
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berangkat bersama para Pemimpin ASEAN menghadiri Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di Philippines International Convention Center, Manila.
Semasa sesi tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengalu-alukan kehadiran Tuan Yang Terutama Saleumxay Kommasith, Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao, ke Sidang Kemuncak ASEAN buat pertama kalinya.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa tema Filipina, “Navigating Our Future, Together”, adalah sangat tepat pada masanya memandangkan meningkatnya persaingan strategik global dan fragmentasi ekonomi yang semakin kompleks. Bagi menangani cabaran-cabaran ini, Baginda bertitah menekankan keperluan untuk memperkukuh kapasiti kolektif ASEAN selaras dengan keahlian dan perkongsian dialognya yang semakin berkembang. Tegas Baginda, ini termasuk menyediakan sokongan khusus kepada Timor-Leste bagi memastikan penyertaannya yang berkesan sebagai Negara Anggota ASEAN, termasuk dalam melaksanakan komitmen-komitmen ASEAN, serta mempersiapkannya untuk tanggungjawab masa depan, termasuk sebagai Pengerusi ASEAN.
Baginda bertitah menegaskan semula bahawa kepercayaan antara Negara-Negara Anggota ASEAN mesti dipelihara dengan menjunjung prinsip-prinsip yang terkandung dalam Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia (TAC), Piagam ASEAN dan undang-undang antarabangsa, khususnya United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) 1982, yang menyediakan kepastian, melindungi kedaulatan serta membolehkan perbezaan diuruskan secara aman. Baginda seterusnya menekankan bahawa prinsip-prinsip ini harus menjadi panduan dalam perkongsian dengan rakan-rakan luar bagi memajukan matlamat bersama, termasuk keselamatan tenaga dan makanan. Dengan menetapkan agenda serantau secara kolektif serta melaksanakan keputusankeputusan yang telah dipersetujui, ASEAN mampu memperkukuh peranan ‘Centrality’ dan perpaduannya, di samping memastikan perkongsian luarnya yang semakin berkembang memberikan manfaat bermakna kepada rakyat ASEAN, khususnya menjelang ulang tahun ke-60 penubuhan ASEAN.
Akhir sekali, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menghargai kepimpinan Presiden Filipina selaku Pengerusi ASEAN dalam memajukan keutamaan-keutamaan ASEAN, serta bertitah menyatakan sokongan penuh Negara Brunei Darussalam kepada Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, Perdana Menteri Republik Singapura, sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2027.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto
