Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berangkat bersama para Pemimpin ASEAN menghadiri Sesi ASEAN Leaders’ Interface Bersama Wakil-Wakil Belia ASEAN di Philippine International Convention Center, Manila.

Semasa sesi berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengalu-alukan kehadiran Wakil-Wakil Belia ASEAN dan menzahirkan penghargaan atas pandangan serta cadangan yang telah dikongsikan. Baginda bertitah menekankan bahawa sumbangan daripada Wakil-Wakil Belia adalah tepat pada masanya memandangkan ASEAN sedang berusaha ke arah Visi Komuniti ASEAN 2045, serta menegaskan bahawa peluang yang terhasil daripada keputusan-keputusan yang dibuat pada hari ini mestilah dapat diakses oleh semua golongan belia. Walaupun Kecerdasan Buatan (AI) membawa prospek baharu, Baginda mengakui bahawa jurang digital masih menjadi penghalang kepada keterangkuman dan menimbulkan kebimbangan yang wajar mengenai kemungkinan kehilangan pekerjaan. 

Bagi mempersiapkan golongan belia menghadapi perubahan teknologi yang pesat ini, Baginda menggariskan keperluan untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran yang relevan serta laluan kerjaya yang jelas. Baginda mengetengahkan Program Perantisan IT Negara Brunei Darussalam sebagai contoh, yang menggabungkan pensijilan industri dengan latihan dalam pekerjaan selama enam bulan bagi belia yang belum mempunyai pekerjaan. Baginda turut menggalakkan kerjasama lebih erat antara badanbadan pendidikan dan tenaga kerja ASEAN, penyedia latihan serta majikan bagi mengenal pasti keperluan kemahiran baharu dan memperluaskan akses kepada pembelajaran praktikal.

Pada penghujung titah, Baginda menyarankan agar cadangan-cadangan daripada Wakil-Wakil Belia diberikan pertimbangan yang sewajarnya, khususnya melalui Pelan Kerja ASEAN mengenai Belia 2026–2030. Baginda menggalakkan badan-badan ASEAN yang berkaitan untuk meneliti cadangan-cadangan tersebut melalui perundingan bersama Wakil-Wakil Belia, serta memberikan perkembangan mengenai kemajuan pelaksanaannya menjelang pertemuan seterusnya.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto