Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kesepuluh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Negara Brunei Darussalam Tahun 1442h/2020m
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua dapatlah kita sama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Ke-10 pada pagi yang mubarak ini.
Dengan amat gembira, Beta ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing.
Beta juga mengucapkan tahniah kepada para ibu bapa dan penjaga serta para pensyarah KUPU SB yang sentiasa memberikan sokongan dan bimbingan kepada para graduan.
Kejayaan yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala ini, perlulah disyukuri dengan meningkatkan lagi ketaqwaan terhadap-Nya.
Matlamat KUPU SB ditubuhkan ialah untuk melahirkan modal insan pendidik yang berkepakaran. Begitu juga dengan UNISSA untuk melahirkan para ulama.
Alhamdulillah, kedua-dua buah institusi ugama ini sudahpun melahirkan sekian ramai graduan, cuma soalnya, adakah mereka itu sudah boleh diiktiraf sebagai ulama?
Pada hemat Beta, ini semua banyak bergantung kepada sistem dan program pengajian. Oleh itu, seyogia sistem dan program itu sentiasa dinilai atau direbiu.
Kiranya graduan Sarjana Muda dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama pada hari ini adalah keluaran dari program yang telah dikemaskinikan sejak tahun 2016. Program ini mengintegrasikan antara pengalaman akademik dan perkembangan syakhsiah melalui program kokurikulum.
Jika program seperti ini dilaksanakan dengan berkesan, pada pendapat Beta, ia sudah tentu mampu untuk melahirkan para graduan yang benar-benar berkualiti dan cemerlang.
Negara bergantung harapan kepada para pendidik untuk membentuk dan melahirkan generasi cemerlang dalam semua aspek, terutama aspek ilmu dan akhlak yang mulia.
Ilmu dan akhlak, manakala keduanya itu menjadi pakaian bagi bangsa, maka bangsa tersebut tidak diragukan lagi adalah bangsa yang bermartabat.
Inilah, yang kita di Brunei Darussalam sedang mengisi atau membina diri dengan ilmu dan akhlak yang dibawa oleh junjungan besar kita, Sayyidina Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassallam.
Adapun institusi pengajian tinggi, seperti KUPU SB, adalah turut dibebankan dengan amanah ini.
Akhirnya, Beta sukacita merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Kolej Universiti dan Senat, Ra’es, pegawai-pegawai utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan Kolej Universiti atas segala khidmat dan sumbangan yang mereka hulurkan. Semoga Allah jua yang akan membalasnya.
Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-8 Universiti Teknologi Brunei (UTB)
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-8
UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI
(UTB)
PADA:
Hari Isnin
30HB Rabiulawal 1442
16HB November 2020
BERTEMPAT DI
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta tidak jemu-jemu bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula hadhir ke Majlis Konvokesyen Kali Ke-8 Universiti Teknologi Brunei pada hari ini.
Dikesempatan ini, Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Semoga kejayaan ini akan jadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang secara konsisten mendorong para graduan sehingga beroleh kejayaan.
Alhamdulillah, Beta sebentar tadi telahpun melancarkan Permulaan Penulisan Mushaf UTB. Insya Allah Mushaf ini nanti akan mengepelai setiap perarakan dalam Majlis Konvokesyen UTB. Dengan ini juga bererti, UTB tidak ketinggalan memertabatkan Mushaf sebagai ‘lambang keilmuan’ yang tidak ada tolok bandingnya.
Beta, dalam majlis yang permai ini mengambil maklum, bahawa UTB buat julung kalinya akan menganugerahkan ijazah kedoktoran atau PhD. Ini menunjukkan UTB semakin meningkat matang dalam bidang penyelidikan dan pasca ijazah.
Beta pernah menyentuh mengenai peranan UTB sebagai penyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan serta berupaya untuk menyelesaikan isu-isu kontemporari melalui usaha-usaha penyelidikan.
Sehubungan itu, Beta menyambut baik mengenai kerjasama penyelidikan kejuruteraan bertaraf dunia bersama Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP), Imperial College (UK) dan University of New South Wales (Australia). Projek berkenaan dijangka akan menyelesaikan salah satu cabaran teknikal paling mahal di Negara Brunei Darussalam, iaitu isu pasir dalam pengeluaran hidrokarbon.
Projek ini juga akan menawarkan biasiswa kepada pelajar dan menyediakan pekerjaan tempatan kepada para graduan UTB.
Malah, Beta juga difahamkan bahawa aktiviti-aktiviti penyelidikan UTB telah juga dilaratkan kepada komuniti, seperti Majlis Perundingan Kampung, sebagai live project bagi kakitangan dan mahasiswa UTB, selaras dengan visi UTB untuk menjadi sebuah universiti global yang memberi kesan kepada masyarakat.
Mengenai kedudukan UTB sebagai sebuah universiti global, Beta mengucapkan tahniah, kerana pada tahun ini UTB telah berjaya meraih kedudukan ke-350 di QS World University Ranking. Pada julung kalinya juga, UTB telah masuk ke dalam senarai 50 Young Global University dibawah umur 50 tahun, pada tangga ke-40.
Dalam usaha UTB mempersiapkan sumber manuasia, Beta ingin mengingatkan, supaya etika Islam yang selari dengan budaya bangsa sentiasa diutamakan. Ini penting, supaya jati diri tidak dapat di gugat oleh sebarang pengaruh asing.
Akhirnya, Beta merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdo’ a semoga Allah Subhanahu Wata ‘ala akan memberkati segala usaha kita dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
Titah KDYMM sempena Majlis Haflut Takharruj Ke-10 Universiti Islam Sultan Sharif Ali
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-10
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
PADA:
Hari Isnin
23HB Rabiulawal 1442
09HB November 2020
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana mengizinkan kita dapat sama-sama berhimpun di Majlis Haflut Takharruj kali ke-10, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.
Haflut Takharruj kali ini, sedikit berbeza dari tahun-tahun yang lalu. Ada pun sebabnya, telah dimaklumi bersama.
Beta menyifatkan Majlis Haflut Takharruj UNISSA pada kali ini sangatlah bermakna dan bersejarah, kerana bertepatan dengan 10 tahun UNISSA mengeluarkan graduannya, Mushaf UNISSA tulisan tangan, buat julung kalinya, telah dijulang dan diarak sebagai mengepalai perarakan Haflut Takharruj pada kali ini.
Beta gembira mengetahui, bahawa Mushaf UNISSA ini telah ditulis tangan dan direka bentuk sepenuhnya oleh anak tempatan. Ini adalah merupakan kejayaan sangat bermakna dan sekaligus menjulang syi’ar Islam di negara ini.
Beta ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Jawatankuasa Tertinggi Penulisan Mushaf UNISSA dan juga semua pihak yang terlibat dalam menjayakannya.
Dalam tempoh satu dekad Haflut Takharruj berlangsung, tidak dinafikan bahawa UNISSA telah meraih banyak kejayaan. Namun ia bukanlah ‘titik noktah’ untuk berhenti berusaha. Kerana pendidikan, sifatnya bukanlah mati, tetapi dinamik dan progresif.
Keperluan pendidikan dalam satu dekad yang lalu adalah tidak sama dengan keperluan masa kini yang telah memasuki fasa digital. Dalam era digital, dunia pendidikan memerlukan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berbeza daripada sebelumnya.
Maka untuk itu, berasaskan al-Qur’an al-Karim selaku sumber ilmu, termasuk ilmu sains dan teknologi, maka Beta dengan sukacita memperkenankan penubuhan Fakulti Teknologi Islam atau Faculty of Islamic Technology di UNISSA. Penerokaan baru oleh UNISSA ini adalah merupakan satu usaha proaktif bagi membongkar lebih banyak lagi khazanah keilmuan dari al-Qur’an dan alHadits. Beta berharap penubuhan fakulti baru ini akan mencetuskan penyelidikan yang bernilai tinggi.
Mengambil sukut hari yang baik ini, Beta tidak lupa mengucapkan syabas dan tahniah kepada para graduan yang telah berjaya menyempurnakan pengajian masing-masing di UNISSA. Beta berharap para graduan akan bersikap lebih proaktif dan tidak cuma menjadi pemerhati.
Rebutlah segala peluang yang ada dan pupuk sikap ingin memajukan diri, kerana segulung ijazah bukanlah penamat dari terus menimba ilmu, sebagaimana Islam melihat bahawa menuntut ilmu itu adalah kerja sepanjang hayat.
Akhirnya, Beta juga tidak lupa untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang meliputi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, tenaga akademik dan seluruh pegawai dan kakitangan Universiti di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka dalam menjayakan Majlis Haflut Takharruj ke-10 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
