
Pada Sesi Retreat yang berlangsung di Coconut Palace, Manila, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama para Pemimpin ASEAN bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, di mana Baginda menekankan keperluan ASEAN untuk bertindak lebih awal dalam menangani cabaran yang timbul dari luar rantau ini, di samping memperkukuh perpaduan dan penyelarasan bagi menangani cabaran dalaman ASEAN.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyambut baik inisiatif Pengerusi ASEAN untuk mengadakan rundingan apabila krisis mengancam kepentingan bersama ASEAN, bagi mengelakkan tekanan tersebut daripada berkembang menjadi kecemasan serantau. Baginda menyatakan bahawa pertemuan sebegini membolehkan Negara-Negara Anggota ASEAN berkongsi penilaian dan menyelaraskan tindakan praktikal bagi menangani gangguan perdagangan, bekalan tenaga, keselamatan makanan, serta keselamatan warganegara masing-masing. Baginda turut menegaskan bahawa mekanisme yang diterajui oleh ASEAN menyediakan peluang penting untuk menggalakkan sikap berhemah dan penyelesaian pertikaian secara aman melalui dialog dengan rakan-rakan yang berkaitan, selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Sambil menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Filipina selaku Pengerusi ASEAN serta usaha Utusan Khasnya bagi Myanmar, Baginda menegaskan keperluan untuk meneruskan penglibatan secara berterusan dengan Myanmar memandangkan kerumitan situasi di negara tersebut. Baginda turut menegaskan semula peranan penting Five-Point Consensus dalam mengurangkan keganasan, menyalurkan bantuan kemanusiaan dan mewujudkan suasana yang kondusif bagi dialog inklusif. Bagi memperkukuh pendekatan kolektif ASEAN, Baginda menggalakkan Negara-Negara Anggota ASEAN untuk memanfaatkan hubungan dua hala masing-masing bagi meluaskan akses Utusan Khas tersebut kepada pihak-pihak berkepentingan, termasuk melalui penyelarasan hubungan dengan pihak-pihak berkenaan dan perkongsian hasil pertemuan dengan Utusan Khas tersebut, serta melengkapi usaha penglibatan konstruktif yang sedang dijalankan dengan Myanmar, selaras dengan kerangka yang telah dipersetujui dan semangat perpaduan ASEAN.
Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto
