TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
SEMPENA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
KE-55 TAHUN
PADA
HARI SELASA,
12 SYA’ABAN 1437 / 31 MEI 2016
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat-Nya, mengurniakan negara kita sentiasa aman, tenteram dan sejahtera.
Hari ini, genaplah usia Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ke-55 tahun. Kita menyambut ulang tahun ini di Akademi Pertahanan, salah satu dari mercu tanda Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Akademi ini berperanan untuk melahirkan generasi muda pegawai-pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang lengkap dengan asas kepimpinan dan pengetahuan tentang ketenteraan. Kerana itu, Akademi ini mestilah terus merancang dan melebarkan skop pembelajarannya ke arah melahirkan pegawai-pegawai tentera yang berkualiti di peringkat taktikal, operasi dan strategik. Semua ini penting untuk menghadapi ‘contemporary operating environment’ yang serba mencabar dan tidak menentu.
Dunia kita pada masa ini sedang berhadapan dengan pelbagai ancaman yang bersifat merentas sempadan. Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali dari kemungkinan menghadapi ancaman-ancaman keselamatan berbentuk tradisional dan bukan tradisional, seperti pengganasan, keselamatan maritim dan siber, serta bencana alam.
Di sinilah perlunya kerjasama dari pelbagai pihak, bukan sahaja diantara agensi-agensi keselamatan dalam negara, malahan juga kerjasama di peringkat keselamatan antarabangsa.
Oleh itu, prosedur dan tatacara yang terbaik, perkongsian pengetahuan dan kemahiran melalui perlaksanaan latihan-latihan dua hala dan pelbagai hala sentiasa penting untuk direview supaya selamanya relevan. Beta sedia mengambil maklum, bahawa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah pun meningkatkan usaha-usaha, dari segi Diplomasi Pertahanan, antaranya melalui kerjasama menerusi latihan bersepadu Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus Maritime Security and Counter Terrosism Exercise yang telah berjaya dilaksanakan pada awal bulan ini. Selain itu, talian hotline, atau juga yang dikenali sebagai “Direct Communications Link” diantara Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN akan juga dilancarkan pada tahun ini.
ADMM dan ADMM-Plus adalah merupakan satu tanda komitmen dan kemampuan kita dalam usaha memperkukuh kedudukan negara di tengah-tengah landskap keselamatan yang bersifat dinamik.
Ianya juga turut mencerminkan, bahawa sungguhpun Brunei cuma sebuah negara kecil, namun kita juga mampu untuk menyumbang bagi keselamatan di rantau ini dan menyediakan satu landasan pelbagai kerjasama di dalam bidang pertahanan dan ketenteraan. Tidak diragukan lagi, ini adalah satu sumbangan terbesar yang dapat membantu negara-negara ASEAN dan rakan-rakan dialog di rantau Asia Pasifik untuk sama-sama meraih keamanan, kestabilan dan kemakmuran.
Alhamdulillah, keupayaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada masa ini dapat dikenalpasti melalui perolehan peralatan-peralatan ketenteraan yang canggih dan terkini yang kita miliki. Namun ini bukanlah titik noktah untuk kita berhenti dari terus meningkat.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan tetap perlu, untuk terus menyesuaikan semua hala tuju perancangan perkembangan dan penyelidikannya mengikut keperluan dan keutamaan.
Akhir kata, Beta rasa bersyukur dan bangga, dan seterusnya mengucapkan tahniah kepada semua warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang terlibat dalam menjayakan sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-55 Tahun. Syabas diucapkan kepada mereka yang menyertai perbarisan pada pagi ini dan tidak lupa juga diucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang Ke-55 Tahun kepada seluruh warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dalam dan luar negara, samada yang masih dalam perkhidmatan mahupun yang telah bersara.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
