
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan; Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49; Sesi Retreat Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49; dan Sesi ASEAN Leaders’ Interface Bersama Wakil-Wakil Belia ASEAN.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Sidang-sidang Kemuncak tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Philippine International Convention Center, Manila, dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama Ferdinand R. Marcos Jr., Presiden Republik Filipina, dan isteri, First Lady Louise Araneta-Marcos.
Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49, yang juga dihadiri oleh para Pemimpin ASEAN tersebut dimulakan dengan lagu tema ASEAN, ‘The ASEAN Way’, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Tuan Yang Terutama Presiden Filipina selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, di mana Tuan Yang Terutama mengalu-alukan kehadiran para Pemimpin dan delegasi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di Manila.
Semasa majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta para Pemimpin ASEAN yang lain menyaksikan Majlis Penyampaian Signed Digital Economy Framework Agreement; Majlis Perasmian Lambang ASEAN yang dikemas kini serta upacara pengibaran Bendera ASEAN yang dikemas kini; dan Majlis Penyampaian Anugerah ASEAN Prize.
Majlis tersebut juga dimeriahkan dengan beberapa persembahan kebudayaan.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang-Sidang Kemuncak berkaitan di Manila menunjukkan kepimpinan dan keakraban Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama para pemimpin ASEAN. Sidang-Sidang Kemuncak tersebut merupakan wadah bagi para pemimpin ASEAN meneruskan perbincangan untuk memajukan komuniti ASEAN, serta meneroka peluang dan kerjasama dengan rakan-rakan dialog ASEAN.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto
