TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA ‘IDIL FITRI
BAGI TAHUN 1438H / 2017M
ANJURAN YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
PADA
HARI ISNIN
15HB. SYAWAL 1438
10HB JULAI 2017
BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Marilah kita sama-sama merafa’kan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana Yayasan dapat lagi menganjurkan Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri, sebagaimana dilakukannya pada setiap tahun.
‘Idil Fitri, sebagaimana kita sama-sama maklum adalah hari kemenangan bagi mereka yang telah berjaya melaksanakan ibadat berpuasa sebulan penuh dalam bulan Ramadhan.
Dengan mengambil sukut ‘kejayaan’ inilah, Yayasan Beta, dalam merayakan Hari Raya pada tahun ini telah menampilkan golongan yang dianggap berjaya, the achievers, dalam bidang masing-masing sebagai peserta.
Golongan ini patut dihargai, sejajar dengan matlamat Wawasan 2035 untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam mempunyai rakyat yang berpendidikan tinggi, berkemahiran serta berjaya dalam segala lapangan.
Sebagai faktor pendorong ke arah ini, Yayasan Beta tidak ketinggalan untuk menyediakan beberapa skim penggalak, seperti skim Anugerah Sultan’s Scholar, skim Anugerah Kesusasteraan Islam dan skim Anugerah Penulisan Islam.
Di samping itu, Yayasan juga telah menyediakan pelbagai pemberian atau hadiah atau sumbangan melalui program-program yang dianjurkan oleh kerajaan dan swasta, termasuk menyediakan skim-skim bantuan, untuk membantu mereka yang memerlukannya.
Peranan ini diambil oleh Yayasan adalah sebagai pelaburan jangka pendek mahupun jangka panjang. Apabila sesuatu galakan atau bantuan disalurkan kepada mana-mana pihak, maka tidak syak lagi ia adalah satu pelaburan yang dapat ditunggu hasilnya berupa kemanfa’atan.
Di antara manfa’at besar yang mungkin diraih itu, ialah lahirnya para achievers yang pernah menikmati anugerah skim atau bantuan daripada Yayasan, sebagaimana telah disebut awal-awal tadi.
Beta mengharapkan, supaya para achievers tidak akan mudah ataupun cepat untuk berpuas hati dengan kejayaan-kejayaan tahap pertama, tetapi hendaklah terus berusaha untuk mencapai kejayaan-kejayaan yang lebih menyerlah, khasnya di bidang-bidang yang sangat diperlukan oleh negara.
Beta ingin menyebutkan disini satu contoh tentang keperluan tersebut, iaitu berkaitan dengan bidang industri minyak dan pertanian. Dua-dua bidang ini tidak diragukan lagi adalah nadi kepada negara, tetapi apakah yang kita sudah ada, yang sepatutnya dimiliki dari sudut kepakaran mengenainya?
Usia industri minyak telah pun mendekati hampir satu abad, tetapi peluang warga tempatan untuk menyandang jawatan-jawatan tinggi dan tertinggi masih saja mengecewakan. Apakah ini belum lagi cukup untuk menyedarkan kita, khasnya para achievers, termasuk pemimpin dan juga sekalian anak bangsa pada ‘amnya? Sehingga bilakah negara mesti menunggu untuk keadaan ini berubah.
Sementara bidang industri pertanian pula, kelihatannya adalah tidak aktif atau masih kurang diaktifkan, sedangkan keperluannya bagi negara sangatlah besar. Jadi dimanakah kita dengan azam dan usaha untuk mengaktifkan bidang pertanian itu sehingga mencapai tahap sara diri, atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkan pergantungan kita kepada komoditi import seperti beras.
Disinilah pentingnya inisiatif dan ‘idea besar’ untuk memajukan negara dan bangsa. Tanpa adanya inisiatif dan idea tersebut, semua jentera tidak mampu bergerak untuk memastikan perkembangan dan kemajuan berjalan lancar.
Maka kerana itu, adalah penting untuk memiliki inisiatif dan idea, selain disiplin ilmu. Inilah yang sebenar-benarnya kunci kemajuan dan kejayaan.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
