Berangkat ke Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Akhir Kebangsaan

Berangkat ke Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Akhir Kebangsaan

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), di sini.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; dan Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/ 2026M yang lain.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Pada majlis musabaqah tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan Sabda dan seterusnya menyempurnakan perasmian Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim.

Diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin yang antara lain menyembahkan tema musabaqah tahun ini mengungkapkan kata-kata seruan ‘Mengukuhkan Pembelajaran Al-Quran dan Menghayati Ajarannya’.

“Sesungguhnya ia ditujukan kepada kita supaya akan terus menerus berusaha melaksanakan pembelajaran Al-Quran untuk memastikan generasi negara akan tetap celik Al-Quran, sesuai dengan dasar pembelajarannya melalui pendidikan formal di sekolah-sekolah, selain di masjid-masjid, balai-balai ibadah dan bahkan di rumah-rumah yang diinisiatifkan oleh ibu bapa dan keluarga untuk anak cucu mereka bahkan untuk diri mereka.

“Begitu juga sudah semakin berkembang minat mengikuti pembelajaran Al-Quran di sekolah-sekolah yang ditubuhkan dengan inisiatif pihak-pihak swasta yang khusus menjadi pusat mempelajari Al-Quran bagi sebahagian orang muda dan dewasa, sama ada untuk pandai membaca dan supaya celik Al-Quran ataupun untuk anak-anak mereka yang sedia belajar di sekolah-sekolah supaya akan segera pandai membaca Al-Quran dengan lancar,” sembah Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya menyembahkan bahawa dalam masa yang sama, adalah sesuai pembelajaran Al-Quran disertakan dengan memberikan makna ayat-ayat Al-Quran yang dibaca dan diajarkan itu.

Ini boleh disesuaikan dengan peringkat-peringkat umur, sembah Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat kemudiannya menyembahkan bahawa bahan untuk mengajar Al-Quran beserta memberikan makna ayat-ayat yang dipelajari sedemikian itu sudah tersedia iaitu Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya, terbitan Pusat Da’wah Islamiah (PDI).

Musabaqah kemudiannya dimulakan dengan bacaan Al-Quran dari tiga orang peserta iaitu Awang Ahmad Naufal bin Haji Nor Asman, Dayang Nur Amal Atiqah @ Aida binti Haji Sudirman, dan Awang Mohammad Ayob bin Ali.

Majlis diteruskan dengan Persembahan Nasyid (Al-Quran Syafa’ah) sebagai lagu tema Musabaqah oleh penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Sejurus itu, Musabaqah disambung dengan memperdengarkan bacaan Al-Quran dari tiga orang peserta iaitu Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat, Pengiran Muhd. Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki, dan Dayangku Alma Hazirah binti Pengiran Haji Jofri.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah kemudiannya berangkat meninggalkan majlis setelah selesai enam orang peserta memperdengarkan bacaan masing-masing di hari pertama musabaqah.

Musabaqah tersebut berlangsung selama tiga hari berturut-turut dan akan disambung lagi pada hari kedua, esok malam, 28 April 2026.

Sementara itu, Majlis Pengumuman Keputusan bagi menentukan Johan Qari dan Qariah musabaqah berkenaan ialah pada Rabu malam Khamis, 29 April 2026 di Dewan Plenary, ICC, Berakas, bermula pukul 7.15 malam.

Musabaqah tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, JPM, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST).

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Sabda DPMM Di Majlis Perasmian Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian DewasaPeringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 / 2026 (Malam Pertama)

SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA
PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

DI MAJLIS PERASMIAN MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA
PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1447 / 2026 (MALAM PERTAMA)

BERTEMPAT DEWAN PLENARY
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

PADA
HARI ISNIN MALAM SELASA
10HB ZULKAEDAH 1447
BERSAMAAN 27HB APRIL 2026

 

 

Assalamu ’Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, setinggi puji dan syukur dipanjatkan ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin serta limpah rahmat-Nya jua, kita dapat hadir dan berhimpun malam ini bagi mendengarkan dan menghayati bersama lantunan kalam Allah dalam Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah.

Majlis Musabaqah ini merupakan wadah penting dalam usaha berterusan negara untuk memartabatkan Al-Qur’an sebagai syiar serta pegangan dan panduan hidup yang syumul. Musabaqah yang kini memasuki tahun ke-67 membuktikan pemerkasaannya yang terus subur dengan peredaran masa.

Tema tahun ini, “Mengukuhkan Pembelajaran Al-Qur’an dan Menghayati Ajarannya”, menyeru kepada seluruh lapisan masyarakat untuk bersama-sama menjunjung dan menanai tanggungjawab serta amanah yang sangat besar ini.

Ayat-ayat suci Al-Qur’an bukan untuk dilafazkan semata-mata. Kalamullah diturunkan untuk dibaca dengan hati yang hadir, difahami dengan akal yang terbuka, dan dihidupkan dalam setiap tindak-tanduk kehidupan. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Shad, ayat 29, tafsirnya:

“(Al-Qur’an ini ialah) sebuah kitab yang Kami telah turunkan kepadamu (Wahai Nabi Muhammad), yang mengandungi berkat, supaya mereka memikirkan dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang mempunyai akal dapat mengambil pengajaran.”

Justeru, Majlis Musabaqah ini bukan semata-mata tentang pertandingan. Ia adalah usaha bersama untuk menyemai dan memperkukuh kecintaan hakiki terhadap Al-Qur’an, membentuk sahsiah dan kerohanian generasi muda menjadi pewaris yang berpegang teguh kepada tauhid.

Di sebalik membaca dengan tartil, Allah Subhanahu Wata’ala juga memperingatkan kita dalam Surah Muhammad, ayat 24, iaitu tentang hikmah serta tuntutan yang lebih besar dalam menyantuni kitabullah sepertimana tafsirnya:

“Maka tidakkah mereka memperhatikan Al-Qur’an ataukah hati mereka terkunci?”

Paduka Ayahanda memperingatkan sempena Majlis Musabaqah tahun lalu bahawa “Al-Qur’an bukan sekadar bacaan, tetapi sebuah manual kehidupan yang mendidik akal-budi untuk mengenal hikmah dan kebenaran”.

Titah Paduka Ayahanda itu menegaskan bahawa penghayatan Al-Qur’an bukan sahaja membentuk insan yang bertaqwa, bahkan turut melahirkan akal yang tajam dan jiwa yang berilmu.

Pada hemat Saya, “Celik Al-Qur’an” bermaksud lebih daripada sekadar keupayaan membaca. Ia menuntut generasi yang memahami apa yang dibacanya, lidah serta hatinya sentiasa tergerak oleh kehalusan kalam Allah, dan yang menjadikan Al-Qur’an sebagai pegangan terunggul dalam mendepani sebarang bentuk cabaran kehidupan. Perkara ini seiring dengan aspirasi negara, iaitu untuk secara berterusan memelihara kesejahteraan rakyat dan tanah air tercinta melalui gagasan pembangunan yang menyeluruh merangkumi aspek spiritual, intelektual, ekonomi, dan sosial.

Dalam hubungan ini, Saya menyambut baik dan menghargai komitmen berterusan semua pihak khasnya ke arah mempergiat serta mengembangkan pelbagai program “Celik Al-Qur’an” termasuk kelas-kelas tadabbur untuk seluruh peringkat masyarakat. Insiatif sepadu pelbagai pihak berkepentingan ini telah semakin dipermudahkan melalui berbagai kemudahan digital, termasuk rakaman audio bacaan Al-Qur’an dan rancangan televisyen berkonsepkan pembelajaran Al-Qur’an yang boleh diakses melalui saluran media rasmi Kerajaan RTBGo menurut kesesuaian masa setiap pencinta ilmu.

Mereka yang berpegang teguh kepada Al-Qur’an adalah juga mereka yang lebih kukuh dalam berhadapan dengan pengaruh negatif luar, serta lebih terdidik untuk mengenal dan memperkasa nilai-nilai falsafah negara Melayu Islam Beraja. Di sinilah peranan kita semua untuk terus berusaha mengisi kehidupan dengan mendidik akal-budi yang berupaya mengenal “hikmah dan kebenaran” yang dimaksudkan.

Akhir kata, dengan lafaz kalimah agung “Bismillah Hir Rahman Nir Rahim”, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Saya sukacita merasmikan Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1447 Hijrah.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ’Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Mengamalkan perspektif jangka panjang, pertimbangkan kitaran pasaran terkini

Mengamalkan perspektif jangka panjang, pertimbangkan kitaran pasaran terkini

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei LNG Sendirian Berhad (BLNG) Ke-229 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei Gas Carriers Sendirian Berhad (BGC) Ke-115 bagi Suku Pertama Tahun 2026, hari ini.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah selaku Ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat BLNG dan Syarikat BGC.

Pada permulaan mesyuarat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah.

Baginda telah mengiktiraf prestasi kukuh serta kemajuan yang dicapai pada tahun 2025, khususnya dalam memastikan kecekapan operasi, kedudukan kewangan yang berdaya tahan, serta komitmen terhadap keselamatan.

Sehubungan itu, baginda dalam titah, juga menekankan kepentingan untuk mengekalkan prestasi ini sepanjang tahun 2026, khususnya mengambil kira landskap tenaga global pada masa kini dibelenggu ketidaktentuan geopolitik dan harga minyak yang tidak stabil.

Baginda turut menegaskan bahawa tekanan luar ini memerlukan kewaspadaan, ketahanan dan pertimbangan yang berhemah di semua peringkat organisasi. Mesyuarat juga membincangkan perkara-perkara penting seperti prestasi operasi, keselamatan, kewangan dan pembangunan tenaga manusia, serta strategi jangka panjang bagi Syarikat BLNG dan Syarikat BGC.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menegaskan keperluan untuk mengamalkan perspektif jangka panjang, termasuk mempertimbangkan kitaran pasaran terkini dan pergerakan jangka pendek.

Terdahulu, mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa dan dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Shell plc dan Mitsubishi Corporation serta ahli-ahli kepimpinan daripada BLNG dan BGC.

Kebawah DYMM seterusnya akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah-pengarah Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-418 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah-pengarah Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-196 bagi Suku Pertama Tahun 2026 pada Khamis, 23 April 2026.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Berangkat mempengerusikan Mesyuarat Sesi Khas Wawasan Brunei 2035

Berangkat mempengerusikan Mesyuarat Sesi Khas Wawasan Brunei 2035

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Sesi Khas Wawasan Brunei 2035 yang berlangsung di Istana Nurul Iman, di sini.

Turut berangkat ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Mesyuarat berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.

Pada mesyuarat berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenan mengurniakan titah.

Mesyuarat Sesi Khas Wawasan Brunei 2035 antara lain membincangkan Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 secara terperinci bagi memastikan ia kekal relevan, ‘adaptable’ dan berdaya tahan dalam apa jua keadaan, khususnya dalam menangani cabaran ketidaktentuan geopolitik dan pergolakan di peringkat global.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Memastikan keselamatan tenaga, kestabilan ekonomi negara terus terpelihara

Memastikan keselamatan tenaga, kestabilan ekonomi negara terus terpelihara

Bagi mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Menteri yang bertanggungjawab bagi Tenaga telah menghadiri Mesyuarat Sidang Kemuncak Asia Zero Emission Community Plus (AZEC+) secara dalam talian pada Rabu, 15 April 2026.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah.

Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II menyampaikan penghargaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada Perdana Menteri Jepun, Puan Yang Terutama Sanae Takaichi, atas penganjuran Sidang Kemuncak AZEC+ yang penting ini.

Yang Berhormat turut menyampaikan kedudukan Negara Brunei Darussalam bahawa krisis kekurangan bekalan bahan api dan gangguan rantaian bekalan tenaga telah mengukuhkan keutamaan kecekapan tenaga dan mampu milik bahan api sebagai dasar teras negara.

Walaupun Negara Brunei Darussalam dalam kedudukan yang baik, negara tidak terlindung daripada kesan ini kerana ketidakstabilan harga telah memberi kesan kepada rakyat dan industri.

Negara Brunei Darussalam tambahnya, menyokong pendekatan yang seimbang dan kekal komited untuk mempercepatkan sumber tenaga alternatif termasuk tenaga boleh diperbaharui pada kadar yang seiring mengikut keperluan dalam negeri sambil mengekalkan pelaburan dalam sektor minyak dan gas.

Sebagai pengeluar tenaga yang stabil dan boleh dipercayai, Negara Brunei Darussalam menggariskan bahawa sebarang inisiatif serantau mestilah inklusif, seimbang, membawa manfaat bersama, dan menghormati keselamatan bekalan tenaga dalam negeri masing-masing.

Sidang Kemuncak ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri Jepun, yang menekankan bahawa negara-negara yang paling terkesan akibat gangguan rantaian bekalan berkenaan adalah negara-negara di rantau Asia, dan oleh itu menyeru keperluan memperkukuhkan kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran keselamatan tenaga. Jepun mengumumkan pakej sokongan Partnership of Wide Energy and Resources Resilience Asia (POWERR Asia) bernilai 1.5 trilion yen (USD10 bilion), yang merangkumi pembiayaan kecemasan serta sokongan bersifat struktural.

Perdana Menteri Jepun turut mengumumkan bahawa AZEC akan dinaiktaraf, yang mana daya tahan ekonomi dan tenaga akan digabungkan dengan elemen penyahkarbonan, pertumbuhan ekonomi, dan keselamatan tenaga.

Cadangan tersebut disambut baik oleh para pemimpin, menteri, dan ketua pertubuhan antarabangsa dan turut mengongsikan kesan gangguan bekalan bahan api terhadap ekonomi negara masing-masing.

Selain itu, mereka menyeru tindakan serantau yang lebih kukuh melalui mekanisme ASEAN sedia ada, pengukuhan daya tahan rantaian bekalan, serta mempercepatkan peralihan tenaga.

Penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam Mesyuarat Sidang Kemuncak ini mencerminkan komitmen berterusan negara dalam menyokong kerjasama serantau sambil memastikan keselamatan tenaga dan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto