
ReCAAP ISC Cluster Meeting 2026 telah diadakan di Negara Brunei Darussalam dan dianjurkan bersama oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) danPusat Penyelarasan Maritim Kebangsaan (PPMK), Jabatan Perdana Menteri. Mesyuarat selama dua hari tersebut telah menghimpunkan wakil-wakil dari Negara Brunei Darussalam, Kerajaan Kemboja, Republik Rakyat China, Republik Indonesia, Republik Filipina, Kerajaan Thailand dan Republik Sosialis Viet Nam, serta wakil-wakil daripada ReCAAP Information Sharing Centre (ReCAAP ISC).
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada Majlis Pembukaan ialah Yang Mulia Pesuruhjaya Polis Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin, Pasukan Polis Diraja Brunei. Turut hadir ialah Yang Mulia Zulhusam bin Haji Abdul Samad, Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang), Jabatan Perdana Menteri, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Dato Seri Pahlawan Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, Penolong Pesuruhjaya Polis Haji Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah, Pemangku Ketua Operasi, PPDB, Dr Vijay Digambar Chafekar, Pengarah Eksekutif, ReCAAP Information Sharing Centre (ReCAAP ISC) dan Komander Malek bin PDJLD DSP Haji Kefli, Pengarah Maritim, Pusat Penyelarasan Maritim Kebangsaan, Jabatan Perdana Menteri, serta pegawai-pegawai kanan dan para peserta mesyuarat.
Majlis Pembukaan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Ketua Operasi, Pasukan Polis Diraja Brunei, diikuti dengan ucapan pembukaan dan perasmian ReCAAP ISC Cluster Meeting 2026 oleh Pengarah Eksekutif ReCAAP ISC. Majlis tersebut menandakan bermulanya mesyuarat selama dua hari berkenaan serta mengalu-alukan kehadiran delegasi-delegasi yang mengambil bahagian ke Negara Brunei Darussalam.
ReCAAP ISC Cluster Meeting 2026 menyediakan platform kepada negara-negara peserta untuk berkongsi maklumat, pandangan dan pengalaman, di samping memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang menjadi kepentingan bersama. Antara perkara utama yang dibincangkan ialah situasi semasa serta usaha-usaha berterusan untuk mengurangkan risiko piracy dan armed robbery terhadap kapal. Mesyuarat tersebut turut memberikan peluang kepada negara-negara peserta untuk bertukar pandangan dan pengalaman, berkongsi usaha masing-masing dalam menangani ancaman berkenaan serta mengenal pasti pendekatan yang dapat menyumbang ke arah meningkatkan keselamatan dan perlindungan kapal serta para pelaut, sekali gus menggalakkan persekitaran maritim yang lebih selamat di rantau ini. Mesyuarat tersebut turut menekankan kepentingan kerjasama serantau dan perkongsian maklumat dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang merentasi sempadan negara. Melalui perbincangan yang konstruktif dan pertukaran pandangan antara negara-negara peserta, ReCAAP ISC Cluster Meeting 2026 berusaha untuk terus memperkukuh hubungan kerja, persefahaman bersama serta usaha kolektif dalam mendukung keselamatan dan kestabilan maritim serantau.
Bersempena dengan ReCAAP ISC Cluster Meeting 2026, satu Majlis Makan Malam bagi Mengalu-alukan Para Peserta telah diadakan pada Isnin, 21 September 2026, bertempat di Presidential Lounge, Rizqun International Hotel, Gadong, bagi mengalu-alukan para peserta dan delegasi ke Negara Brunei Darussalam. Yang Mulia Hajah Aldila binti Haji Mohamad Salleh, Timbalan Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang), Jabatan Perdana Menteri, hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut.
Majlis Makan Malam tersebut memberikan peluang kepada para peserta, wakil-wakil ReCAAP ISC dan agensi-agensi maritim yang berkaitan untuk mengeratkan hubungan serta memperkukuh jaringan kerjasama dalam suasana yang mesra. Majlis tersebut juga memberi peluang kepada para peserta untuk berinteraksi serta bertukar pandangan dan pengalaman ke arah memperkukuh lagi kerjasama keselamatan maritim di rantau ini.
Majlis Makan Malam dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Komander Malek bin PDJLD DSP Haji Kefli, Pengarah Pusat Penyelarasan Maritim Kebangsaan, Jabatan Perdana Menteri, yang mengalu-alukan kehadiran para peserta ReCAAP ISC Cluster Meeting 2026 ke Negara Brunei Darussalam. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan, wakil-wakil ReCAAP ISC, ketua-ketua delegasi serta wakil daripada agensi-agensi berkaitan.
Penganjuran bersama ReCAAP ISC Cluster Meeting 2026 oleh Pasukan Polis Diraja Brunei dan Pusat Penyelarasan Maritim Kebangsaan, Jabatan Perdana Menteri, mencerminkan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuh kerjasama serantau, perkongsian maklumat serta usaha kolektif ke arah mewujudkan persekitaran maritim yang selamat dan terjamin.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Jabatan Perdana Menteri
