Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, petang ini berkenan berangkat ke Majlis Meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Ulang Tahun Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Yang Ke-80 Tahun. Majlis berlangsung di Dewan Bankuet, Istana Nurul Iman.

Majlis Meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Ulang Tahun Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Yang Ke-80 Tahun ini merupakan satu detik penting dalam menghargai kewibawaan serta sumbangan Baginda berdua yang tidak ternilai kepada Negara Brunei Darussalam dan rakyatnya. Kepimpinan Baginda berdua, komitmen terhadap kesejahteraan rakyat serta usaha dalam memelihara keamanan, kemakmuran dan kestabilan negara terus menjadi sumber inspirasi kepada rakyat Negara Brunei Darussalam.

Berangkat sama ke majlis tersebut ialah ahli-ahli Kerabat Diraja.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta ahli-ahli Kerabat Diraja dijunjung oleh Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Majlis iaitu: Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri; dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia, dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; serta isteri masing-masing.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri seterusnya dijunjung menandatangani Lembaran Kenangan sebelum
disembahkan dengan Pesambah Kek Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan dan Ulang Tahun Hari Puja Usia Ke-80 Tahun Baginda berdua serta dua (2) buah pesambah daripada Jawatankuasa Majlis, diantaranya sebuah Buku Khas yang bertajuk “Raja dan Permaisuri:Legasi Diraja” yang mengabadikan kehidupan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri, dengan mengetengahkan peranan Baginda berdua dalam memacu pembangunan negara, memelihara agama Islam, menjaga kebajikan rakyat serta mengukuhkan identiti Melayu Islam Beraja. Peranan dan jasa Baginda berdua akan terus terpahat dalam lembaran sejarah serta menjadi sebahagian daripada perkembangan Negara Brunei Darussalam, sekali gus menjadi sumber inspirasi dan teladan kepada generasi kini dan akan datang dalam usaha mempertahankan dan memajukan negara yang tercinta ini.

Pada Majlis tersebut, Doa Khas dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti
Kerajaan, dan diikuti dengan Sembah Alu-Aluan daripada Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia; dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Majlis tersebut diserikan dengan tayangan video yang mengetengahkan buku khas bertajuk “The King and the Queen: A Royal Legacy”, di samping persembahan syair
bertajuk “Julangan Kasih Dirgahayu 80”. Majlis turut menampilkan persembahan khas disembahkan oleh para pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, serta persembahan muzik khas gabungan Orkestra Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan para belia.

Turut berangkat dan hadir bagi meraikan Majlis berkenaan ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria; Menteri-menteri Kabinet; Ketua Hakim Syarie; Ketua Hakim Mahkamah Besar; Ahli-ahli Mesyuarat Di-Raja; Timbalan-timbalan Menteri; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Ugama Islam; Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah; Hakim-hakim Mahkamah Tinggi; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto