Cabaran keselamatan serantau dan global, terutamanya ancaman keganasan, migrasi tidak teratur, keselamatan siber dan jenayah rentas sempadan adalah antara perkara utama yang dibincangkan semasa Mesyuarat Sub-Regional Meeting on Counter Terrorism and Transnational Security (SRM) Kali Ke-7 yang diadakan di The Ritz-Carlton Jakarta, Mega Kuningan, Jakarta, Indonesia pada hari ini.

Delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat tersebut diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), dan Menteri Pertahanan II. Turut hadir ialah Tuan Yang Terutama (TYT) Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Indonesia; Yang Mulia Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad, Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Undang-Undang), JPM serta Pegawai-Pegawai Kanan dari JPM.

Mesyuarat SRM Kali Ke-7 telah dipengerusikan bersama oleh TYT Jeneral (B) Dudung Abdurachman, Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum, dan Keamanan, Republik Indonesia; dan Yang Berhormat Tony Burke MP, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Menteri Seni, Menteri Keselamatan Siber, Menteri Imigresen dan Kewarganegaraan Australia. Turut menyertai mesyuarat tahun ini ialah Menteri dan Pegawai Kanan daripada Malaysia, New Zealand, Republik Filipina, Republik Singapura dan Thailand.

Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Menteri di JPM, dan Menteri Pertahanan II menekankan kedudukan dan dasar Negara Brunei Darussalam dalam mengekalkan hubungan persahabatan dengan semua negara demi memelihara keamanan dan keselamatan rantau ini. Ucapan beliau turut menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam SRM bagi menangani isu keganasan dan ekstremisme di rantau ini. Berkaitan perkara ini, Negara Brunei Darussalam dan Malaysia akan menjadi Pengerusi Bersama bagi ‘Senior Officials’ Counter-Terrorism Policy Forum’ di bawah SRM pada tahun hadapan.

Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Menteri di JPM, dan Menteri Pertahanan II juga berkongsi usaha Negara Brunei Darussalam dalam memerangi migrasi tidak teratur, khususnya pemerdagangan orang. Baru-baru ini, kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam Laporan Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat telah dinaikkan taraf selama dua tahun berturut-turut, iaitu ke tahap ‘Tier 2 Watch List’ pada 2025 dan ke tahap ‘Tier 2’ pada tahun ini.

Kemudian, delegasi yang diketuai oleh Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Menteri di JPM, dan Menteri Pertahanan II turut mengadakan Kunjungan Hormat dengan Yang Berhormat Tony Burke MP, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Menteri Seni, Menteri Keselamatan Siber, Menteri Imigresen dan Kewarganegaraan Australia. Semasa Kunjungan Hormat berkenaan, kedua-dua negara menzahirkan rasa puas hati terhadap hubungan dan kerjasama yang telah lama terjalin dalam pelbagai bidang, khususnya bidang keselamatan. Kedua buah negara turut membincangkan jalan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam perkara yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk keselamatan sempadan dan keselamatan siber.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Jabatan Penerangan