TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
DI MAJLIS KONVOKESYEN KE-30
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM (UBD)
PADA:
HARI RABU
17HB ZULHIJJAH 1439
29HB SEPTEMBER 2018
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat bersama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-30 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.
Beta dengan sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian di universiti ini. Hari ini juga adalah hari yang dibanggakan oleh para ibu-bapa dan penjaga kerana kejayaan anak-anak mereka. Namun ini bukanlah titik noktah untuk para graduan itu berhenti dari menimba ilmu. Mereka masih saja punya masa depan dan peluang yang luas untuk meningkatkan diri, selaras dengan pasaran kerja global yang pesat berubah.
Mengenai pasaran kerja yang pesat berubah ini, perlu disedari, bahawa kita kini sedang berada dalam era revolusi industri ke empat (fourth industrial revolution), di mana teknologi digital akan mengubah cara hidup kita dan juga cara bekerja. Respon terhadap revolusi ini tentu saja melibatkan semua pihak yang berkepentingan, sama ada oleh sektor awam, swasta dan malah seluruh masyarakat, termasuk para akademik dan graduan untuk berganding bahu menggerakkan pembangunan negara melalui knowledge-based.
Oleh yang demikian, bagi UBD dan institusi-institusi pengajian tinggi yang lain adalah elok untuk memberikan tumpuan kepada pendidikan dan penyelidikan kemahiran abad ke-21 yang canggih. Maka sehubungan itu, Beta menyarankan kerjasama rapat dengan pihak industri, untuk antara lain, berkongsi pengetahuan praktikal mengenai trend industri dan pasaran kerja. Selain itu, sistem pendidikan juga perlu memberikan tumpuan kepada pembelajaran sepanjang hayat.
Dalam hubungan ini, Beta gembira mengetahui, bahawa UBD telah memperkembangkan program-program yang ditawarkan secara flexible dari segi masa, tempat dan laluan pembelajaran. Beta berharap dengan pendidikan dan juga penyelidikan yang kukuh serta canggih, ianya akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang berkesan.
Menyentuh mengenai penyelidikan, ia adalah benih untuk pertumbuhan ekonomi. Beta difahamkan bahawa salah satu yang diberikan tumpuan oleh UBD ialah bidang Data Analytics, sebagai salah satu langkah positif ke arah inovasi dan pembangunan ekonomi. Sehubungan itu, Beta yakin, UBD pasti turut terpanggil untuk mengkaji bidang-bidang tertentu, seperti bidang keselamatan siber atau Cybersecurity yang masih banyak dipersoalkan dan lain-lain lagi.
Dalam konteks ini, Beta mengucapkan syabas atas mengkomersialkan paten UBD untuk julung-julung kalinya pada tahun ini. Beta difahamkan produk tersebut, Smart Coating adalah hasil penyelidikan beberapa orang pelajar Sarjana dan Kedoktoran PhD dan sekarang mempunyai ejen jualan di Brunei Darussalam, Jepun, Thailand dan Myanmar. Beta berharap dengan kejayaan ini lebih ramai lagi para pelajar kita yang akan terpanggil untuk melakukan kerja-kerja penyelidikan dan aktiviti-aktiviti komersial.
Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang berjaya. Beta berharap supaya setiap graduan akan terus memupuk sikap ingin maju serta berazam untuk sama-sama membangun negara yang kita cintai ini. Selain itu, para graduan juga jangan lupa untuk berpegang kuat kepada falsafah MIB, selaku sistem, kerana MIB telah pun terbukti membawa kebaikan kepada semua, semenjak lebih dari 600 tahun lagi.
Beta juga mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Brunei Darussalam, yang merangkumi Ahli-ahli Majlis, Ahli-ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua yang akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
