Jadikan Al-Quran sebagai panduan hidup

Jadikan Al-Quran sebagai panduan hidup

Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD) Kampung Manggis/Madang mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran, Khatam Al-Quran dan diselajurkan dengan Penyampaian Derma Anak-anak Yatim serta Majlis Doa Kesyukuran sempena siapnya pintu utama serta pintu-pintu tepi masjid berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, yang juga selaku Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD.

Turut hadir, Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin, penasihat-penasihat, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, jemaah-jemaah masjid serta anak-anak yatim dari Kampung Manggis dan Kampung Madang.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah, dan diteruskan dengan Ceramah Khas sempena Sambutan Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Harapandi Dahri.

Ceramah berkenaan antara lain menyentuh mengenai kepentingan menghayati peristiwa Nuzul Al-Quran sebagai titik permulaan penurunan wahyu kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta peranan umat Islam dalam menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang didahului oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan khatam Al-Quran beramai-ramai oleh para peserta khatam serta bacaan takhtim dan tahlil.

Bacaan tahlil pada majlis berkenaan khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.

Bacaan Doa Khatam pula dipimpin oleh Pegawai Masjid, Awang Razman bin Haji Ramlee, diikuti dengan Dikir Marhaban.

Majlis kemudian disusuli dengan bacaan Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan yang dipimpin oleh Imam Masjid SSBRPAD, Awang Muhammad Khaizuran Amali bin Haji Kamsani.

Pada majlis berkenaan, tetamu kehormat majlis turut menyempurnakan penyampaian sumbangan derma kepada seramai 18 anak yatim yang terdiri daripada penduduk Kampung Manggis dan Kampung Madang.

Majlis diakhiri dengan berbuka puasa serta Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.

Penganjuran majlis berkenaan diharap dapat memperkukuh lagi penghayatan terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat di samping menyemarakkan aktiviti keagamaan di masjid serta memupuk semangat kebersamaan dan kepedulian terhadap golongan yang memerlukan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

 

Berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran

Berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, malam tadi berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.

Berangkat sama ialah paduka-paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke majlis tersebut dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1447H; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1447H; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Brunei Darussalam Central Bank (BDCB); Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1447H.

Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1447H dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie.

Kemudian, majlis diteruskan dengan Sembah Alu-aluan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama yang antara lain menjelaskan, sesungguhnya memahami makna ayat-ayat Al-Quran sama ada melalui terjemahan prakata dan huraian tafsirnya adalah untuk mengambil pengajaran daripadanya sesuai dengan maksud dan tujuan Allah Subhanahu Wata’ala mewahyukannya kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam untuk jadi pedoman dan amalan yang seterusnya meresap ke dalam diri manusia menjadi penghayatan.

Tambah Yang Berhormat, kerana itulah usaha mempelajari Al-Quran sangat perlu untuk terus-menerus diperkukuhkan untuk menjadikannya tidak sahaja setakat bacaan dan hafalan bahkan hendaklah dengan pemahaman.

Antara usaha ke arah itu jelas Yang Berhormat, ialah dengan adanya kegiatan dan program-program men’tadabbur’ ayat-ayat Al-Quran.

Kegiatan men’tadabbur’ ini terang Yang Berhormat, akan diperkukuhkan sewajarnya, di samping memperkukuhkan usaha pembelajaran bacaan dan hafalan yang kita telah ada untuk dikembangkan.

Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan sabda.

Majlis kemudian diteruskan lagi dengan Pemakluman Keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, selaku Pengerusi Jemaah Hakim.

Setelah itu, majlis diserikan dengan Persembahan Pemenang Terbaik dari setiap kategori Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H.

Sejurus itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah dan cenderamata kepada peserta.

Tema bagi Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1447H ialah ‘Mengukuhkan Pembelajaran Al-Quran dan Menghayati Ajarannya’.

Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara pada tahun ini dikendalikan bersama oleh KHEU, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pembangunan, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, dan BDCB.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

 

Perutusan tahniah sempena Hari Kebangsaan Kuwait

Perutusan tahniah sempena Hari Kebangsaan Kuwait

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada His Highness Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, Amir Kuwait dan His Highness Sheikh Ahmad Abdullah Al-Ahmad Al-Sabah, Perdana Menteri Kuwait serta ahli-ahli kerabat diraja, kerajaan dan juga rakyat Kuwait bersempena dengan Hari Kebangsaan Kuwait yang Ke-65 Tahun.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

 

Kebawah DYMM selamat jalani pembedahan

Kebawah DYMM selamat jalani pembedahan

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini selamat menjalani prosedur pembedahan penggantian sendi lutut kanan (Right Total Knee Replacement) di Jerudong Park Medical Centre (JPMC).

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berserta ahli-ahli kerabat diraja di JPMC dijunjung oleh Menteri-menteri dan Timbalan-timbalan Menteri.

Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, satu Pengumuman Khas telah dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan disampaikan oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Dalam Pengumuman Khas berkenaan, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II telah memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Alhamdulillah dengan izin dan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala, telah selamat menjalani prosedur pembedahan penggantian sendi lutut kanan.

Seterusnya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan memaklumkan bahawa, berikutan dengan prosedur pembedahan berkenaan, Kebawah DYMM berada dalam keadaan kesihatan yang stabil dan baik. Pada masa ini, baginda sedang bersemayam beristirahat di bawah pemantauan pasukan perubatan. Seterusnya, adalah fasa pemulihan termasuklah sesi fisioterapi.

Sementara itu, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II selanjutnya memaklumkan bahawa sepanjang tempoh fasa pemulihan Kebawah DYMM, baginda akan terus menjalankan tugas-tugas rasmi dalam tempoh berkenaan dan keberangkatan baginda dalam majlis-majlis kenegaraan dan rasmi adalah tertakluk kepada keadaan baginda dari semasa ke semasa.

Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II juga menyatakan bahawa sambutan orang ramai, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam khususnya di dalam dan luar negara dalam acara – acara keagamaan termasuk Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Khas yang telah diadakan di seluruh negara sangatlah bermakna dalam sama-sama merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala untuk mengurniakan kesembuhan yang segera, kesihatan yang sempurna, dan keafiatan yang berpanjangan kepada raja yang dikasihi.

Pengumuman Khas berkenaan ditutup dengan bacaan Doa Khas oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bagi kesihatan dan kesejahteraan Kebawah DYMM.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Infofoto

Bermunajat memohon keafiatan Kebawah DYMM

Bermunajat memohon keafiatan Kebawah DYMM

Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin, dan Doa Khas bagi kesihatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus diadakan malam tadi di Istana Nurul Iman sebagai kesinambungan kepada Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin, dan Doa Khas yang diadakan pada malam Khamis, 15 Januari 2026 di seluruh negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan menjalani rawatan kesihatan yang telah dirancang awal pada Ahad, 28 Rejab 1447 bersamaan 18 Januari 2026.

Berangkat ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman serta ahli-ahli kerabat diraja.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berserta ahli-ahli kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, serta isteri masing-masing.

Juga yang hadir ialah Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta isteri masing-masing.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah serta Sembahyang Sunat Hajat yang diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, diikuti dengan membaca Surah Yaa Siin dan seterusnya bacaan Doa Khas bagi mendoakan kesembuhan yang segera, kesihatan dan keafiatan yang sempurna lagi berpanjangan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meneruskan kepimpinan baginda yang berwibawa dan bijaksana bagi keamanan dan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.

Azan Isyak dikumandangkan oleh Pegawai Masjid, Masjid Omar Ali Saifuddien, Begawan Mudim Awang Haji Amran bin Haji Mohd. Salleh.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota serta kerabat diraja berkenan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin, dan Doa Khas tersebut diadakan untuk mendoakan agar prosedur rawatan baginda berjalan dengan lancar dan seterusnya berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala bagi mengurniakan kesembuhan yang segera, kesihatan yang sempurna, dan keafiatan yang berpanjangan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

 

Berangkat ke Majlis Sambutan Israk dan Mikraj

Berangkat ke Majlis Sambutan Israk dan Mikraj

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi Tahun 1447 Hijrah.

Majlis tersebut berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, pagi tadi, di sini.

Berangkat sama ialah paduka-paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota serta kerabat diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan yang lain.

Majlis sambutan Israk dan Mikraj tersebut dimulakan dengan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran, Surah Al-Isra’, ayat 78 hingga 85 oleh Pegawai Pelajaran Tarannum, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili, manakala Tadabbur pula disampaikan oleh Setiausaha Pertama, Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (KHELN), Awang Haji Abdul Rashid bin Awang Haji Damit.

Sejurus selepas itu diikuti dengan sembah alu-aluan Kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Dalam sembah alu-aluannya, Yang Berhormat antara lain menyembahkan bahawa sambutan yang dianjurkan berkenaan adalah bertemakan Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang.

Ia, jelas Yang Berhormat, juga selaras dengan signifikan peristiwa bersejarah Nabi Muhammad junjungan kita Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diisrakkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala sebagaimana disebutkan dalam firman-Nya, ayat pertama Surah Al-Isra’, kemudian dari Masjid El-Aqsa baginda dimekrajkan sampai ke Sidratul Muntaha.

“Maka dengan itu penganjuran sambutan dan peringatan adalah merupakan ruang yang luas untuk meraih pengajaran dan memanfaatkannya bagi menambahkan pengetahuan dan kefahaman dalam mengamalkan ajaran-ajaran Islam. Terutama sekali dalam konteks dasar dan program kerajaan seperti usaha yang berterusan untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, yang cemerlang melalui pendidikan dan sebagainya.

“Maka ibadat sembahyang yang merupakan perbuatan untuk dilaksanakan dengan sempurna adalah pendidikan atau latihan untuk seseorang bekerja, berusaha dengan rajin dan tekun,” sembah Yang Berhormat lagi.

Dalam ajaran Islam, hal yang sedemikian itu sembah Yang Berhormat, dihubungkan dengan nilai atau mutu seseorang yang dikasihi oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan mendapat kasih sayang-Nya, iaitu sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, hadis Riwayat Tabrani serta Surah An-Najm ayat 13 hingga 18.

Sembah Yang Berhormat, dengan demikian hadis Baginda itu adalah merujuk juga kepada melahirkan modal insan yang berjaya dengan cemerlang menerusi rajin dan tekun mengerjakan suruhan dan melaksanakannya dengan sempurna iaitu melalui amal ibadat sembahyang yang dilaksanakan dengan sempurna.

Yang Berhormat seterusnya menyembahkan dalam konteks orang yang berjaya pula sembahyang itu juga jadi ukuran nilai atau mutu bagi menentukan seseorang itu orang yang akan berjaya dan sedang beroleh kejayaan cemerlang.

Yang Berhormat juga menyentuh, firman Allah Subhanahu Wata’ala, di awal Surah Al-Mu’minun jelas sekali menyebutkan sebagaimana tafsirnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam sembahyang mereka”.

Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan sabda.

Majlis diteruskan dengan persembahan Selawat Badriyyah oleh gabungan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), KHELN, Kementerian Kesihatan dan Progresif Sdn. Bhd. diikuti dengan persembahan khas iaitu Kalam Jama’ie oleh pelajar-pelajar Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba.

Kemudian, ini diikuti dengan ceramah khas bertajuk ‘Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang’ disampaikan oleh penceramah undangan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd. Izhar Ariff bin Mohd. Kashim.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.

Tema Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah ialah ‘Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang’ dan dikendalikan bersama oleh KHEU, KHELN, Kementerian Kesihatan dan Progresif Sdn. Bhd.

Sumber berita Pelita Brunei