
Lianyungang, Republik Rakyat China, 07 hingga 10 September 2026
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri Persidangan “2026 Global Public Security Cooperation Forum Lianyungang (GPSCFL)” yang diadakan di Kota Lianyungang, Wilayah Jiangsu, Republik Rakyat China pada 07 hingga 10 September 2026.
Negara Brunei Darussalam telah menyertai GPSCFL sejak tahun 2024 yang merupakan sebuah persidangan tahunan yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Keselamatan Awam, Republik Rakyat China dan China Association for Friendship di bawah Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Rakyat China. Tema GPSCFL pada tahun ini iaitu “Unite to Advance Public Security Governance Bring Stability to a Turbulent World,” menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dan perpaduan antarabangsa dalam meningkatkan tadbir urus keselamatan awam, khususnya dalam menangani landskap keselamatan global yang semakin kompleks dan tidak menentu.
Sidang plenari GPSCFL telah diadakan pada petang 09 September 2026 di Haizhou Bayview Conference Centre di Kota Lianyungang, Republik Rakyat China. Hadir bagi merasmikan Persidangan GPSCFL 2026 ialah Tuan Yang Terutama Wang Xiaohong, State Councillor and Minister for Public Security, Republik Rakyat China. Pada hari yang sama, delegasi Negara Brunei Darussalam juga berkesempatan mengunjungi The 3rd Public Security Tech Expo yang diadakan bersempena dengan persidangan tersebut.
Terlebih dahulu pada 08 September 2026, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) telah mengadakan Mesyuarat Dua Hala dengan Tuan Yang Terutama Yang Weilin, Vice Minister of Public Security, Kementerian Keselamatan Awam, Republik Rakyat China. Semasa mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) telah menzahirkan rasa berpuas hati dengan hubungan kerjasama erat yang terjalin di antara agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di kedua-dua buah Negara. Mesyuarat turut membincangkan usaha-usaha untuk terus memperkukuh lagi jalinan kerjasama secara formal di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China khususnya dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan, termasuk melalui pertukaran maklumat, perkongsian amalan terbaik dan pembangunan kapasiti, khususnya dalam menangani isu-isu berkepentingan bersama termasuk penguatkuasaan undang-undang, pengedaran dadah dan keselamatan siber.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) juga telah mengadakan perjumpaan bersama Tuan Yang Terutama Syed Mohsin Raza Naqvi, Menteri Persekutuan bagi Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kawalan Narkotik, Republik Islam Pakistan pada 09 September 2026. Semasa perbincangan tersebut, kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama dalam bidang keselamatan, khususnya dalam menangani jenayah rentas sempadan termasuk pengganasan dan jenayah siber. Perbincangan turut menyentuh mengenai mekanisme rasmi untuk mengukuhkan kerjasama di antara agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di kedua-dua negara khususnya dalam memanfaatkan teknologi yang terkini.
Semasa berada di Republik Rakyat China, delegasi Negara Brunei Darussalam juga berpeluang untuk mengadakan lawatan ke beberapa lokasi di Kota Beijing dan Shanghai di atas jemputan pihak Kementerian Keselamatan Awam, Republik Rakyat China dan pihak-pihak berkepentingan yang lain.
Turut menyertai delegasi Negara Brunei Darussalam ke persidangan berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri, Dayang Hajah Aldila binti Haji Mohamad Salleh dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Jabatan Perdana Menteri