SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
PENGAMBILAN KE TUJUH
15HB MAC 2018
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Marilah kita merafa’kan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan ke-7 dapat berlangsung dengan jayanya. Ini adalah kali kedua Upacara Perbarisan Tamat Latihan dilaksanakan di Padang Kawad, Kem Latihan Kekal PKBN di Kampong Batu Apoi, Daerah Temburong.
Beta percaya kewujudan PKBN amatlah penting, kerana melaluinya, kita dapat membentuk modal insan belia yang optima, yang memiliki jati diri dan semangat patriotisme yang kental. Beta amat gembira dengan semangat yang ditunjukkan oleh para pelatih semasa acara Hari Kebangsaan baru-baru ini. Semangat seperti ini perlu terus dipupuk untuk mencapai ‘Brunei Maju’ menjelang 2035.
Kita semua maklum, bahawa kemajuan sesebuah negara itu sering dikaitkan dengan pembangunan modal insan. Kerana pembangunan modal insan adalah teras bagi menjayakan sesuatu transformasi ke arah perubahan. Maka atas asas inilah kita memberikan fokus kepada pembangunan insan cemerlang, di antaranya melalui program PKBN. Lebih-lebih lagi modal insan di peringkat belia, kerana belia adalah tonggak bangsa dan negara.
Kerana itu, para pelatih, kita bekalkan mereka dengan nilai-nilai yang kukuh, baik dari aspek fizikal mahupun rohani, agar belia Brunei benar-benar dapat diharapkan untuk menghadapi apa jua hambatan atau cabaran.
Beta pada hari ini turut berbangga, kerana Bahagian Khidmat Bakti Negara telah maju setapak lagi dengan penubuhan Persatuan Alumni PKBN. Beta yakin penubuhan Persatuan ini, bukan saja dapat menyatukan kesemua Alumni PKBN di bawah satu organisasi, malahan juga dapat menabur jasa dan sumbangan, seperti melalui kegiatan-kegiatan keugamaan dan kemasyarakatan serta khidmat kesukarelawanan.
Alhamdulillah, kita sama-sama dapat menyaksikan prasarana dan bangunan yang telah dilengkapkan dengan kemudahan-kemudahan canggih, antara lain, seperti struktur pelbagai latihan (Multi-Training Structure) dan Obstacle Course. Apa yang perlu sekarang ialah untuk kemudahan-kemudahan itu akan digunakan sepenuhnya, bukan hanya sewaktu ada pengambilan program PKBN sahaja.
Oleh itu, bagi pihak-pihak yang berkenaan sangatlah wajar untuk merencana dan melaksanakan dengan baik setiap program di Kem Latihan Kekal PKBN ini.
Akhirnya, Beta mengucapkan tahniah dan syabas kepada seramai 347 pelatih PKBN Pengambilan ke-7, iaitu jumlah terbesar pengambilan setakat ini.
Kejayaan para pelatih pada hari ini bukan saja hasil titik peluh masing-masing, malahan juga dari kerjasama yang padu daripada pelbagai pihak, khususnya para jurulatih, lebih-lebih lagi berkat doa ibu-bapa dan penjaga serta keyakinan mereka, bahawa anak-anak mereka perlu diberikan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang bermanfa’at, selaku generasi belia yang benar-benar Bersedia Berkhidmat dan Berbakti.
Insya Allah, diatas segala sumbangan bakti yang diberikan kepada pembangunan modal insan, demi untuk melahirkan Generasi Cemerlang, maka para pelatih, semoga akan dikurniakan rahmat dan petunjuk oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.
