Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-35 Universiti Brunei Darussalam (UBD)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-35

UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM (UBD)

 

PADA HARI ISNIN

4 SAFAR 1445 /

21 OGOS 2023

 

BERTEMPAT

DEWAN CANSELOR

UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat sama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kali ke-35 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.

Beta dengan ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Ucapan tahniah ini juga ditujukan kepada para ibu bapa, penjaga dan tenaga ahli akademik atas dorongan dan sokongan mereka di sepanjang tempoh pengajian di UBD.​

Beta yakin para graduan sudah bersedia untuk mengharungi cabaran-cabaran baharu yang bakal ditempuh berikutan suasana dunia yang semakin mencabar dengan perubahan-perubahan pantas di luar jangkaan. Sebagai contoh, teknologi kecerdasan atau artificial intelligence (A.I.) yang sangat hangat pada masa ini telah membawa perubahan besar, termasuk kepada sektor pendidikan dan perundangan yang belum pernah dialami sebelum ini.

Sebagai sebuah universiti yang paling tua di Negara Brunei Darussalam, UBD memiliki kapasiti untuk mengetuai pencetusan idea memanfaatkan kesan positif artificial intelligence terhadap masyarakat. Ini termasuklah penggunaan A.I. dalam meningkatkan kecekapan di tempat kerja.

Dalam hubungan ini, Beta juga menyarankan agar UBD dan institusi pengajian tinggi yang lain akan memikirkan dan menyediakan garis panduan untuk memanfaatkan kecekapan dan produktiviti yang dapat diperolehi dari gabungan penggunaan kecerdasan buatan dengan kecerdasan semula jadi manusia. Dengan adanya garis panduan ini nanti akan dapatlah diharapkan penggunaan yang telus, berintegriti dan beretika bagi mencegah penyalahgunaan A.I. Pada masa yang sama juga, garis panduan ini akan mengukuhkan lagi tadbir urus dan rangka kerja bagi usaha-usaha transformasi digital kebangsaan ke arah menjadikan negara ini sebagai sebuah negara Smart Nation.

Perkembangan seperti ini diperlukan untuk sentiasa tangkas dan adaptable bagi menyahut evolusi yang sentiasa mendatang.

Alam pekerjaan juga tidak terlepas dari mengalami keadaan sentiasa berubah dan sukar diramal. Maka sehubungan itu, Beta menyambut baik usaha UBD membangunkan satu portal digital pencarian pekerjaan iaitu CareerBN yang dilengkapi dengan kemampuan machine learning dan A.I.  ini dilihat mampu untuk kemudahan pengurusan profil, job notification, job matching dan akses mudah kepada majikan dan lain-lain.

Selain dari isu pencarian pekerjaan, Beta juga tidak jemu-jemu menggalakkan para graduan supaya meneroka peluang keusahawanan. Bidang ini mampu untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang-peluang baharu perniagaan dan pekerjaan. Oleh itu, Beta sukacita mengambil maklum bahawa UBD telah merangka satu Entrepreneurship Blueprint bagi memastikan ekosistem keusahawanan para pelajar UBD adalah lebih teratur dan komprehensif. Beta berharap usaha ini akan benar-benar menyuntik minda keusahawanan di kalangan para pelajar.

Dari sini akan dapat dilihat betapa sebuah universiti itu mampu untuk berperanan mencipta ataupun co-create masa depan pelajar cemerlang selaras dengan tagline UBD iaitu Futuring Together.

Sehubungan itu, Beta juga ingin mengingatkan supaya UBD menekankan kepada para graduan bahawa aktiviti mereka bukan hanya untuk kebaikan diri sendiri, malahan juga untuk berbakti kepada bangsa, ugama dan negara.

Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga UBD, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga segala usaha mereka itu akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Sabda DPMM Sempena Majlis Haflut Takharruj Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kali Ke-11 Tahun 1445H / 2023M

SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ INSTITUT TAHFIZ AL-QUR’AN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH KALI KE-11 TAHUN 1445H / 2023M
 
BERTEMPAT
DEWAN UTAMA, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS (ICC)
 
PADA
SABTU, 25 MUHARAM 1445H BERSAMAAN 12 OGOS 2023M

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Segala puji dan syukur dirafakkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat dan izin-Nya jua mengizinkan kita berhimpun di Majlis Haflut Takharruj, Diploma A’aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kali Ke-Sebelas bagi meraikan dua puluh lapan (28) graduan bagi tahun pengajian 2020 – 2023 yang akan menerima syahadah diploma masing-masing.

Setinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada semua graduan yang berjaya menamatkan pengajian dan kepada seluruh barisan pensyarah serta warga kerja Institut Tahfiz di atas kesungguhan, kecekalan, serta komitmen membimbing mereka ke puncak kejayaan.

Doa restu dan peranan signifikan ibu bapa dan penjaga dalam memberikan dorongan dan sokongan moral yang berterusan juga menyumbang kepada pencapaian kejayaan bernilai ini.

Nikmat kejayaan yang dikongsi bersama ini adalah sumber inspirasi untuk seterusnya meraih kejayaan yang lebih besar.

Peluang adalah terbuka luas untuk para graduan melengkapkan diri dengan menambah pengetahuan dan kemahiran baharu menjurus kepada meningkatkan peluang kerjaya dengan memenuhi set kemahiran relevan seiring dengan permintaan pasaran kerja.

Sesungguhnya saya juga menzahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang usianya kini genap tiga dekad pada menepati matlamat dan hasrat murni Paduka Ayahanda bagi seterusnya melahirkan barisan profesional yang hafaz Al-Qur’an seiring dengan perkembangan dan tuntutan pembangunan negara yang holistik.

Namun demikian, perkembangan dan pencapaian akademik para pelajarnya tidak semata-mata tertumpu kepada bidang hafazan Al-Qur’an, malahan juga keberhasilan Institut Tahfiz membangunkan asas yang kukuh kepada lepasannya untuk menentukan hala tuju masing-masing di kedua-dua bidang akademik dan pekerjaan.

Perkara ini terbukti dengan kejayaan lepasan Institut Tahfiz dalam pengajian masing-masing di samping berkeupayaan dan memiliki daya-saing menceburi berbagai bidang kerjaya tertentu seperti kewangan, kedoktoran, kejuruterbangan, kejuruteraan, ketenteraan dan keusahawanan dalam bersama-sama menyumbang bakti kepada pembangunan negara.

Saya juga gembira difahamkan Program Diploma A’aliyah Qiraat yang kini mencapai tahun ketiga belas (13) telah berjaya mengeluarkan seramai 221 graduan dalam mana seramai 11 orang kini berkhidmat di Institut Tahfiz sebagai guru hafazan Al-Qur’an, Pegawai Ugama dan Pegawai Pelajaran manakala 90 lepasan sedang mengikuti pengajian yang lebih tinggi di dalam dan luar negara.

Di dalam mendepani berbagai cabaran zaman, Institut Tahfiz, dan khususnya pengisian Program Diploma A’aliyah Qiraat perlu memperluaskan lagi peranan dan siap-siaga untuk sentiasa proaktif melihat ruang dan peluang dalam bersama-sama menyebarluaskan pengajian Al-Qur’an Al-Karim sebagai sebahagian amalan mulia kehidupan masyarakat Brunei yang berpaksikan falsafah Melayu Islam Beraja dan pendekatan sebuah Negara Zikir.

Sayugia, pada hemat saya inisiatif tertentu yang menjurus kepada usaha-usaha berkolaborasi bagi memperkasakan pengajian Al-Qur’an melalui media sosial, seperti kaedah hafazan dan tadabbur ayat-ayat pilihan secara tersusun akan dapat menarik minat setiap peringkat umur selaras dengan perkembangan dan akses kepada teknologi infokomunikasi semasa.

Ke arah itu, saya juga melihat kewujudan Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sebagai sebuah institusi pengajian Al-Qur’an dan hafazan yang ulung, ianya hendaklah juga sentiasa bersedia mengorak langkah ke hadapan dengan memperkukuh keupayaan untuk menjalankan kajian dan penyelarasan kaedah meningkatkan hafazan Al-Qur’an yang sesuai dimanfaatkan dengan demografi negara ini.

Kejayaannya adalah juga menjurus kepada meraih keberkatan Al-Qur’an dan rahmatNya sepertimana mafhum Surah Al-Israa’ ayat 82:

“Dan Kami turunkan daripada Al-Qur’an itu penawar (bagi penyakit-penyakit rohani dan jasmani) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Syarat tunggal untuk kita dapat memperolehi penawar dan rahmat tersebut tidak lain adalah iman yang teguh sepertimana intipati Titah Paduka Ayahanda pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an 1436 Hijrah. Pembentukan iman yang kukuh adalah merupakan perkara terpenting daripada keberhasilan amalan-amalan masyarakat yang sentiasa berdamping dengan Al-Qur’an melalui membaca, menghafaz dan mengimani pengajarannya.

Ciri orang yang beriman adalah dalam makna, percaya dan mematuhi dengan sepenuh hati akan segala suruhan dan tegahan Allah tanpa sebarang keraguan atau bantahan. Dengannya insya Allah, Al-Qur’an yang kita baca atau hafaz akan menjadi penawar dan rahmat kepada kita.

Pada kesempatan ini, Saya sukacita menyeru kepada para graduan dan pelajar termasuk lepasan Institut Tahfiz untuk sentiasa memelihara hafazan Al-Qur’an dan menghayati apa jua isi kandungannya yang berbentuk pengajaran dan teladan sepertimana hasrat Paduka Ayahanda, iaitu pembinaan iman yang kukuh menjurus kepada melahirkan masyarakat yang beriman dan bertakwa.

Kita sedia mengetahui bahawa para penghafaz Al-Qur’an mempunyai kelebihan di sisi Allah seperti mafhum hadis Riwayat Ibnu Majah mengenai sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia.” Lalu sahabat bertanya: “Siapakah mereka Ya Rasulullah?”

Jawab Baginda: “Mereka adalah Ahli Al-Qur’an, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan orang- orang pilihannya.”

Semoga kita semua mendapat syafaat “Ahlul Quran” dengan adanya ahli-ahli Allah, iaitu para penghafaz Al-Qur’an khususnya di bumi Darussalam yang kita cintai.

Saya sekali lagi mengucapkan Alfu Mubarak dan tahniah kepada para graduan yang berjaya serta ibu bapa, penjaga dan keluarga masing-masing. Sebagai aset penting yang menjadi penggerak kepada pelaksanaan berbagai rancangan dan agenda pembangunan negara, para graduan ditekankan untuk sentiasa menerapkan nilai-nilai murni sesuai dengan sahsiah “Hamma-latul Quran”.

Harapan besar kita adalah untuk berjaya menanamkan sikap positif dan berdaya maju dalam diri setiap pelajar seiring dengan aspirasi bangsa, masyarakat dan negara.

Buat akhirnya, Saya juga sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Ahli Jawatankuasa dan pihak-pihak yang terlibat menjayakan majlis pada hari ini.

Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan ganjaran-Nya yang berupa rahmat, syafaat dan pahala berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

 

***

Titah KDYMM Di Majlis Bersama Penuntut-Penuntut Berserta Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam di Malaysia dan Singapura

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN

 

DI MAJLIS BERSAMA PENUNTUT-PENUNTUT BERSERTA RAKYAT DAN
PENDUDUK NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DI MALAYSIA DAN SINGAPURA​

 

PADA:
4 OGOS 2023

 

TEMPAT:
GRAND HYATT KUALA LUMPUR, MALAYSIA

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem,

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur, kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah Beta bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, terutama para pelajar, pegawai-pegawai Kerajaan yang bertugas dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga di Malaysia dan Singapura.

Majlis seumpama ini telah memberikan peluang kepada Beta untuk bertemu secara lebih dekat dengan rakyat Beta, khususnya para pelajar yang sedang menuntut di sini.

Alhamdulillah, keramaian pelajar Negara Brunei Darussalam yang belajar di peringkat pengajian tinggi sama ada di dalam atau di luar negeri termasuk Malaysia dan Singapura, adalah terus menunjukkan peningkatan yang baik. Ini memberikan satu interpretasi yang positif dimana budaya belajar dan menuntut ilmu semakin menjadi pilihan. Inilah budaya yang akan kita pupuk dan kembangkan terus menerus tanpa titik noktahnya.

Kearah kesempurnaan budaya ini, Beta yakin para pelajar telah sedia memiliki iltizam, dedikasi dan tekad yang tinggi untuk mencapainya, terutama bagi para pelajar yang telah memilih untuk belajar di luar negara.

Belajar di luar negara memberikan peluang sangat bererti kepada para pelajar untuk bersaing dengan golongan pelajar dari persekitaran yang berbeza. Bersaing dalam lingkungan yang berbeza ini boleh menjadi cabaran terbaik bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang berkualiti, kreatif dan progresif, yang mampu untuk menangkis segala kejutan budaya perosak.

Inilah misi dan visi yang betul untuk dipegang oleh para pelajar.

Beta ingin mengingatkan, dalam keghairahan budaya melayari Internet dan penggunaan pelbagai aplikasi teknologi maklumat, para pelajar hendaklah sentiasa waspada dan berhati-hati supaya tidak semudah mana mengongsikan maklumat peribadi kepada sebarang pihak, bagi mengelakkan terjebak kepada ancaman atau jenayah cyber.

Selain itu, Beta juga ingin mengingatkan kepada para pelajar, selaku duta kecil, supaya terus konsisten mengamalkan nilai-nilai Kebruneian yang dimiliki. Jadilah contoh yang baik dengan mengekalkan dan menonjolkan nilai-nilai yang terpuji orang-orang Brunei.

Selain merebut peluang pembelajaran, Beta juga mahu supaya para pelajar menjadi tenaga kerja yang bukan sahaja berpendidikan dan berkemahiran tinggi, tetapi juga mampu untuk menyumbangkan jasa bakti kepada negara, ugama, Raja dan bangsa. Inilah matlamat luhur lagi tertinggi untuk dicapai oleh semua para pelajar.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendoakan supaya para pelajar dan pegawai yang sedang berada di sini akan sentiasa dalam keadaan baik-baik sahaja, beroleh perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

***

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-18

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN KALI KE-18​

TEMA : ‘BELIA SIAGA MASA DEPAN’

 PADA HARI SELASA: 14 MUHARRAM 1445H / 01 OGOS 2023M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kerana dapat sama-sama berkumpul untuk menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-18 pada pagi ini.

‘Belia dan Negara Berpisah Tiada’. Ungkapan ini dilihat sangat relevan dengan Golongan Belia yang merupakan peneraju negara.

Golongan belia turut membuktikan bahawa mereka adalah agen perubahan masa depan dan mampu untuk merealisasikan ‘Aspirasi Negara’ menjelang tahun 2035.

Oleh itu, sambutan Hari Belia Kebangsaan pada setiap 1 Ogos adalah merupakan pengiktirafan kepada sumbangan, pengorbanan, pencapaian dan kejayaan golongan belia dalam pembangunan negara.

Beta juga melihat, sumbangan golongan belia itu boleh merangkumi banyak bidang, seperti bidang ekonomi, digital, inovasi sosial, agri-bisnes, industri kreatif, kesukarelawan dan kemasyarakatan, bahkan juga penggubalan dasar.

Golongan Belia juga sudah dilihat mempelopori pelbagai bidang keusahawanan sama ada dari Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana. Beta difahamkan, lebih kurang 17 ribu belia adalah berdaftar di bawah bahagian Pendaftaran Syarikat dan Nama Perniagaan (ROCBN).

Perkembangan ini sangatlah memberangsangkan. Sayugia juga para belia dikehendaki lebih berani untuk tampil ke hadapan dan keluar dari comfort zone dengan mengorak langkah lebih jauh bagi menembusi dan menguasai pasaran serantau dan antarabangsa, yang banyak menawarkan peluang dan cabaran untuk memanfaatkan platform-platform yang telah disediakan oleh pihak kerajaan melalui beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman dengan beberapa buah negara untuk memudahkan kerjasama dalam bidang-bidang perniagaan dan pelaburan.

Dari aspek kepimpinan, Beta menyambut baik penglibatan aktif belia dalam dialog dan penggubalan dasar di peringkat kebangsaan mahupun serantau. Kerajaan akan terus menyediakan platform-platform yang berkesan seperti Kongres Belia dan Youth Town Hall serta  penglibatan dalam forum dasar serantau sebagai ruang untuk menyuarakan idea bernas dan ‘Aspirasi Belia’.

Baru-baru ini, kita berbangga dengan kejayaan belia kita memenangi ASEAN Prize Award buat pertama kalinya. Di samping itu, atlet-atlet belia juga berjaya mengharumkan nama negara dengan meraih pingat dalam kejohanan sukan prestasi tinggi pada kejohanan Asia Tenggara (SEA Games) Ke-32 dan ASEAN Para Games Ke-12, di Kemboja.

Walau begitu, adalah diingatkan, dalam mengejar kejayaan, golongan belia hendaklah tetap mengekalkan ciri-ciri kebruneian ‘Berakhlak Mulia’, dengan mematuhi dan menghormati hukum-hukum ugama dan Undang-Undang.

Kita tidak perlu merasa rendah diri atau terpinggir jika tidak menyertai satu-satu jenis sukan yang tidak dibenarkan oleh Ugama atau Undang-Undang. Inilah prinsip Brunei.

Untuk akhirnya, dan bersempena dengan Hari Belia kebangsaan ini, Beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini atas komitmen mereka untuk sama-sama membangun dan memajukan negara.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

***

 

Titah KDYMM Sempena Tahun Baru Hijrah 1445

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

TAHUN BARU HIJRAH 1445

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta merafa’kan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita memasuki gerbang Tahun Baru Hijrah 1445.

Bermula pada tahun 1445 Hijrah ini, nama Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah, kita gantikan dengan “SAMBUTAN ILAL HIJRAH”. Ilal hijrah membawa maksud “Kearah penghijrahan”, dalam makna, kita bergerak mengubah atau memperbaiki kehidupan yang kurang baik kepada yang lebih baik.

Beta menyambut baik perubahan ini, untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat mahupun negara.

Tema sambutan kali ini ‘Ugama Dipelihara, Negara Sejahtera’. Konsep tema ini diambil dari salah satu Maqasid Syar’iah iaitu memelihara ugama. Ugama yang dimaksudkan tidak lain, ialah Ugama Islam.

Fungsi ugama ialah untuk mengatur kehidupan manusia. Ia menjadi punca kepada wujudnya kebajikan bagi penganutnya.

Di sinilah pentingnya Maqasid Syar’iah itu bagi memastikan urusan kehidupan berjalan dengan sempurna, sama ada urusan peribadi mahupun urusan berupa pentadbiran negara.

Alhamdulillah, Beta mengambil maklum Kementerian Hal Ehwal Ugama telah merintis langkah menyebarluaskan kefahaman mengenai Maqasid Syar’iah, bukan sahaja di sektor kerajaan, malahan juga di sektor-sektor swasta. Beta ingin menyarankan supaya pihak berkenaan memberigakan perkara ini ke seluruh lapisan masyarakat di negara ini, bukan sahaja di kawasan bandar, bahkan juga di kampung-kampung.

Beta yakin, kesan dari memelihara ugama, rakyat di negara ini akan terus menerus menikmati kemakmuran, di mana Kerajaan beta sentiasa berusaha untuk memastikan, tiada seorang rakyat pun yang akan dibiarkan melarat tanpa dibela.

Sehubungan itu juga, Beta telah memperkenankan penaiktarafan Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat, Jabatan Majlis Ugama Islam menjadi Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Beta difahamkan Jabatan ini dengan rasminya akan beroperasi pada Hari Rabu, 1 Muharram 1445 Hijrah bersamaan 19 Julai 2023 Masihi. Dengan tertubuhnya Jabatan ini, hal ehwal pengurusan zakat dari sudut pengagihan dan keberkesanan, termasuk pelaksanaan program-program lain, dijangka akan lebih efektif dan efisien. Begitu juga dalam perkara pengurusan wakaf dan harta-harta Baitulmal akan menumpukan usaha ke arah mempelbagaikan pengurusan dan penggunaan waqaf disamping mengurus dan mengembangkan harta-harta Baitulmal.

Beta sukacita mengambil peluang menyeru seluruh rakyat dan masyarakat di negara ini untuk sama-sama berganding bahu melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memelihara kesejahteraan yang kita nikmati tanpa mengira kedudukan, latar belakang dan sebagainya, kerana walaupun secara zahir keadaan kita berlainan, namun matlamat adalah sama sahaja untuk mempertahankan kesejahteraan negara yang kita cintai ini dengan berpandukan Al-Qur’an dan Al-Hadith.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan amat sukacita mengucapkan Selamat Tahun Baru Ilal Hijrah 1445 kepada seluruh lapisan masyarakat di negara ini. Marilah kita sama-sama berazam untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala sebagai tanda kita mensyukuri memasuki tahun baru. Semoga kita dan negara sentiasa berada dalam ‘Inayah dan perlindungan Allah jua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

***​