TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
DI MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE-27
PADA HARI SELASA
05 MUHARRAM 1439 / 26 SEPTEMBER 2017
BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah
Subhanahu Wata'ala kerana dapat pula hadir di
Majlis Sambutan Hari Guru kali ke-27, tahun 2017 pada pagi ini. Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua para guru dan pendidik di Negara Brunei Darussalam.
Beta mengambil maklum mengenai tema Sambutan Hari Guru pada tahun ini berbunyi : "Kecemerlangan Guru Teras Kejayaan Ummah".
Sebagai pendidik, guru memang dikehendaki sentiasa cemerlang untuk melahirkan anak-anak bangsa yang berjaya. Guru adalah nadi bagi kejayaan.
Berdasarkan dunia sentiasa berubah dan berkembang, maka tuntutan kapasiti sumber tenaga manusia adalah semakin mencabar. Ini, turut memberikan implikasi kepada definisi kecemerlangan seorang guru. Menyedari hakikat ini, Beta gembira dengan usaha Kementerian Pendidikan untuk menjadikan perkembangan kapasiti guru sebagai fokus utama dalam strategi pendidikan.
Ini memang wajar untuk pembaikan dan peningkatan diri.
Menyentuh usaha memperkukuhkan kapasiti guru, Beta menyambut baik inisiatif
Literacy and Numeracy Coaching Program yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan.
Program ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai guru-guru tempatan yang cemerlang yang diperakui sebagai
Local Coaches.
Beta gembira mengetahui, bahawa seramai 29 orang guru setakat ini telah pun menamatkan program pembangunan kapasiti dan kini diiktiraf sebagai
'Local Coaches' dalam
Literacy and Numeracy Coaching Program ini. Beta berharap jumlah ini akan meningkat lagi.
Bagi guru-guru yang tidak terlibat secara langsung sebagai
'Local Coaches' ataupun
'Learning Partners' adalah disarankan supaya memanfaatkan kepakaran
'International Coaches' dengan mengikuti program-program perkembangan profesional guru-guru yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan.
Dalam pada itu, Beta ingin mengingatkan supaya Kementerian Pendidikan tidak bersifat leka atau terlepas pandang dari memantau perlaksanaan
Literacy and Numeracy Coaching Program ini. Pastikan ia berjalan di atas landasan yang tidak bercanggah dengan falsafah kita. Ini sangat penting, disamping perubahan signifikan yang dibawanya kepada prestasi guru.
Sehubungan dengan perkara ini, mungkin juga elok bagi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk mengambil daya usaha dengan jabatan dan agensi kerajaan yang berkenaan bagi menyediakan pakej yang menarik sebagai insentif kepada guru-guru yang berminat menjadi
'Local Coaches'.
Dalam masa yang sama kita juga akan mengukur kompetensi pelajar dalam pengetahuan dan kemahiran berfikir. Ini dapat dilaksanakan melalui penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam
Programme for International Student Assessment (PISA). Program ini akan disertai oleh setiap pelajar kita yang berumur 15 tahun pada tahun 2018, dan akan menilai kompetensi serta kedudukan pelajar-pelajar kita itu berbanding dengan pelajar-pelajar lain di peringkat antarabangsa.
Ini juga merupakan cabaran terhadap tahap kapasiti guru-guru kita dalam menerapkan kefahaman kepada pelajar-pelajar kita untuk memahami bahan kandungan dan proses berfikir yang kompleks di dalam kehidupan ini.
Soal ini kita jangan lupa, satu perkara lebih penting berbanding pencapaian akademik ialah nilai akhlak mulia bagi pelajar. Ini sayugia jangan diabaikan.
Para guru adalah bertanggungjawab langsung terhadap pembentukan akhlak pelajar. Peranan mereka bukan setakat memperkaya sumber ilmu, tetapi juga untuk menjadi ikutan atau tauladan kepada anak didik iaitu guru.
Kerana itu, guru tidaklah boleh berlepas tangan mengenai akhlak. Kerana akhlak itu sendiri adalah pakaian guru.
Dalam konteks yang sama juga ialah ibu bapa. Mereka tidak boleh berkecuali mengenai pendidikan, bahkan merekalah sekolah pertama dan utama sebelum lagi lain-lain sekolah. Pengaruh mereka cukup kuat untuk menentukan corak atau bentuk keperibadian anak-anak. Maka kerana itu, Beta mengajak para ibu bapa untuk sama-sama menyedari hakikat ini.
Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di negara ini, semoga segala usaha mereka dalam mendidik anak bangsa akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah
Subhanahu Wata'ala.
Kepada para penerima Anugerah Hari Guru pula, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan semoga penganugerahan ini akan menjadi pencetus semangat dan motivasi bagi seluruh warga guru untuk meningkatkan lagi prestasi pendidikan ummah.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
