
Negara Brunei Darussalam telah mengesahkan komitmennya terhadap kerjasama keselamatan serantau di Mesyuarat Second ASEAN National Security Advisers’ Meeting (NSAM2) yang berlangsung pada 13 November 2026 di Manila, Republik Filipina. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Eduardo San Lorenzo Oban Jr., National Security Adviser dan Director-General of the National Security Council, Republik Filipina.
Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Yang Mulia Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad, Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara, berserta pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Perdana Menteri.
Mesyuarat NSAM merupakan platform dialog strategik yang menghimpunkan PenasihatPenasihat Keselamatan Negara-Negara Anggota ASEAN serta Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN yang bertanggungjawab terhadap dasar keselamatan negara. Platform ini berperanan sebagai wadah bagi pertukaran pandangan penilaian mengenai isu-isu keselamatan yang menjadi kepentingan bersama, di samping memperkukuh persefahaman serta kerjasama strategik dalam kalangan Negara-Negara Anggota ASEAN.
Semasa mesyuarat tersebut, Yang Mulia Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad telah mengetengahkan beberapa perkembangan dan cabaran keselamatan yang menjadi perhatian Negara Brunei Darussalam, khususnya ketidaktentuan geopolitik dan persaingan strategik kuasakuasa besar. Beliau turut menyentuh mengenai ancaman campur tangan asing, perkembangan ekstremisme pengganasan dan radikalisasi dalam talian khususnya dalam kalangan belia serta jenayah terancang rentas sempadan termasuk pemerdagangan orang, penipuan dalam talian, pengubahan wang haram dan pengedaran dadah. Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan pendekatan menyeluruh yang melibatkan agensi-agensi Kerajaan, institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat dalam memperkukuh daya tahan negara terhadap ancaman-ancaman berkenaan.
Semasa berada di Republik Filipina, Ketua Delegasi Negara Brunei Darussalam juga telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Tuan Yang Terutama Eduardo San Lorenzo Oban Jr. pada 12 November 2026. Pertemuan tersebut telah membincangkan usaha untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala dalam menangani isu-isu pemerdagangan orang, pengganasan dan radikalisasi atas talian serta jenayah rentas sempadan yang lain.
Mesyuarat NSAM2 telah dihadiri oleh disertai Ketua-Ketua Delegasi dan Pegawai-Pegawai Kanan dari Negara-Negara Anggota ASEAN serta wakil Sekretariat ASEAN.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto
