KDYMM Menerima Mengadap Ketua-Ketua Delegasi 16th CAPGC

KDYMM Menerima Mengadap Ketua-Ketua Delegasi 16th CAPGC

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap 13 Ketua-Ketua Delegasi ASEAN dan dari Republik Rakyat China yang menyertai “16th China-ASEAN Prosecutor’s General Conference (CAPGC)” yang telah berlangsung mulai 20 hingga 22 Oktober 2026.

Berangkat sama ke Majlis Mengadap tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Ketua-Ketua Delegasi adalah:
1. Tuan Yang Terutama Ying Yong, Ketua Pendakwa Raya China;
2. Puan Yang Terutama Chea Leang, Ketua Pendakwa Raya Kemboja;
3. Tuan Yang Terutama Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar, Peguam Negara Malaysia;
4. Puan Yang Terutama Dr. Thida Oo, Menteri Kesatuan dan Peguam Negara Republik Kesatuan Myanmar;
5. Tuan Yang Terutama Lucien Wong, Peguam Negara Republik Singapura;
6. Tuan Yang Terutama Dr. Nelson De Carvalho, Ketua Pendakwa Raya Republik Demokratik Timor-Leste;
7. Tuan Yang Terutama Nguyen Huy Tien, Ketua Pendakwa Raya Republik Sosialis Viet Nam;
8. Tuan Yang Terutama Dr. R. Narendra Jatna, Timbalan Peguam Negara Indonesia;
9. Tuan Yang Terutama Bounthanh Bounthavilay, Timbalan Ketua Pendakwa Raya Republik Demokratik Rakyat Lao;
10. Puan Yang Terutama Rohairah Ampuan Lao, Pendakwa Raya Wilayah Republik Filipina;
11. Tuan Yang Terutama Chart Chaidejsuriya, Timbalan Peguam Negara Thailand;
12. Tuan Yang Terutama Paul Lam Ting-kwok, Setiausaha Kehakiman Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong; dan
13. Tuan Yang Terutama Dr. Tong Hio Fong, Ketua Pendakwa Raya Wilayah Pentadbiran Khas Macao.

Turut hadir ialah Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Muhammed Taib, Peguam Negara selaku Pengerusi Persidangan “16th China-ASEAN Prosecutor’s General Conference (CAPGC)” dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) selaku Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang); Yang Mulia Dayang Hajah Zuraini binti Haji Sharbawi, Peguamcara Negara dan Dayang Hajah Suriana binti Haji Radin, Penolong Peguamcara Negara.

Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Ketua-Ketua Delegasi telah berbincang mengenai perkembangan dan isu-isu perundangan di rantau ASEAN dan Republik Rakyat China khas nya Hong Kong dan Macau.

16th China-ASEAN Prosecutor’s General Conference (CAPGC) merupakan sebuah platform pertukaran maklumat pelbagai hala di peringkat tinggi diantara pihak berkuasa pendakwaan Republik Rakyat China dan Negara-Negara ASEAN berkenaan isu-isu kepentingan bersama, yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan dalam membanteras jenayah rentas negara, melindungi kesejahteraan hidup rakyat dan mengekalkan kestabilan serantau. Persidangan pada tahun ini diadakan di bawah tema “Protecting Children in the Digital Age: Harmonizing Legal Frameworks and International Cooperation”.

Majlis Mengadap tersebut telah berlangsung di Istana Nurul Iman.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Titah Perutusan KDYMM Sempena Rombakan dan Pelantikan, Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri yang baharu 2026

TITAH PERUTUSAN KHAS

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA ROMBAKAN DAN PELANTIKAN, MENTERI-MENTERI KABINET DAN

TIMBALAN-TIMBALAN MENTERI YANG BAHARU 2026

PADA HARI KHAMIS

17hb., Zulhijjah, 1447H / 04hb., Jun, 2026M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas nikmat keamanan, kedamaian dan kestabilan yang dicapai oleh Negara Brunei Darussalam selama ini. Kita kini berada pada fasa pelaksanaan blueprint yang telah ditetapkan untuk mencapai Wawasan Brunei 2035, satu mercu tanda penting bagi negara dalam tempoh kurang daripada satu (01) dekad.

Kejayaan ini bergantung kepada kebijaksanaan dan ketegasan kepimpinan Baharu serta kesepaduan dan tanggungjawab Bersama di kalangan ahli-ahli Menteri Kabinet.

Dalam rombakan Kabinet ini, Beta telah memperkenankan beberapa perubahan utama iaitu:

(i) Pelantikan Paduka Anaknda-Anaknda Beta setelah mengambil kira kecenderungan dan pendedahan awal dalam sistem pentadbiran Kerajaan.

(ii) Pelantikan tiga (03) Menteri Penyelaras (Coordinating Ministers):

  • Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara yang bertanggungjawab dalam menyelaras dan memperkukuhkan usaha-usaha semua Kementerian dalam sama-sama melindungi Keselamatan negara;
  • Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi yang bertanggungjawab dalam menyelaras usaha kepelbagaian ekonomi Bersama Kementerian-Kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui sektor-sektor keutamaan; dan
  • Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia yang bertanggungjawab dalam menyelaras Kementerian-Kementerian dalam aspek dasar sosial negara, Pembangunan modal insan, isu pekerjaan dan kesejahteraan Masyarakat.

(iii) Penyusunan semula portfolio Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan diubah Namanya menjadi Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri. Penyusunan semula ini adalah untuk mempercepatkan Pembangunan sektor keutamaan dan juga untuk memperkukuh usaha kepelbagaian, demi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta pencapaian peluang pekerjaan yang bermakna.

(iv) Mengekalkan beberapa orang Menteri untuk meneruskan tugas dan peranan mereka yang sedia ada demi menjamin kesinambungan dan kestabilan.

(V) Kenaikan pangkat beberapa Timbalan Menteri kepada Menteri penuh untuk mengukuhkan sektor-sektor keutamaan dan menjamin keselamatan negara.

(vi) Melantik tiga (03) Timbalan Menteri yang baharu dengan harapan mereka akan dapat membawa perspektif dan idea baharu.

Dengan Bertawakal kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, Beta dengan ini mengisytiharkan barisan Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri yang Baharu.

  1. Beta sendiri akan memegang portfolio sebagai Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan.
  1. Paduka Anaknda Beta, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah sebagai Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan berperanan sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035.
  1. Paduka Anaknda Beta, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan akan mengekalkan peranannya sebagai Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Beta.
  1. Paduka Anaknda Beta, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri disamping meneruskan kerjayanya dalam bidang ketenteraan. Duli Yang Teramat Mulia juga akan memainkan peranan aktif dalam Majlis Tertinggi Wawasan 2035 khususnya memacu pertumbuhan ekonomi dan perdagangan negara melalui hubungan diplomatik, kerjasama strategik dan pelaburan antarabangsa.
  1. Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga Menteri Pertahanan II.
  1. Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan dilantik menjadi Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
  1. Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
  1. Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam).
  1. Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
  1. Dato Seri Paduka Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran).
  1. Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Amin Liew bin Abdullah sebagai Menteri Kewangan II dan bertanggungjawab untuk menerajui portfolio pelaburan di dalam dan luar negara dan mengawasi prestasi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.
  1. Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II.
  1. Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan sebagai Menteri Hal Ehwal Ugama.
  1. Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar sebagai Menteri Kesihatan.
  1. Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid sebagai Menteri Pembangunan.
  1. Datin Seri Setia Dr. Dayang Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh sebagai Menteri Pendidikan.
  2. Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos sebagai Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.
  1. Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
  1. Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
  1. Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab sebagai Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
  1. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak sebagai Timbalan Menteri Pembangunan.
  1. Dato Seri Setia Dr Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.

Pelantikan ini akan berkuat kuasa pada hari Khamis, 17 Zulhijjah 1447 Hijrah bersamaan dengan 04 Jun 2026 Masihi bagi tempoh selama empat (04) tahun.

Beta Menyeru agar barisan Menteri Kabinet yang Baharu ini berkhidmat sebagai satu pasukan, berikrar untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Beta, mendengar kebimbangan mereka, memberi tindak balas yang cepat dengan penuh komitmen, berintegriti untuk membawa negara kehadapan demi mencapai matlamat Wawasan 2035.

Dalam kesempatan ini, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan ahli-ahli Kabinet di atas khidmat dan jasa bakti yang telah disumbangkan selama ini. Beta mendoakan semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan membalas jasa dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda serta kebahagiaan yang berterusan.

Akhirnya, Beta menyeru semua rakyat dan penduduk di negara ini akan sentiasa memberikan sokongan kepada barisan Menteri Kabinet dan Timbalan Menteri dalam sama-sama mencapai matlamat negara.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Bermunajat memohon keafiatan Kebawah DYMM

Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin, dan Doa Khas bagi kesihatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus diadakan malam tadi di Istana Nurul Iman sebagai kesinambungan kepada Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin, dan Doa Khas yang diadakan pada malam Khamis, 15 Januari 2026 di seluruh negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan menjalani rawatan kesihatan yang telah dirancang awal pada Ahad, 28 Rejab 1447 bersamaan 18 Januari 2026.

Berangkat ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman serta ahli-ahli kerabat diraja.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berserta ahli-ahli kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, serta isteri masing-masing.

Juga yang hadir ialah Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta isteri masing-masing.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah serta Sembahyang Sunat Hajat yang diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, diikuti dengan membaca Surah Yaa Siin dan seterusnya bacaan Doa Khas bagi mendoakan kesembuhan yang segera, kesihatan dan keafiatan yang sempurna lagi berpanjangan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meneruskan kepimpinan baginda yang berwibawa dan bijaksana bagi keamanan dan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.

Azan Isyak dikumandangkan oleh Pegawai Masjid, Masjid Omar Ali Saifuddien, Begawan Mudim Awang Haji Amran bin Haji Mohd. Salleh.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota serta kerabat diraja berkenan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin, dan Doa Khas tersebut diadakan untuk mendoakan agar prosedur rawatan baginda berjalan dengan lancar dan seterusnya berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala bagi mengurniakan kesembuhan yang segera, kesihatan yang sempurna, dan keafiatan yang berpanjangan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Sumber berita Pelita Brunei