Kongsi perkembangan terkini dasar, inisiatif JPM

Kongsi perkembangan terkini dasar, inisiatif JPM

Sesi Muzakarah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 2026 telah diadakan pada hari ini di Bangunan JPM.

Sesi muzakarah berkenaan dipengerusikan bersama oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Sementara, rombongan Ahli-ahli MMN diketuai oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.

Turut hadir, Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib; Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap serta pegawai-pegawai kanan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sesi muzakarah bertujuan memperkukuh pertukaran pandangan dan perbincangan secara konstruktif antara pihak kerajaan dan Ahli-ahli MMN, selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 2025 bagi meningkatkan keberkesanan perbahasan serta pelaksanaan dasar negara.

Antara perkara utama yang dikongsikan adalah perkembangan terkini dasar dan inisiatif di JPM, merangkumi perkembangan Wawasan Brunei 2035, pembangunan tenaga manusia dan pekerjaan, sekuriti dan undang-undang, urus tadbir Perkhidmatan Awam (PA), sektor media serta sektor tenaga.

Perkongsian berkenaan menekankan pencapaian semasa, inisiatif strategik dan langkah penambahbaikan berterusan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara secara inklusif dan mampan.

Berhubung Wawasan Brunei 2035, perkongsian menggariskan pencapaian semasa Pengukur Aspirasi Wawasan Brunei 2035 dan penekanan terhadap kepentingan penglibatan inklusif dan kerjasama berterusan melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation bagi memastikan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 memberi impak langsung terhadap pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara berdaya tahan dan inklusif.

Daripada aspek pembangunan tenaga manusia dan pekerjaan pula, pengangguran ditangani melalui usaha penyediaan peluang pekerjaan khususnya bagi rakyat tempatan, hasil daripada pelaksanaan program-program peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran, termasuk melalui Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPTMP).

Manakala, dalam bidang sekuriti dan undang-undang pula, usaha kerajaan dalam memelihara keselamatan negara terus diperkukuh melalui penguatkuasaan undang-undang, akses kepada keadilan serta kerjasama perundangan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Seterusnya, perkongsian memfokuskan terhadap transformasi PA melalui penambahbaikan dasar, pembangunan kepimpinan serta pendigitalan perkhidmatan bagi meningkatkan kecekapan dan kedayatahanan penyampaian perkhidmatan berteraskan rakyat (citizen-centric).

Peranan sektor media sebagai saluran utama penyampaian maklumat rasmi dan pengukuhan kepercayaan rakyat turut diberi penekanan.

Dalam sektor tenaga pula, usaha berterusan dilaksanakan bagi memastikan keterjaminan bekalan, mendukung kestabilan ekonomi, perlindungan pekerjaan tempatan serta peralihan berperingkat ke arah tenaga boleh diperbaharui.

Ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, serta Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II diikuti dengan ucapan balas daripada Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa dan disusuli dengan sesi perbincangan di antara Yang Berhormat Ahli-ahli MMN dan pihak JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sesi muzakarah mencerminkan komitmen berterusan JPM untuk bekerjasama rapat dengan Ahli-ahli MMN melalui pendekatan Whole of Nation dalam memajukan agenda pembangunan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat Negara Brunei Darussalam

Sumber berita Pelita Brunei

 

 

 

Berangkat menyaksikan perlawanan Liga Super Malaysia 2025 / 2026

Berangkat menyaksikan perlawanan Liga Super Malaysia 2025 / 2026

Pasukan tuan rumah, DPMM FC terpaksa akur apabila tumpas 2 – 5 kepada Selangor FC dalam aksi sengit pada Liga Super Malaysia Musim 2025 / 2026 yang berlangsung malam tadi, di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.

Berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Juga berangkat, paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berserta kerabat diraja.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.

Pada separuh masa pertama menyaksikan Selangor FC mempamerkan aksi bertenaga sejak awal perlawanan dengan mendominasi permainan dan berjaya membuka jaringan seawal minit ke-5 melalui Chrigor Flores Moraes.

Selang lima minit kemudian, gawang DPMM FC sekali lagi digegarkan apabila Chrigor Flores Moraes menambah gol bagi Selangor FC menjadikan kedudukan 0 – 2 pada minit ke-10.

Pasukan DPMM FC terus membuat percubaan dan akhirnya berjaya menjaringkan gol pertama hasil sepakan Muhammad Hakeme Yazid Said pada minit ke-42, beberapa minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Bersambung pada babak kedua perlawanan, Selangor FC terus beraksi cemerlang apabila Laine Nooa Hamzah dan Chrigor Flores Moraes menghadiahkan gol ketiga dan keempat masing-masing pada minit ke-48 dan ke-58.

DPMM FC tidak berputus asa dan terus melancarkan serangan demi serangan dan akhirnya berjaya menyumbat gol kedua melalui Miguel Angelo Agostinho Oliveira pada minit ke-62.

Walaupun pasukan tuan rumah cuba bangkit dan mengatur beberapa serangan, namun, keampuhan jentera serangan Selangor FC terbukti sukar dibendung apabila mereka menambah jaringan kelima melalui Chrigor Flores Moraes pada masa tambahan iaitu minit ke-91.

Kedudukan 2 – 5 kekal hingga wisel penamat dibunyikan. Keputusan tersebut menyaksikan Selangor FC membawa pulang 3 mata berharga, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam carta liga, manakala pasukan tuan rumah kekal di tangga ke-7.

Saingan DPMM FC di Liga Super Malaysia Musim 2025 / 2026 seterusnya ialah menentang Terengganu FC pada 13 Januari 2026 bertempat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.

 

 

Sumber berita Pelita Brunei

 

 

 

 

 

 

Perutusan tahniah sempena Hari Kemerdekaan Republik Kesatuan Myanmar

Perutusan tahniah sempena Hari Kemerdekaan Republik Kesatuan Myanmar

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Chairman of the State Security and Peace Commission, Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama Senior General Min Aung Hlaing dan juga rakyat Republik Kesatuan Myanmar bersempena dengan Hari Kemerdekaan Republik Kesatuan Myanmar yang Ke-78 Tahun.​

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Titah KDYMM Sempena Awal Tahun Masihi 2026

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
AWAL TAHUN MASIHI 2026​

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat memasuki Tahun Masihi 2026.

Ketika berada di ambang Tahun Baharu Masihi 2026, Beta ingin mengajak semua pihak untuk sama-sama merenung pencapaian kita dan hala tuju yang telah dilalui.

Keadaan tahun lalu masih sahaja menguji kita dengan cabaran-cabaran ekonomi, kesan dari pergolakan global termasuk krisis perubahan iklim yang semakin menghimpit. Namun, rakyat negara ini masih sahaja tetap tenang dan waspada.

Inilah yang kita mahukan untuk menjadi bangsa yang gigih yang sentiasa berani mengharungi cabaran.

Sehubungan itu, Beta berbangga mengetahui kebangkitan golongan muda seperti Brunei Youth Council dan Brunei Young Entrepreneurs, yang tampil membawa perubahan. Sementara dari sudut lain pula, kita juga melihat para petani dan penternak bangkit meningkatkan hasil pengeluaran mereka. Ini adalah petanda baik, selaras dengan hasrat Kerajaan sendiri untuk mencapai sara diri dalam hal ehwal permakanan.

Dalam melangkah ke tahun baharu ini, Kerajaan Beta akan kekal komited untuk meletakkan keutamaan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan dan pembaharuan dasar.

Walaupun ekonomi negara mengalami penurunan 1.1 peratus pada enam bulan pertama tahun 2025 berbanding tempoh yang sama tahun 2024, namun asas makroekonomi kita masih sahaja berdayatahan melalui lebihan imbangan perdagangan berjumlah BND4.0 bilion sehingga bulan September, disamping penurunan kadar inflasi sebanyak 0.3 peratus setakat bulan Oktober 2025. Ini jelas menunjukkan betapa kita masih perlu untuk melipat-gandakan lagi usaha merentasi sektor utama dengan lebih berdayasaing.

Insya Allah, kita akan terus meneroka peluang pelaburan, selaras dengan Economic Blueprint melalui sektor-sektor utama. Matlamat kita adalah jelas, iaitu bagi menjana peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan memastikan negara kekal relevan serta berdaya saing di pentas serantau dan global.

Ke arah itu, Kerajaan juga akan terus komited menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif, mengukuhkan lagi jaringan dengan rakan-rakan strategik antarabangsa, memperkasa jenama Halal, serta melonjakkan eksport produk industri tempatan yang kini dilihat setanding dengan piawaian antarabangsa.

Dari sudut memperkasa transformasi digital negara pula, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, Beta telah memperkenankan pelaksanaan projek identiti digital kebangsaan, iaitu Brunei-ID dibawah naungan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, bermula 3 Januari 2026. Ini akan memudahkan lagi proses pengesahan identiti bagi mengakses pelbagai perkhidmatan dalam talian Kerajaan, yang akan memperkukuhkan lagi tadbir urus digital dan menjadi pemangkin kepada pembangunan perkhidmatan awam yang lebih cekap dan selamat, untuk kemudahan rakyat.

Seiring dengan hasrat untuk memacu transformasi negara ke arah penyampaian Perkhidmatan yang lebih dinamik, maka Beta telah memperkenankan pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos kepada Syarikat PosBru Sendirian Berhad bermula 01 Januari 2026. Langkah ini adalah khusus untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada Orang awam.

Melalui inisiatif pengkorporatan ini, Beta berharap pihak Kerajaan akan dapat melipat-gandakan lagi usaha transformasi dalam sektor-sektor lain yang memerlukan perkhidmatan Kerajaan yang lebih responsif serta Customer-centric bagi memenuhi keperluan rakyat dan produktiviti sektor perniagaan di negara ini.

Marilah kita mensyukuri keadaan negara yang istimewa, warisan ugama dan budaya yang kukuh serta semangat perpaduan mempertahankan kedaulatan negara tercinta.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan badan-badan bukan Kerajaan (NGOs), serta golongan belia, di atas komitmen dan usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2025.

Selamat Tahun Baharu Masihi 2026 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara.

Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati kita semua dan mengurniakan kepada Negara Brunei Darussalam keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan yang berpanjangan. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​​

Titah KDYMM Di Majlis Bersama Penuntut-Penuntut Berserta Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam di United Kingdom dan Eire

TITAH
 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS
BERSAMA PENUNTUT-PENUNTUT BERSERTA RAKYAT DAN PENDUDUK
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI UNITED KINGDOM DAN EIRE
 
PADA:
07 REJAB, 1447/28 DISEMBER, 2025
 
TEMPAT:
ROYAL LANCASTER HOTEL,
LONDON, UNITED KINGDOM
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir ke majlis yang sangat bermakna ini untuk beramah mesra dengan Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland, yang terdiri daripada para pelajar, pegawai Kerajaan yang bertugas di sini, dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.

Pertemuan ini memberi peluang kepada Beta untuk bersilaturrahim dengan rakyat di perantauan, khasnya dengan para pelajar yang sedang menuntut ilmu.

Beta gembira mengetahui mengenai kejayaan akademik yang diperolehi oleh para pelajar di sini. Kejayaan tersebut berupa jumlah pelajar yang meningkat di bawah skim Biasiswa Kerajaan Ke Luar Negeri dan Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan kawalan Kementerian Pendidikan yang telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda dengan sekurang-kurangnya klasifikasi Kedua Atas (Second Upper) dari institusi pengajian di United Kingdom. Kejayaan ini meningkat dari seramai 29 orang pelajar atau 36% daripada keseluruhan pelajar yang tamat pengajian pada tahun 2024, kepada 33 pelajar ataupun 60% pada tahun ini. Ini menunjukkan pembelajaran mereka yang berkesan dan mampu untuk menghasilkan prestasi yang tinggi.

Begitu juga turut meningkat ialah jumlah pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda yang mengikuti pengajian di bawah skim Biasiswa Kerajaan Ke Luar Negeri ke universiti yang berkedudukan 10 Teratas Dunia, iaitu dari hanya seorang pelajar pada tahun 2021 kepada 5 orang pelajar pada tahun ini. Ini juga membuktikan para pelajar Brunei mampu untuk menembusi pengajian di universiti ternama. Beta berharap, kecemerlangan ini akan terus dijaga untuk menyuntik semangat pelajar-pelajar yang lain.

Menyelusuri proses pendidikan masa kini, ada cabaran di hadapan kita. Cabaran itu berpunca dari kemajuan digital. Kehidupan dalam era digital kini banyak memberi kemudahan kepada para pelajar dalam pembelajaran, penyelidikan, komunikasi dan perkembangan kemahiran. Namun perlu juga diingat, jika teknologi ini tidak digunakan dengan bijak, seimbang dan berhemah, maka risikonya mungkin tinggi, seperti risiko keletihan digital (digital fatigue) dan ketagihan digital (digital addiction) yang boleh menjejaskan perkembangan akademik dan mental para pelajar. Dengan demikian, para pelajar mestilah bijak mengurus masa, menghadkan penggunaan media sosial dan permainan dalam talian (online gaming), serta mengutamakan interaksi bersemuka dan beriadah di luar alam siber.

Selain itu, pelajar juga sangat disyorkan untuk mendekati atau berhubung dengan para pensyarah di universiti serta pegawai-pegawai di Unit Penuntut-Penuntut bagi sebarang khidmat nasihat dan bantuan, demi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terjaga. Nikmat kesejahteraan dan keamanan mesti terus disyukuri, dengan iringan do’a, semoga Allah Subhanahu Wata’ala sentiasa melimpahkan rahmat-Nya kepada kita semua dan negara.

Menyentuh mengenai kemampuan pula, Beta ingin menasihatkan para pelajar, bahawa dalam mengejar kelulusan yang lebih tinggi, mereka perlu bijak berbelanja mengikut keupayaan. Ijtihad untuk menambah ilmu memang digalakkan dalam Islam, namun ia perlu disusun dengan perancangan kewangan secara bijak. Jangan ia sampai membebankan diri dan keluarga dengan hutang yang tidak terkawal, semata-mata untuk mengejar status. Buatlah perancangan yang teliti bersama keluarga berdasarkan kepentingan, bukan mengutamakan keinginan.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendo’akan supaya para pelajar dan pegawai yang sedang berada di sini akan sentiasa dilindungi, diberkati dan diberikan kejayaan yang cemerlang serta Negara kita Brunei Darussalam juga kekal aman, sejahtera, makmur dan selamat di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

* * *​​