TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Sempena
Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-23
Pada Hari Khamis
19 Muharram 1438 bersamaan 20 Oktober 2016
Bertempat
Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas
“Perkhidmatan Awam Perlu Tingkatkan Produktiviti, Hasil Negara”
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat sama-sama berkumpul pada pagi ini di Majlis Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-23 bagi Tahun 2016.
Kita sudah selalu mendengar ungkapan, bahawa Perkhidmatan Awam adalah teras utama untuk kemajuan sesebuah negara. Warga Perkhidmatan Awam adalah pengurus, pemudah cara dan malah agen kepada perubahan.
Kerana itu, warga Perkhidmatan Awam perlu memiliki disiplin yang tinggi dan kesungguhan dalam memainkan peranan masing-masing.
Mereka perlu meningkatkan diri dengan mengenali baseline masing-masing, setakat mana minda, sikap dan kemampuan mereka dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti untuk negara dan pelanggan.
Negara adalah benar-benar berhajat kepada khidmat para penjawat awam. Melalui perkhidmatan merekalah akan dapat ditingkatkan produktiviti dan penghasilan negara.
Kerana itu alhamdulillah, kita sekarang sedang giat menggunakan kaedah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan delivery approach. Dan semua ini, adalah berpaksikan kepada amalan-amalan terbaik.
Di samping itu, kita juga menggunakan penanda-aras atau benchmarking, seperti kedudukan negara di mata antarabangsa dalam World Bank Ranking on Ease of doing Business. Dan baru-baru ini, kita telah menyertai World Competitiveness Index yang dikendalikan oleh World Economic Forum.
Beta penuh yakin, dengan usaha bersepadu semua kementerian, yang dilengkapi dengan strategi-strategi yang berasaskan evidence and result-based, kita insyaAllah akan dapat menjayakan pelaksanaan Wawasan 2035.
Mengenai tranformasi Perkhidmatan Awam, beta mengalu-alukan Tema Hari Perkhidmatan Awam pada kali ini yang berbunyi: 'Transformasi Ke Arah Perkhidmatan Awam Yang Progresif.' Tema ini memberi penekanan, betapa pentingnya Perkhidmatan Awam untuk sentiasa proaktif dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan serta lebih prihatin terhadap keperluan masyarakat dan para pelabur. Di samping itu, tema ini juga memberikan fokus kepada penilaian yang berkesan melalui health check terhadap keupayaan warga Perkhidmatan Awam dalam menangani setiap cabaran semasa.
Memandangkan tema ini bersifat dinamik dan relevan untuk diguna pakai dalam beberapa tahun, maka beta ingin melihat momentum dan langkah-langkah pembaharuan terus dipertingkatkan.
Selaras dengan strategi Wawasan 2035, beta mengalu-alukan usaha Jabatan Perdana Menteri dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam Tahun 2016 hingga 2020. Beta mengharapkan rangka kerja ini dapat memacu Perkhidmatan Awam di tahap yang lebih hebat dan progresif.
Satu lagi inisiatif pembaharuan Perkhidmatan Awam ialah usaha meminda Peraturan-Peraturan Pegawai-Pegawai Kerajaan di bawah Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang dikenali sebagai General Order yang telah digunakan sejak tahun 1961.
Pindaan ini akan memberikan nafas baru kepada Perkhidmatan Awam agar lebih lengkap dan terkini, khususnya dalam melahirkan modal insan yang cekap dan berdisiplin.
Untuk akhirnya kepada penerima Anugerah Pekerja Cemerlang dan pemenang-pemenang Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam, beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah. Beta yakin anugerah ini akan memberikan motivasi dan inspirasi kepada semua warga Perkhidmatan Awam untuk bekerja lebih keras lagi bagi mencapai tahap kecemerlangan Perkhidmatan Awam. Beta juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan peribadi beta kepada pegawai dan kakitangan yang bersara pada tahun ini di atas sumbangan dan jasa bakti mereka semasa dalam perkhidmatan dengan kerajaan. Semoga Allah jua akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
