Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei LNG Sendirian Berhad (BLNG) Ke-231 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei Gas Carriers Sendirian Berhad (BGC) Ke-117 bagi Suku Ketiga Tahun 2026. Mesyuarat tersebut berlangsung di bangunan Jabatan Perdana Menteri.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran) dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri Kewangan II, selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat BLNG dan Syarikat BGC.

Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Doa. Pada permulaan mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Titah. Baginda turut mengiktiraf pencapaian yang menggalakkan oleh Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Venture setakat ini, di samping usaha penambahbaikan yang dilaksanakan secara berterusan.

Mesyuarat seterusnya membincangkan beberapa perkara utama termasuk prestasi operasi dan kewangan, keselamatan dan kebolehpercayaan operasi, pembangunan tenaga kerja serta perancangan perniagaan. Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha untuk terus meningkatkan prestasi dan daya saing syarikat-syarikat berkenaan, di samping memperkukuhkan keupayaan bagi menjana nilai secara mampan dalam menghadapi perubahan persekitaran perniagaan dan tenaga.

Baginda turut menekankan kepentingan hala tuju yang jelas bagi mencapai potensi setiap syarikat, termasuk keutamaan dan pilihan strategik yang diperlukan bagi menyokong prestasi dan daya saing jangka panjang. Perhatian turut diberikan kepada kepentingan penyelarasan dan kerjasama yang berkesan dalam kalangan Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Venture.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Shell plc dan Mitsubishi Corporation serta ahli-ahli kepimpinan daripada BLNG dan BGC.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga PengarahPengarah Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-420 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-198 bagi Suku Ketiga Tahun 2026 pada hari esok.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto