Bagi menyemarakkan sambutan Tahun Baru Hijrah 1448, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan-Jabatan dibawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1448 dengan tema “Hijrah Penyelamat Aqidah”. Majlis ini diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri.

Hadir selaku Tetamu Khas Bersama ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang); dan Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran).

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Jemputan Khas, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, Pegawai Hal Ehwal Masjid Ash-Shaliheen.

Majlis diteruskan dengan memperdengarkan bacaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran dan intisari oleh Siswa Diploma Tertinggi Aliyah Qiraat Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yusuf Haikal bin Mohammad Hashim dan Ahmad Darwish bin Hamdan.

Majlis turut disemarakkan dengan Ceramah Khas bertajuk “Hijrah Penyelamat Aqidah”, yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Yang Mulia Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang.

Seterusnya, majlis disempurnakan dengan Selawat Tafrijiyyah dan Selawat Asy-Syifa yang dipimpin oleh pegawai dan kakitangan dari Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis pada tahun ini dipengerusikan oleh Pusat Pengurusan Keselamatan Kebangsaan, Sekuriti dan Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan dikendalikan bersama Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Ianya merupakan salah satu aktiviti tahunan JPM untuk memuliakan acara-acara kebesaran Islam, di samping mengeratkan hubungan silaturahim di antara pegawai-pegawai dan kakitangan.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto