Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini meneruskan program rasmi Duli Yang Teramat Mulia sempena Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei kali ke-12 di Singapura.

Duli Yang Teramat Mulia memulakan program hari ini dengan keberangkatan ke SAFTI City, diikuti dengan majlis perjumpaan dengan Teo Chee Hean, Pengerusi Temasek Holdings. Mengakhiri acara hari itu, Duli Yang Teramat Mulia berangkat melawat Temasek Shophousebagi meninjau projek-projek impak sosial yang mampan dan dipacu oleh komuniti.

Semasa lawatan ke SAFTI City, Duli Yang Teramat Mulia telah disembahkan taklimat yang mengetengahkan kerjasama pertahanan yang erat dan telah lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura, serta integrasi teknologi canggih dalam metodologi latihan moden. Lawatan tersebut turut menampilkan demonstrasi peralatan simulasi medan pertempuran khusus dan sistem udara tanpa pemandu (dron) generasi baharu. Bagi mengetengahkan tumpuan SAFTI City terhadap kesiapsiagaan operasi yang realistik, Duli Yang Teramat Mulia menyaksikan penggunaan peralatan instrumentasi pintar, turut mengendalikan dron, serta mengambil bahagian secara aktif dalam latihan praktikal menembak sasaran menggunakan senapang penembak tepat (sniper).

Dilancarkan pada bulan Mac 2025, SAFTI City merupakan kemudahan pintar generasi akan datang milik Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) untuk latihan operasi bandar yang realistik. Ia menyediakan persekitaran kawasan binaan bagi tujuan keselamatan dalam negeri, antipengganas, dan bantuan bencana.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto