestij ini.
Malam ini, kita meraikan pencapaian sektor swasta di Asia Tenggara yang mencapai pencapaian cemerlang ke arah menyokong pemulihan ekonomi serantau, pada tahun ini.
Pandemik COVID-19 berkembang secara meluas, daripada kecemasan kesihatan, kepada krisis ekonomi global. Sektor swasta mengalami kesan negatif daripadanya pada peringkat global.
Tetapi melalui masa yang sukar ini, komuniti perniagaan menunjukkan kekuatan yang luar biasa dan saya bangga menyertai acara yang meraikan daya tahan, inovasi juga semangat untuk mengatasi cabaran tersebut.
Sungguh memberangsangkan, pada tahun 2021, rantau ini telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi, di mana sektor swasta memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada usaha pemulihan berkenaan.
Oleh itu, adalah penting untuk mengukuhkan kerjasama antara sektor awam dan sektor swasta untuk mencapai pemulihan yang mampan daripada pandemik.
Untuk menyokong kerjasama ini, beberapa dialog dan program di antara sektor swasta dan pelbagai Badan-Badan Sektor ASEAN telah meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya dalam bidang Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), pelancongan, dan Rantaian Bekalan Global.
Program-program seperti ASEAN Business Rountables, ASEAN Business and Investment Summit, dan ASEAN Business Awards, menunjukkan banyak manfaat yang diperoleh, jika kerajaan dan sektor swasta sama-sama berganding bahu.
Negara-negara bukan anggota ASEAN juga dilihat turut menunjukkan minat dan memberi sokongan dalam ASEAN Business Award.
Para tetamu yang dihormati, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Kerjasama berterusan antara sektor awam dan swasta sudah pasti akan membantu mengenal pasti peluang-peluang ekonomi dan tindakan yang relevan untuk terus menyokong perniagaan dalam membangunkan asas yang kukuh dan meneroka gelombang inovasi baharu untuk menjalankan perniagaan.
Apabila kita memasuki fasa baharu transformasi digital ekonomi, kemajuan teknologi yang pesat membentuk semula persekitaran ekonomi kita.
Oleh itu, sektor swasta, khususnya PMKS, hendaklah menyesuaikan diri dalam era digital global pada masa kini, dengan meningkatkan tahap kapasiti masing-masing, bagi persediaan memasuki pasaran-pasaran baharu, di luar negara.
Acara hari ini merupakan satu pengiktirafan daripada kerja keras dan sumbangan sektor swasta terhadap usaha pemulihan ekonomi kita. Oleh itu, saya mengucapkan tahniah kepada pemenang-pemenang anugerah tahun ini, yang mengiktiraf bukan sahaja kedayatahanan awda, dalam menghadapi cabaran yang dibawa oleh pandemik, tetapi juga usaha awda dalam bidang berkepentingan seperti Kelestarian, Pembangunan Kemahiran juga Keusahawanan wanita.
Tajaan yang diterima daripada pihak korporat adalah sangat menggalakkan, yang mana mereka mendedikasikan pendapatan mereka untuk tujuan sosial, haruslah disanjung dan dedikasi mereka itu akan dianugerahkan dengan Brunei Special Award for Emerging Social Enterprises.
Sebagai penutup, dengan penganugerahan kepada syarikat-syarikat atas dedikasi ikhlas mereka, kita cabar diri kita untuk membuat yang lebih baik. Potensi untuk melakukan sesuatu yang lebih baik akan sentiasa ada, dengan motivasi, dorongan dan sokongan yang betul, syarikat boleh berkembang dan menyumbang kepada masyarakat, negara dan serantau.
Saya ingin melihat kerjasama berterusan antara sektor swasta dan awam untuk mencapai persekitaran yang lebih dinamik, mampan juga berdaya saing, supaya kita boleh pulih lebih kukuh bersama-sama.
***
Titah KDYMM Sempena Maulud Nabi Muhammad S.A.W. Bagi Tahun 1443H/2021M
TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA SAMBUTAN
MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
BAGI TAHUN 1443H / 2021M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua telah menyampaikan kita ke bulan yang bersukut istimewa, Rabiul Awwal, bulan diputerakan Junjungan Besar kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Dengan kehendak Allah Subhanahu Wata’ala jua, kita buat pertama kalinya tidak akan meraikan Sambutan Maulidur Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wasallam secara berhimpun beramai-ramai kerana penularan wabak koronavirus. Namun kita masih saja dapat menyambutnya dengan cara yang bersesuaian dengan keadaan.
Ini tidak syak lagi adalah satu ujian berat yang belum pernah belaku. Namun kita selaku umat yang berakidah, wajiblah melihatnya sebagai ada hikmah disebalik itu. Tetapi kita sesungguhnya tidaklah tahu hakikat hikmah. Kerana itulah Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah Ayat 216 bagi memberitahu kita akan kedudukan hikmah itu, tafsirnya:
“… Boleh jadi sesuatu yang kamu benci (tidak sukai), padahal ia adalah baik bagi kamu, dan (begitu juga) boleh jadi sesuatu yang kamu suka, padahal ia buruk (tidak baik) bagi kamu. (Ingatlah), hanya Allah jua yang mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”.
Inilah pegangan yang betul untuk dipegang. Kita tidak dapat lari dari apa jua yang ditentukan oleh Allah, dan setiap ketentuan-Nya itu pastinya ada mengandungi hikmah.
Kita wajib mempunyai “sangkaan baik” terhadap Allah. Apa-apa jua yang ditentukan oleh-Nya adalah semua itu baik untuk kita. Kerana sesungguhnya Allah itu tidak pernah menzalimi sesiapa. Jika Dia mendatangkan satu-satu ujian, adalah ujian itu bukannya satu penzaliman, tetapi mungkin satu pengajaran atau sebagai cara untuk Dia (Allah) menambahkan lagi darjat seseorang, sekiranya seseorang yang diuji itu sanggup bersabar menerima ujian tersebut.
Demikianlah yang patut kita fahami mengenai satu-satu situasi yang berlaku. Namun untuk menghadapinya, kita tidak dikehendaki diam, tetapi disuruh untuk berikhtiar bagi memperolehi sesuatu yang terbaik.
Apakah jenis ikhtiar yang afdhal untuk kita lakukan? Jika merujuk kepada Al-Qur’an dan Al-Hadits, ikhtiar yang afdhal itu ialah “do’a”. Kita disuruh berdo’a, samada dalam senang atau dalam susah. Kita berdo’a dalam senang, supaya dikekalkan kesenangan dan berdo’a dalam susah, supaya dihapuskan kesusahan.
Salah satu jenis do’a atau jenis zikir yang sangat tajam untuk menyampaikan hajat kita ialah “Selawat” ke atas Nabi kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Maka bersempena dengan kita menyambut Maulid Ar-Rasul ini, sangatlah wajar untuk kita membanyakkan selawat ke atas Baginda, sebagai do’a dan zikir untuk melepaskan atau membebaskan kita daripada musibah koronavirus.
Beta berharap, di samping meneruskan rancangan berupa bacaan-bacaan ayat suci al-Qur’an, do’a dan zikir yang sedang berjalan pada masa ini, maka khusus untuk sepanjang Bulan Rabiul Awwal ini, rancangan “Selawat” eloklah dibanyakkan dan lebih dikerapkan kemunculannya. Sementara orang ramai pula secara bersendirian janganlah ketinggalan untuk sama-sama mengamalkannya. Insya Allah, dengan berkat dan syafaat Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, Brunei Darussalam akan bebas dan bersih daripada wabak koronavirus. Amin. Allahumma Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
Titah Perutusan Khas KDYMM – Tahun 1443H/2021M
TITAH PERUTUSAN KHAS
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
TAHUN 1443H/2021M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Dengan bertawakal dan merendah diri kepada Allah, Beta terpanggil untuk menyampaikan perutusan ini, bersabit dengan perkembangan terbaharu Pandemik Koronavirus di negara kita.
Selama lebih setahun, Brunei Darussalam telah dapat menikmati keadaan selamat (sunyi) daripada jangkitan. Alhamdulillah, kita tidak lupa bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas nikmat ini. Kerana kita sedar, bahawa tidak akan berlaku sesuatu itu, kalau bukan dengan izin dan kehendak Allah jua.
Maka demikian itulah yang sudah terjadi ke atas Brunei. Namun pada 7hb Ogos 2021, kita tiba-tiba dikejutkan oleh jangkitan tempatan, yang membabitkan 7 individu. Jangkitan ini meningkat pada hari-hari berikutnya, yang tentu saja menambahkan kebimbangan.
Tetapi kita selaku umat yang berakidah, tetap sahaja menaruh harapan, bahawa Allah akan memperkenankan do’a kita untuk membersihkan semula bumi Darussalam ini daripada wabak koronavirus, insya Allah.
Selaku umat yang berakidah kita memahami, bahawa tiada turun sesuatu bala, melainkan hanya kerana dosa jua, dan tiada berundur bala itu, kecuali dengan taubat atau istighfar sahaja.
Ini, dari sejak lama lagi telahpun diisyaratkan oleh Allah, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Hud, ayat 52 tafsirnya:
“Wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah ta’at kepada-Nya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan yang lebat (yakni rahmat), dan akan menambahkan lagi kekuatan kamu di samping kekuatan yang sedia ada, dan janganlah kamu membelakangi suruhanKu dengan terus melakukan dosa.”
Inilah antara ayat istighfar, yang menggalakkan kita supaya bertaubat, dan manakala taubat itu telah berlaku, maka Allah pun berjanji akan menurunkan rahmat-Nya, termasuk insya Allah, dengan menarik balik bala bencana dan penyakit, bahkan akan menambahkan lagi kekuatan kita yang sedia ada. Adapun kekuatan itu di sini, boleh saja disebut sebagai kesihatan, kemakmuran dan keselamatan, insya Allah.
Kita selaku hamba Allah, janganlah malu mengaku berdosa dan berat untuk bertaubat. Kita tidak tahu, berapa banyakkah dosa kita, sama ada yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar, semua itu pembasuhnya, hanyalah satu sahaja, iaitu istighfar atau taubat.
Kalau membasuh tangan dengan air atau sanitizer, tetapi membasuh dosa adalah dengan istighfar dan taubat.
Maka marilah, sama-sama kita munajat mengikhlaskan diri dan merafa’kan tangan ke langit berdo’a:
“Ya Allah, ya Tuhan kami, kiranya kami ini sudah terlanjur mengkufuri nikmat-Mu dengan kelakuan-kelakuan kami yang Engkau tidak redhai, maka Engkau ampunkanlah kami, dan kasihanilah kami dengan menarik balik wabak koronavirus daripada negara kami. Ya Allah mohon, supaya Engkau bersihkan negara kami ini daripada wabak sebersih-bersihnya. Amin. Wahasbunallahu Wani’malwakeel, Walahaula Walaa Qowwata Illa Billahil ‘Aliyyil ‘Azeem. Walhamdu Lillahi Rabbil ‘Aalameen.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
