Titah Perutusan KDYMM Sempena Rombakan dan Pelantikan, Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri yang baharu 2026

TITAH PERUTUSAN KHAS

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA ROMBAKAN DAN PELANTIKAN, MENTERI-MENTERI KABINET DAN

TIMBALAN-TIMBALAN MENTERI YANG BAHARU 2026

PADA HARI KHAMIS

17hb., Zulhijjah, 1447H / 04hb., Jun, 2026M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas nikmat keamanan, kedamaian dan kestabilan yang dicapai oleh Negara Brunei Darussalam selama ini. Kita kini berada pada fasa pelaksanaan blueprint yang telah ditetapkan untuk mencapai Wawasan Brunei 2035, satu mercu tanda penting bagi negara dalam tempoh kurang daripada satu (01) dekad.

Kejayaan ini bergantung kepada kebijaksanaan dan ketegasan kepimpinan Baharu serta kesepaduan dan tanggungjawab Bersama di kalangan ahli-ahli Menteri Kabinet.

Dalam rombakan Kabinet ini, Beta telah memperkenankan beberapa perubahan utama iaitu:

(i) Pelantikan Paduka Anaknda-Anaknda Beta setelah mengambil kira kecenderungan dan pendedahan awal dalam sistem pentadbiran Kerajaan.

(ii) Pelantikan tiga (03) Menteri Penyelaras (Coordinating Ministers):

  • Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara yang bertanggungjawab dalam menyelaras dan memperkukuhkan usaha-usaha semua Kementerian dalam sama-sama melindungi Keselamatan negara;
  • Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi yang bertanggungjawab dalam menyelaras usaha kepelbagaian ekonomi Bersama Kementerian-Kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui sektor-sektor keutamaan; dan
  • Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia yang bertanggungjawab dalam menyelaras Kementerian-Kementerian dalam aspek dasar sosial negara, Pembangunan modal insan, isu pekerjaan dan kesejahteraan Masyarakat.

(iii) Penyusunan semula portfolio Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan diubah Namanya menjadi Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri. Penyusunan semula ini adalah untuk mempercepatkan Pembangunan sektor keutamaan dan juga untuk memperkukuh usaha kepelbagaian, demi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta pencapaian peluang pekerjaan yang bermakna.

(iv) Mengekalkan beberapa orang Menteri untuk meneruskan tugas dan peranan mereka yang sedia ada demi menjamin kesinambungan dan kestabilan.

(V) Kenaikan pangkat beberapa Timbalan Menteri kepada Menteri penuh untuk mengukuhkan sektor-sektor keutamaan dan menjamin keselamatan negara.

(vi) Melantik tiga (03) Timbalan Menteri yang baharu dengan harapan mereka akan dapat membawa perspektif dan idea baharu.

Dengan Bertawakal kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, Beta dengan ini mengisytiharkan barisan Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri yang Baharu.

  1. Beta sendiri akan memegang portfolio sebagai Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan.
  1. Paduka Anaknda Beta, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah sebagai Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan berperanan sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035.
  1. Paduka Anaknda Beta, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan akan mengekalkan peranannya sebagai Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Beta.
  1. Paduka Anaknda Beta, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri disamping meneruskan kerjayanya dalam bidang ketenteraan. Duli Yang Teramat Mulia juga akan memainkan peranan aktif dalam Majlis Tertinggi Wawasan 2035 khususnya memacu pertumbuhan ekonomi dan perdagangan negara melalui hubungan diplomatik, kerjasama strategik dan pelaburan antarabangsa.
  1. Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga Menteri Pertahanan II.
  1. Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan dilantik menjadi Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
  1. Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
  1. Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam).
  1. Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
  1. Dato Seri Paduka Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran).
  1. Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Amin Liew bin Abdullah sebagai Menteri Kewangan II dan bertanggungjawab untuk menerajui portfolio pelaburan di dalam dan luar negara dan mengawasi prestasi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.
  1. Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II.
  1. Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan sebagai Menteri Hal Ehwal Ugama.
  1. Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar sebagai Menteri Kesihatan.
  1. Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid sebagai Menteri Pembangunan.
  1. Datin Seri Setia Dr. Dayang Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh sebagai Menteri Pendidikan.
  2. Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos sebagai Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
  1. Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
  1. Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
  1. Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab sebagai Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
  1. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak sebagai Timbalan Menteri Pembangunan.
  1. Dato Seri Setia Dr Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.

Pelantikan ini akan berkuat kuasa pada hari Khamis, 17 Zulhijjah 1447 Hijrah bersamaan dengan 04 Jun 2026 Masihi bagi tempoh selama empat (04) tahun.

Beta Menyeru agar barisan Menteri Kabinet yang Baharu ini berkhidmat sebagai satu pasukan, berikrar untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Beta, mendengar kebimbangan mereka, memberi tindak balas yang cepat dengan penuh komitmen, berintegriti untuk membawa negara kehadapan demi mencapai matlamat Wawasan 2035.

Dalam kesempatan ini, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan ahli-ahli Kabinet di atas khidmat dan jasa bakti yang telah disumbangkan selama ini. Beta mendoakan semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan membalas jasa dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda serta kebahagiaan yang berterusan.

Akhirnya, Beta menyeru semua rakyat dan penduduk di negara ini akan sentiasa memberikan sokongan kepada barisan Menteri Kabinet dan Timbalan Menteri dalam sama-sama mencapai matlamat negara.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB Yang Ke 65

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI  

YANG KE 65

 

PADA HARI AHAD

14 ZULHIJJAH 1447 / 31 MEI 2026

 

BERTEMPAT DI PADANG KAWAD TENTERA UDARA DIRAJA BRUNEI PENGKALAN TENTERA UDARA, RIMBA

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana atas izin-Nya jua dapatlah kita sama-sama hadir pada pagi ini untuk meraikan Upacara Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Yang Ke Enam Puluh Lima (65) Tahun.

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas Beta ucapkan, di atas perbarisan yang sangat bermutu sebentar tadi.

Alhamdulillah, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah banyak mencapai perkembangannya, baik dari segi saiz organisasi mahupun dari segi keupayaannya.

Sehubungan itu, Beta mengambil maklum mengenai pelancaran Kertas Putih Pertahanan Kemaskini 2026 oleh Kementerian Pertahanan pada hari ini. Ia adalah satu langkah strategik yang amat signifikan dalam memastikan dasar dan perancangan pertahanan negara terus disesuaikan dengan perkembangan geopolitik serantau dan global.

Selaras dengan hala tuju strategik yang digariskan melalui Kertas Putih Pertahanan Kemaskini 2026 dan Gagasan Angkatan 2035 yang didokong oleh dokumen penting: Force Structure Review, Defence Posture dan Capability Development Plan, Beta gembira mengambil maklum bahawa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan terus berkembang dengan tertubuhnya beberapa unit baharu yang akan meningkatkan lagi kewibawaan dan keupayaan ABDB. Bagi Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Beta telah memperkenankan penubuhan Pusat Latihan Gabungan Tempur (PULGAT) yang menggabungkan kesemua cawangan latihan bagi kompetensi operasi TDDB di bawah satu pemerintahan.

Dalam memperkukuhkan lagi interoperabiliti, di peringkat Operasi Khas Bersama yang bersejarah, Beta sukacita memperkenankan penubuhan Markas Operasi Khas (Special Operations Command) sebagai Pusat Perintah dan Kawalan yang akan menyelaras operasi khas di antara Rejimen Pasukan Khas (RPK) ABDB selaku Pasukan Tier 1 bersama Pasukan Khas Tier 2 di unit-unit ABDB iaitu Pasukan Komando – Tentera Darat Diraja Brunei, Skuadron Geras Khas Maritim – Tentera Laut Diraja Brunei dan Pasukan Khas – Tentera Udara Diraja Brunei yang akan berkuatkuasa mulai pada hari ini.

 Selaras dengan pendekatan pertahanan yang komprehensif, dari sudut Diplomasi Pertahanan, pada tahun ini yang amat signifikan dengan sambutan Jubli Emas ialah hubungan pertahanan di antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dengan Angkatan Bersenjata Republik Singapura. Dalam hal ini, Beta sukacita mengambil maklum beberapa aktiviti dua hala telah dan akan dilaksanakan secara bersepadu oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bersama Angkatan Bersenjata Republik Singapura sebagai acara kemuncak. Pada masa yang sama juga, hubungan pertahanan dengan negara-negara sahabat yang lain, baik yang dekat mahupun jauh, Beta terus menyarankan untuk sentiasa dipertingkatkan dan diperkukuhkan.

 Dari Sudut keupayaan ini ketenteraan pula, baru-baru ini Tentera Udara Diraja Brunei telah menerima dua (02) buah pesawat angkut C295MW terakhir yang melengkapkan penerimaan sebanyak empat (04) buah pesawat angkut, bertepatan dengan menjelangnya sambutan Jubli Intan Penubuhan Tentera Udara Diraja Brunei pada bulan Jun tahun ini. Seterusnya pada penghujung tahun ini, TUDB juga akan menerima batch pertama helikopter H-145M yang akan menggantikan pesawat Bolkow BO-105 yang telah dinyahtauliahkan. Manakala pada awal tahun depan, Markas Angkatan Bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dijangka akan menauliahkan sistem Command, Control, Communications, Computers, Intelligence, Surveillance, and Reconnaissance (C4 – ISR) yang ketika ini sedang giat dinaiktaraf.

 Segala pencapaian ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa adanya dedikasi dan komitmen tinggi di seluruh peringkat kepimpinan. Beta menghargai dan berbangga di atas pencapaian-pencapaian positif ini.

Dalam hubungan ini, Beta juga sangat gembira atas kehadiran dan keterlibatan anggota Veteran dan Persatuan Bekas Perajurit Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (PERWIRA) pada pagi ini yang setentunya menunjukkan semangat dan komitmen berterusan mendokong ABDB ke arah kecemerlangan.

 Akhirnya, Beta mengucapkan syabas dan tahniah bersempena Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-65 kepada seluruh warga ABDB yang masih berkhidmat dan mereka yang telah bersara, sama ada berada di dalam atau sedang bertugas di luar negara. Tidak lupa juga, penghargaan kepada semua Ahli Jawatankuasa Sambutan pada tahun ini dan semua yang terlibat dalam menjayakan perbarisan pagi ini. Beta turut mendo’akan supaya Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan sentiasa dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal ‘Alamiin.

 Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah Perutusan KDYMM Sempena Hari Raya ‘Idil Adha Tahun 1447H / 2026M

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA HARI RAYA ‘IDIL ADHA

TAHUN 1447H / 2026M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

‘Idil Adha adalah syi’ar agung ugama kita, kerana ia merujuk kepada peristiwa besar dua beranak menunaikan perintah Allah, sekali pun perintah itu sangat berat untuk dilaksanakan.

Dua beranak tersebut ialah Nabi Ibrahim dan putera baginda Nabi Ismail ‘Alaihimassalam. Mereka diuji oleh Allah, untuk Nabi Ibrahim menyembelih putera baginda, Nabi Ismail.

Dalam Surah Ash-Shaaffaat ayat 102, Nabi Ibrahim berkata kepada puteranya Nabi Ismail: “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi, bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?”

Menjawab Ismail: “Wahai ayah, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepada ayah, insya Allah, ayah akan mendapati saya daripada orang-orang yang sabar”.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Demikian gambaran yang sangat mengharukan bagaimana patuhnya dua beranak ini menjunjung titah perintah Allah.

Ini adalah pengajaran sepanjang zaman untuk kita umat Islam. Ia bukan untuk dibaca semata-mata, tetapi inti patinya adalah untuk diambil sebagai tauladan.

Diantara tauladan yang disuruh kita membuatnya ialah dengan menyembelih binatang korban. Sama ada korban wajib atau korban sunat, semuanya itu adalah bukti keta’atan yang sangat bermakna. Allah tidak akan mensia-siakannya.

Oleh itu, bagi siapa yang mampu, marilah kita sama-sama melakukan korban, untuk meraih ganjaran pahala di akhirat kelak.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Sa’at yang penuh berkat ini, Beta dengan tulus ikhlas turut mendo’akan para jemaah haji kita yang sedang berada di Tanah Suci, semoga mereka berada dalam keadaan yang serba mengizinkan, sehingga dapat menunaikan ibadat dengan lancar dan sempurna serta beroleh Haji yang Mabrur.

Untuk mengakhiri perutusan ini, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas serta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Adha kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana sahaja mereka berada, dengan iringan do’a, semoga kita semua berada dalam sihat ‘afiat, riang gembira, murah rezeki, dapat menunaikan ibadat dengan khusyuk dan tawadhuk untuk mendapatkan redha Allah dan keberkatan daripadaNya.

 Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***