TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MAJLIS
HAFLUT TAKHARRUJ KE-8 UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
BAGI TAHUN 1440H/2018M
PADA HARI ISNIN
07 MUHARRAM 1440 / 17 SEPTEMBER 2018
BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir di Majlis Haflut Takharruj kali ke-8, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.
Beta terlebih dahulu merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menyempurnakan pengajian masing-masing. Beta juga tidak lupa melafazkan penghargaan kepada para ibubapa, penjaga dan pensyarah yang sama-sama menyumbangkan sokongan dan khidmat bagi kejayaan para graduan ini.
Kita sama-sama memahami, bahawa universiti adalah sebuah gedung ilmu. Disinilah tempat menimba ilmu, tempat berguru dan tempat membina syakhsiah para siswazah. Oleh yang demikian, suka Beta mengingatkan semula, bahawa kelahiran UNISSA, bukan setakat untuk menambah bilangan universiti di negara ini, malah penubuhan UNISSA bertujuan untuk menyediakan pengajian tinggi Islam tulen sejati. Kerana itu pastikan, UNISSA tidak menyimpang ke mana-mana.
Berjalanlah di atas landasan asal mengagungkan ilmu, bagi satu perubahan pesat yang mencabar. Para graduan perlu mampu untuk mengusai ilmu dan menggunakannya bagi pembangunan. Inilah cabaran abad ke-21 untuk dipenuhi. Semua orang tidak boleh lalai menghadapinya.
Oleh itu, sebagai pelengkap, UNISSA perlu menyediakan program-program berkualiti dan sekaligus mengajarkan kepada pada pelajarnya kemahiran-kemahiran bagi mengadaptasi keperluan sekarang dan akan datang. Ini, termasuklah dengan mengemaskinikan semua program akademik yang ada.
Pastikan semua program menepati sasaran. Kita tidak mahu, yang tersurat sahaja kelihatan cantik, tetapi yang tersirat jelik. Misalnya, semua orang mengakui kebaikan undang-undang, tetapi terhadap undang-undang Islam, ada yang memandang serong. Ini juga, turut menjadi kewajipan kepada UNISSA, untuk membetulkan perspektif yang lapok ini, yang amat mengelirukan.
UNISSA, mesti terus berazam untuk memperkasa pengajian dan pendidikan Islam tulen. Kuatkanlah hujah memerangi kebatilan. Kebatilan itu, tidak mesti muncul daripada dalam, bahkan banyak yang datang daripada luar. Ia datang dengan pelbagai cara, ada dengan cara dibawa, dan lebih lumrah ialah melalui aplikasi media.
Kita orang Brunei dan UNISSA, jangan terlepas pandang perkara ini. Ini adalah racun perlu dielakkan. Sebaliknya pertahankanlah ‘kebenaran’ dalam ugama, sekalipun banyak pihak tidak menyukainya. Selama mana Allah suka, maka itulah pilihan kita.
Beta mahu, UNISSA menjadi tonggak memelihara ugama. Ia perlu kukuh dan teguh, ibarat tembok yang kuat, berperanan menahan ombak besar.
Kerana itu, melihat kepada kepentingan ini, Beta telah memperkanankan satu tapak, di Mukim Labu, Temburong bagi kampus kekal UNISSA didirikan. Beta juga memperkenankan satu peruntukkan di bawah Rancangan kemajuan Negara ke-11 bagi pembinaan kampus ini.
Beta berharap dengan adanya kampus ini kelak, akan melonjaklah lagi reputasi UNISSA dan sekaligus merealisasikan harapan kita semua untuk melihatnya sebagai hab pengajian tinggi Islam di rantau ini.
UNISSA bukan sahaja perlu cemerlang dalam negara, malah juga mesti cemerlang di peringkat serantau dan global. Maka untuk itu, tibalah masanya untuk UNISSA merebut kedudukan dari segi sistem ‘ranking’ di peringkat rantau mahupun dunia. Alangkah baiknya, jika UNISSA dapat membuktikan dirinya sebagai mampu untuk menjadi saingan kepada universiti-universiti yang lain. Akhirnya, Beta turut mengambil peluang untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang meliputi ahli-ahli Majlis, ahli-ahli Senat, rektor, pegawai utama, ahli-ahli akademik dan seluruh pegawai serta kakitangan universiti di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka. Semoga Allah jua yang akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
