Berkenan menerima mengadap, junjung ziarah bakal jemaah haji

Berkenan menerima mengadap, junjung ziarah bakal jemaah haji

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi. 

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Pada majlis yang berlangsung di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman hari ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah daripada seramai 993 orang bakal jemaah haji, terdiri daripada 481 orang bakal jemaah haji lelaki dan 512 orang bakal jemaah haji perempuan.

Jumlah tersebut termasuk Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Pentadbiran dan Perubatan) serta Pegawai Pengiring daripada Syarikat-syarikat Pengendali Perkhidmatan Pakej Haji. 

Terdahulu, sebelum Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah, para bakal jemaah haji negara telah menunaikan Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah yang diimamkan oleh Awang Omardi bin Haji Abu Bakar, diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah diimamkan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi. 

Pada majlis tersebut, bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1447H / 2026M telah menerima Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berupa pakaian ihram bagi bakal jemaah haji lelaki dan telekung bagi bakal jemaah haji perempuan sebagai tanda keprihatinan baginda terhadap kebajikan para jemaah haji negara yang akan menunaikan Rukun Islam Kelima.

Bagi musim haji tahun ini, seramai 1,020 jemaah bakal menunaikan fardu haji di mana  sebanyak tujuh buah Syarikat Pengendali Perkhidmatan Pakej Haji telah dilantik bagi menguruskan perjalanan dan kebajikan jemaah, iaitu Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB), Straits Central Agencies Sdn. Bhd. (SCA), At-Taqwa Travel Tours Sdn. Bhd., Titian Travel and Tours Sdn. Bhd., Dar El-Ehsan Travel Sdn. Bhd., Al-Hijrah Travel and Tours Sdn. Bhd. dan Balurih Travel Sdn. Bhd.

Penerbangan bakal jemaah haji negara akan bermula pada Isnin, 4 Mei 2026 pada jam 12.00 tengah hari bagi penerbangan pertama, diikuti tiga hari berikutnya bagi penerbangan kedua, ketiga dan keempat sehingga 7 Mei nanti.

Kita doakan agar dipermudahkan segala urusan sekalian para ‘duyufurrahman’ kita dan sempurna melaksanakan segala perkara rukun haji serta memperoleh haji yang mabrur, kesihatan yang baik serta pergi dan balik dengan sihat walafiat dan selamat sejahtera hendaknya. Amin Ya Rabbal Alamin.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Infofoto

Kebawah DYMM menerima mengadap PM Australia

Kebawah DYMM menerima mengadap PM Australia

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menerima mengadap Perdana Menteri Australia, The Honourable Anthony Albanese MP yang berada di Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi Lawatan Kerja selama dua hari pada 14 hingga 15 April 2026.

Majlis Mengadap berkenaan berlangsung di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman.

Berangkat sama ke Majlis Mengadap berkenaan ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Turut hadir, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, selaku Menteri Pengiring; serta delegasi rasmi Australia.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Infofoto

Titah KDYMM Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Tahun 1447H / 2026M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA ‘IDIL FITRI
TAHUN 1447H / 2026M

ANJURAN
YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

PADA HARI SABTU:
16 SYAWAL 1447H / 04 APRIL 2026M

 

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua, kita di negara ini berpeluang lagi meraikan hari kemenangan umat Islam, Hari Raya ‘Idil Fitri, dalam suasana aman, sejahtera dan riang gembira.

Dalam meraikan hari yang mulia ini, kita tidak boleh lupa mendoakan sebahagian umat Islam dan masyarakat di beberapa buah negara yang sedang diuji dengan pergolakan, sehingga menyebabkan rakyat dan penduduknya mengalami kesusahan dan penderitaan. Sesungguhnya, keadaan sedemikian ini cukup menginsafkan kita untuk sentiasa mensyukuri nikmat keamanan yang telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata ‘ala kepada kita.

Kerana itu, adalah wajar untuk kita membalas nikmat itu dengan amal salih yang tiada penghujungnya.

Beta menyambut baik tema sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri anjuran Yayasan pada tahun ini iaitu “Inovasi A.I: Pemangkin Pembangunan Masyarakat”. Tema ini memberi isyarat bahawa kecerdasan buatan (AI) yang kini tampil sebagai gelombang baharu yang sedang membentuk wajah dunia, perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, secara inklusif, beretika dan demi kepentingan pembangunan masyarakat.

Tidak dinafikan, potensi inovasi AI amatlah luas dalam memacu kemajuan dan daya saing. Namun demikian, perkara ini hendaklah ditangani dengan penuh bertanggungjawab, supaya semua manfaatnya dapat diraih tanpa mengabaikan tuntutan etika, tadbir urus yang baik, keadilan sosial dan rohani generasi akan datang.

Pada pandangan Beta, tumpuan utama hendaklah diberikan kepada bidang-bidang yang memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat, seperti memperkukuh perkhidmatan awam, meningkatkan mutu pendidikan, menambahkan kecekapan sistem kesihatan, memajukan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, serta melahirkan tenaga kerja yang mahir. Pendekatan seperti ini adalah selaras dengan hasrat negara ke arah merealisasikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Smart Nation, sejajar dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Di sinilah pelbagai pihak yang berkenaan perlu berganding bahu untuk melengkapkan para belia dan tenaga kerja tempatan dengan kelayakan dan kemahiran terkini.

Pembangunan AI tidak boleh dilihat hanya dari sudut teknologi, tetapi hendaklah juga dinilai dari sudut kemanusiaan, keadilan dan kelestarian. Kecerdasan buatan (AI) mesti dimanfaatkan untuk memperluas peluang, dan bukan memperdalam jurang, serta untuk memperkasa daya cipta manusia, bukan melemahkannya.

Beta sangatlah mengalu-alukan kehadiran para peserta yang terdiri daripada para pegawai daripada agensi kerajaan dan sektor swasta, para usahawan dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (A.I), sektor perbankan, para pendidik dan pelajar, golongan belia serta ketua-ketua komuniti akar umbi, yang masing-masing memainkan peranan penting dalam menyumbangkan idea, karya dan komitmen ke arah membentuk masyarakat yang celik teknologi, berdaya tahan, berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan. Kehadiran dan penglibatan semua pihak ini amatlah bermakna untuk memperkukuh usaha negara memanfaatkan AI secara inklusif, beretika dan berkesan, demi kemajuan dan kesejahteraan masyarakat.

Kita berdoa semoga dengan usaha bersepadu, kerjasama semua pihak dan petunjuk serta pertolongan Allah Subhanahu Wat’ala jua, Negara Brunei Darussalam akan terus melangkah sebagai sebuah negara, yang bukan sahaja bersedia menghadapi masa depan digital, bahkan juga mampu untuk mempelopori perubahan dengan bijaksana dan bertanggungjawab.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***