TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MAJLIS
KONVOKESYEN KALI KE-5
BAGI GRADUAN IJAZAH DAN MAJLIS KONVOKESYEN
BAGI GRADUAN DIPLOMA TERTINGGI KEBANGSAAN KALI KE-26
UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI (UTB)
PADA HARI SABTU
09 MUHARRAM 1439 / 30 SEPTEMBER 2017
BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Brunei (UTB) Tahun 2017.
Di kesempatan ini Beta sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Semoga kejayaan ini akan jadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Ucapan tahniah ini juga Beta tujukan kepada ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang sentiasa memupuk semangat cintakan ilmu kepada para graduan sehingga mereka itu beroleh kejayaan.
Beta difahamkan bahawa Majlis Konvokesyen pada kali ini akan menyaksikan penganugerahan sulung bagi program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dan Ijazah Sarjana Masters by Coursework. Beta juga mengambil maklum bahawa kemasukan para pelajar ke UTB bagi program lepasan ijazah telah meningkat dari tahun ke tahun. Ini menunjukkan peningkatan keyakinan terhadap keupayaan UTB dalam mengendalikan program lepasan ijazah.
Walaubagaimanapun, nisbah pelajar antarabangsa masih saja belum mencapai sasaran optima bagi Institusi Pengajian Tinggi. Dalam hal ini, Beta menyeru agar UTB melipatgandakan lagi usaha pengantarabangsaan untuk menarik pelajar-pelajar dari luar negara. Beta menyambut baik usaha UTB untuk menanda aras melalui penarafan bintang dan kedudukan dikalangan universiti-universiti di Asia.
Alhamdulillah, usaha penarafan bintang telah membawa hasil dimana UTB telah berjaya meraih 4 bintang pada penilaian keseluruhan oleh QS. Pencapaian ini sangatlah bermakna bagi UTB, kerana belum pun sampai usianya 10 tahun ia sudah mampu untuk mendapat pengiktirafan, seperti universiti-universiti yang sudah lama tertubuh.
Pada tahun 2014, Beta pernah bertitah mengenai Triple Helix.
Beta dimaklumkan bahawa konsep Triple Helix boleh dilaratkan kepada Quadra-Helix sekiranya ia melibatkan inovasi berteraskan pengguna atau user-centric innovation. Beta gembira dengan kemajuan yang dicapai dalam Quadra-Helix setakat ini.
Bukan itu sahaja, UTB juga telah merintis usaha dengan membuka makmal Sains, Teknologi dan Innovasi untuk menempatkan industri di dalam kampus. Impak kerjasama seperti ini hendaklah diukur melalui penjanaan modal insan yang mempunyai kebolehpasaran tempatan atau global, seta mempunyai kemahiran dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau ringkasnya, STEM.
Selain itu, Beta juga difahamkan bahawa kerjasama antara UTB dan Syarikat Sesame World Technology telah menghasilkan inovasi ketara melalui pengeluaran produk dalam Directed Sound System yang mempunai nilai komersial. Ini juga penting, kerana ia boleh menyumbang kepada hasil negara melalui ekonomi berasaskan inovasi.
Khusus mengenai penjanaan modal insan, Beta ingin mengingatkan supaya apa jua aktiviti UTB ke arah ini, hendaklah tidak bercanggah dengan falsafah MIB. MIB adalah ‘calak’ kita.
Akhirnya, Beta sekali lagi merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang diraikan pada pagi ini.
Ucapan penghargaan dan terima kasih juga dirakamkan kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, Ahli-Ahli Akademik, pegawai dan kakitangan, atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdo’a semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan memberkati segala pengorbanan mereka, dengan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
