Sabda DPMM Di Upacara Istiadat Perbarisan Sempena Hari Polis Ke-99 Tahun

SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

DI UPACARA ISTIADAT PERBARISAN SEMPENA HARI POLIS KE-99 TAHUN
 
BERTEMPAT
PADANG KAWAD, PUSAT LATIHAN POLIS, KOMPLEKS IBU PEJABAT POLIS GADONG
 
PADA
HARI SELASA, 1 REJAB 1441 BERSAMAAN 24 FEBRUARI 2020
 
 

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem 

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala diatas limpah kurnia dan rahmat-Nya jua, mengizinkan kita berhimpun di Istiadat Perbarisan Hari Polis Ke-99 Tahun pada pagi yang penuh bersejarah ini.

Sesungguhnya perhimpunan ini adalah sangat bermakna dalam menyuntik semangat serta melestarikan budaya kerja berdaya maju, disamping merista pencapaian dan kejayaannya selaku anggota pasukan beruniform yang sentiasa berganding bahu bersama masyarakat dalam mempertahankan kedaulatan, memelihara keselamatan dan kemakmuran bumi Brunei Darussalam.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) diatas dedikasi dan khidmat bakti dengan usaha berterusan untuk mengekalkan profesionalisme dan momentum kecemerlangan demi keutuhan keharmonian kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Dalam mencapai usia ke-100 tahun, berbagai bentuk cabaran dan dugaan telah dan bakal diharungi pasukan polis yang setentunya turut mempengaruhi perkembangan, ketahanan dan integritinya secara keseluruhan.

Tema Sambutan Hari Polis tahun ini, iaitu ‘Bersama Menghadapi Cabaran’ memperingatkan kita semua bahawa keteguhan iman serta nilai-nilai beragama dan bernegara adalah sinonim dengan cabaran kerjaya dan tugasan bidang kepolisan yang memerlukan komitmen di samping jati diri yang tinggi.

Jesteru, ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada raja serta sikap jujur, amanah dan bertanggungjawab kepada pucuk kepimpinan adalah merupakan teras kepada pasukan polis dalam bersama-sama mempertahankan kesucian agama, perpaduan rakyat serta memelihara ketenteraman dan kedaulatan negara.

Natijahnya, cabaran yang perlu dihadapi masa kini adalah semakin kompleks dalam mana kes-kes jenayah yang melibatkan ancaman pengganas dan ideologi bercanggah termasuk tindak-tanduk segelintir masyarakat yang ada kalanya di luar jangkaan. Kecanggihan teknologi infokomunikasi dan alam siber juga turut merubah landskap komunikasi sosial serta potensi ancamannya kepada keselamatan. Perkembangan ini menuntut pihak pasukan polis untuk sentiasa siap siaga dalam menangani serta mengurus kesan daripada perubahan-perubahan yang amat disruptif kepada keharmonian kehidupan dan perpaduan masyarakat.

Ke arah itu, pembangunan kompetensi yang relevan kepada setiap anggota adalah signifikan kepada memperkasa keupayaan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan secara berterusan. Dalam hubungan ini, saya juga ingin mengingatkan semua anggota untuk sentiasa menanamkan sikap sense of purpose dan urgency melalui amalan budaya kerja yang sentiasa bermatlamat serta bersegera dalam tindakan demi menanai amanah pasukan polis.

Di arena global pula, saya gembira mengetahui pasukan polis terus berusaha untuk mengembangkan rangkaian kerjasama dengan pasukan polis serantau dan antarabangsa termasuk menyertai misi pasukan pengaman di kawasan konflik tertentu. Perkara ini setentunya membantu ke arah memantapkan lagi kemampuan serta reputasi PPDB menurut standard dan perspektif luar agar sama hebat serta setanding dengan pasukan-pasukan asing yang seangkatan.

Setiap anggota hendaklah sentiasa peka terhadap landskap keselamatan semasa dengan mengikuti perkembangan bidang kepolisan serantau dan antarabangsa, di samping bersedia untuk mempelajari dan mengadaptasi amalan-amalan terbaik menurut perspektif dan impak positifnya kepada negara. Perkara ini adalah selaras dengan titah paduka ayahanda semasa berangkat ke PPDB pada 5 September 2019 bahawa “Pasukan polis perlu mencari kecemerlangan dalam kerjaya mereka, cegah betul-betul jenayah, bersihkan Negara Brunei Darussalam daripada jenayah, ianya sebenar-benar tugas pasukan polis.”

Bersukut dari titah tersebut, saya juga ingin menekankan tentang kepentingan untuk pasukan polis sentiasa beringat dan berwaspada bahawa setiap tindakan, tugasan dan interaksinya bersama masyarakat adalah signifikan kepada meraih keyakinan masyarakat serta menegakkan kedaulatan undang-undang.

Akhirnya bersempena Istiadat Perbarisan Hari Polis Ke-99 Tahun, marilah kita bersama-sama bertekad untuk terus menabur khidmat terbaik ke arah meningkatkan serta memperkukuhkan kewibawaan pasukan polis seiring dengan tuntutan zaman. Di sebalik segala tindakan dan apa jua usaha yang dilaksanakan, saya ingin menekankan bahawa setiap usaha dan tindakan tersebut hendaklah didasari dengan doa serta bertawakal sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wata’ala agar kita semua sentiasa diberikan taufik dan hidayah serta dalam pemeliharaan dan keredaan-Nya.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh.

 

***

Titah KDYMM Sempena Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 2020

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS PERTANDINGAN MEMBACA AL-QUR’AN
BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN

BAGI TAHUN 2020

PADA 
HARI KHAMIS (MALAM JUMAAT)
06HB. JAMADILAKHIR 1441

30HB JANUARI 2020

TEMPAT:
DEWAN PLENARY, 
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

 

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan ‘inayah-Nya jua dapatlah kita bersama-sama berkumpul dalam majlis yang berkat ini, untuk mendengarkan ayat-ayat Allah berkumandang di dalamnya.

 

Musabaqah membaca Al-Qur’an di negara ini sudah memasuki kali ke-62 ia diadakan. Ertinya sudah lebih 60 tahun musabaqah ini berlangsung. Jangka masa yang sepanjang itu sudah tentu menjadi ingatan manis kepada siapa jua yang pernah menyaksikannya. Begitu juga bagi peserta musabaqah sendiri dan ahli-ahli jawatankuasa yang mengendalikannya. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberikan ganjaran pahala kepada semua mereka yang terlibat itu.

 

Beta sangat tertarik dengan tema majlis pada kali ini, iaitu “Menjana Keberkatan Rezki Dengan Al-Qur’an”.

 

Berkat secara umum, boleh diertikan sebagai kurnia berupa rahmat daripada Allah. Sementara istilah rezki pula mempunyai maksud pelbagai. Ia boleh berupa harta, kesihatan, ilmu pengetahuan, ketenteraman dalam keluarga dan seumpamanya.

 

Dengan banyak-banyak membaca Al-Qur’an boleh mengundang berkat, sedang berkat pula bererti ‘lebih’ atau melempah-lempah dan diantara yang lebih atau melempah itu boleh saja berupa rezki.

 

Antaranya rezki, berpunca dari keberkatan sedekah, keberkatan istighfar, keberkatan usaha dan seumpamanya.

 

Ini semua, dirumus sebagai amal takwa, sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Surah At-Talaq ayat 2 hingga 3, tafsirnya:

“Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia (Allah) akan menyediakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezki dari sumber yang tidak disangka-sangkanya”.

Sehubungan itu, telah mendorong Beta untuk tidak jemu-jemu menasihat, supaya semua lapisan masyarakat di negara ini melazimkan diri membaca Al-Qur’an, dalam makna, kita dituntut supaya sama-sama menghiasi rumah-rumah kita dengan cahaya Al-Qur’an. Biarlah Al-Qur’an itu terus menyinar dan memberkati segala aktiviti kita.

 

Di samping membaca, memahami ayat-ayat Al-Qur’an juga adalah menjadi keutamaan. Lalu kerana itu, kita pun mengambil langkah mengusahakan penyusunan Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya. Dan kini penyusunan itu sedang diusahakan.

 

Mengenai bidang pelajaran Al-Qur’an, Beta mahu semua Institusi Pendidikan di negara ini hendaklah mengambil perhatian berat, khasnya Institusi Pendidikan Ugama adalah tidak wajar untuk bersikap lebih kurang atau menganggapnya sebagai kurang penting, sehingga periode untuk mata pelajaran Al-Qur’an itu dibiarkan kurang, berbanding mata-mata pelajaran lain.

 

Terutama bagi Institusi Perguruan Ugama, adalah tidak munasabah untuk mengurangkan periode Al-Qur’an, kerana selaku pegawai atau guru ugama nanti, mereka itu dikehendaki mesti mahir dan mengusai semua aspek, mengenai Al-Qur’an. Jadi cuba bayangkan, jika mata pelajaran Al-Qur’an diabaikan ketika  di dalam pengajian?

 

Beta berharap perkara ini diambil perhatian sewajarnya.
Akhirnya, Beta sukacita mengucapkan penghargaan kepada semua peserta musabaqah pada kali ini. Kalah atau menang bukanlah matlamat utama, tetapi keikhlasan mengharapkan pahala daripada Allah, itulah yang menjadi keutamaan. Kepada para qari dan qariah yang berjaya menjadi juara, kita berdoa, semoga Allah memberkati kejayaan mereka.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sabda DPMM Pada Majlis Perasmian Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441 / 2020 (Malam Pertama)

SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PERTANDINGAN MEMBACA AL-QUR’AN
BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1441 /2020
(MALAM PERTAMA)
 
BERTEMPAT
DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
 
PADA
SELASA, 3 JAMADILAKHIR 1441H BERSAMAAN 28 Januari 2020M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

SYUKUR ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua kita dapat berkumpul pada malam yang mubarak ini di dalam Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1441 Hijrah bersamaan 2020 Masihi.

Marilah kita sama-sama meraih rahmat tersebut dengan bertasbih mendengarkan bacaan para qari dan qariah dengan diam menghayati sambil memikirkan maksud serta makna ayat-ayat yang dibaca.

Membaca Al-Qur’​an adalah zikir paling utama. Menyedari ganjarannya yang amat besar maka wajarlah membaca Al-Qur’an dijadikan amalan kelaziman bagi rakyat dan penduduk di negara ini, khususnya di kalangan para belia.

Ini adalah sangat mustahak, apatah lagi dalam era globalisasi masa kini yang berjaya merubah bentuk pemikiran, ideologi, budaya termasuk berbagai elemen negatif dari luar.
Kehebatan Al-Qur’an terbukti dalam konteks pendidikan sebagai asas yang kukuh ke arah pembinaan tamadun manusia dari aspek duniawi dan juga ukhrawi. Bahkah Al-Qur’an itu sendiri diturunkan dengan matlamat dan tujuan untuk mendidik umat manusia, sekali gus mengeluarkan manusia daripada kejahilan dan kesesatan.

Alhamdulillah, setakat ini beberapa buah sekolah rendah dan menengah serta Institusi Pengajian Tinggi di negara ini telah mengambil inisiatif ke arah memantau kekerapan dan kemahiran membaca Al-Qur’an serta penerapannya ke dalam kehidupan.

Di samping pemantauan kemahiran dan pelaziman membaca Al-Qur’an secara formal, institusi keluarga turut memainkan peranan penting dalam sama-sama mengukuhkan lagi matlamat tersebut.

Adalah menjadi tanggungjawab para ibu bapa untuk mewujudkan persekitaran rumah tangga yang harmoni antara lainnya melalui pendekatan interaksi yang mesra ceria, kawalan emosi yang tenang dan penyediaan makanan yang pastinya halalan tayyiban (yang halal lagi yang baik) dengan ikatan solat berjemaah serta pautan ayat-ayat suci Al-Qur’an.

Inilah elemen teras dalam membentuk keluarga sakinah, mawaddah, dan rahmah atau keluarga bahagia yang terhindar dari gangguan serta bisikan iblis dan syaitan.

Ke arah itu, marilah kita sama-sama memahami maksud dan mendalami pengertian yang terkandung dalam ayat-ayat suci Al-Qur’an sebagai tamsilan dan pedoman dalam menjalani kehidupan seharian di muka bumi ini.

Hanya Al-Qur’an sahajalah yang mampu membimbing kita untuk sentiasa berada di atas landasan yang benar lagi selamat di dunia dan akhirat.

Akhirnya, dengan berkat kalimah Bismillaahir Rahmaanir Raheem, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya dengan sukacita merasmikan Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 1441 Hijrah.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​

Titah KDYMM Sempena Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke Lapan Belas

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
UPACARA SOVEREIGN’S PARADE
PENGAMBILAN KE LAPAN BELAS
SEKOLAH PEGAWAI KADET,
AKADEMI PERTAHANAN

ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI

PADA HARI KHAMIS

27 JAMADILAWAL 1441 / 23 JANUARI 2020

BERTEMPAT

PADANG KAWAD AKADEMI PERTAHANAN

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala jua, pada pagi yang permai ini dapatlah pula kita hadir untuk menyaksikan Sovereign’s Parade bagi seramai tujuh puluh tiga (73) Pegawai Kadet Pengambilan Ke-Lapan Belas (18).

Syabas dan tahniah di atas kejayaan para Pegawai Kadet menamatkan latihan mereka selama dua belas (12) bulan dan juga di atas mutu perbarisan yang mereka tunjukkan pada pagi ini.

Beta gembira dengan peningkatan bilangan Pegawai Kadet yang ditauliahkan. Pada tahun lepas, seramai lima puluh tujuh (57) Pegawai telah ditauliahkan, berbanding pada tahun ini kita berjaya melahirkan tujuh puluh tiga (73) pegawai bertauliah baru. Namun ini belum dapat dapat dianggap mencukupi, malah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei masih memerlukan lebih ramai lagi Pegawai Tentera yang berkaliber.

Semenjak satu dekad penubuhannya, Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, telah berjaya melahirkan seramai lima ratus dua puluh tiga (523) Pegawai Tentera yang bertauliah. Majoriti dari mereka ini, ada yang telah memegang jawatan-jawatan penting di dalam unit-unit Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, disamping ada juga yang telah berkhidmat di Sekolah Pegawai Kadet sebagai Intake Commander.

Beta berharap, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan terus melahirkan Pegawai-pegawai Tentera yang professional, berdisiplin dan bekualiti tinggi.

Pada masa yang sama juga, diharapkan Jabatanarah Keanggotaan selaku ownership kepada Struktur Perkembangan Kerjaya (SPK), akan bersama-sama dengan Akademi Pertahanan dan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei untuk berganding bahu secara holistik, dalam memantapkan lagi sistem pengambilan dan kaedah latihan bakal-bakal Pegawai Tentera.

Dalam usianya mencapai sepuluh (10) tahun, Akademi Pertahanan telah mengalami beberapa perkembangan signifikan, diantaranya Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah turut terlibat selaku Academic Provider kepada Kursus Maktab Turus.

Bagi menghadapi persekitaran yang penuh kompleks dan cepat berubah, Beta melihat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei turut bergiat proaktif untuk sama-sama mencapai Wawasan Negara 2035 dengan setiap Pegawai Tentera dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei adalah dikehendaki untuk mempunyai Personal Mastery in Military Leadership, Command and Management, disamping perlu memiliki daya pemikiran dan kepimpinan.

Dalam usaha meningkatkan imej dan kredibiliti, Sekolah Pegawai Kadet perlu meneruskan Program-program Latihan Bersama, Lawatan dan Pertukaran Pegawai Kadet dengan Sekolah Pegawai Kadet di luar negara. Pengalaman yang diraih semasa latihan, lawatan dan pertukaran ini tentu saja mampu menjadi pemangkin kepada Pegawai Kadet untuk memantapkan lagi kualiti dan jati diri mereka sebagai Pegawai Tentera. Ianya juga berguna untuk meningkatkan lagi tahap professionalisme dan kualiti seorang pegawai tentera, setaraf dengan piawaian pegawai tentera Angkatan Tentera negara-negara sahabat di rantau ini khasnya, di samping juga akan mengukuhkan lagi hubungan diplomasi pertahanan.

Akhirnya, kepada Pegawai-Pegawai Kadet yang menamatkan latihan mereka pada pagi ini, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas di atas kecekalan dan semangat gigih mereka menjalani kursus yang bermakna ini. Segala pengalaman dan pelajaran yang diraih semasa latihan, perlu sentiasa diamalkan dengan penuh semangat.

Kepada ibu bapa serta penjaga Pegawai-Pegawai Kadet, Beta juga tidak lupa mengucapkan tahniah dan penghargaan di atas dorongan dan sokongan mereka kepada anak-anak, yang berperanan selaku perwira-perwira bangsa yang gagah berani.

Ucapan setinggi-tinggi tahniah juga Beta tujukan kepada seluruh warga Akademi Pertahanan, khususnya kepada Komandan, Pegawai Pemerintah, Intake Commander, Colour Sergeant, semua Jurulatih dan staf Sekolah Pegawai Kadet, kerana dengan dedikasi dan penat lelah mereka dalam menjayakan latihan serta Upacara Sovereign’s Parade pada pagi ini.

Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka Beta kurniakan tauliah sebagai Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, kepada tujuh puluh tiga (73) Pegawai Kadet Pengambilan Ke-Lapan Belas (18).

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Tahun Baru Masihi 2020

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN 
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA MENYAMBUT
TAHUN BARU MASIHI 2020

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita melangkah ke tahun baru Masihi 2020. Disepanjang tahun 2019, kita telah menikmati keamanan dan kesejahteraan. Semoga keadaan ini akan dapat dinikmati pula di sepanjang tahun 2020.

Keamanan dan kesejahteraan sangat penting untuk pembangunan. Tanpa keamanan dan kesejahteraan, pembangunan pasti tergendala. Bahkan rancangan-rancangan atau usaha-usaha merealisasikan matlamat-matlamat Wawasan juga akan terjejas. Di sinilah harga keamanan itu.

Oleh itu, Beta menyeru supaya semua lapisan rakyat dan penduduk bersatu padu memelihara keamanan dan keharmonian tanpa ada kecualinya.

Dalam usaha mengurangkan pengangguran, faktor kerjasama di antara agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta sangatlah diperlukan. Ke arah itu, Beta telahpun memperkenankan bagi penubuhan Manpower Planning and Employment Council (MPEC), di Jabatan Perdana Menteri, untuk menangani isu-isu pengangguran di negara ini secara efisien, telus dan berkesan. Ini termasuk memupuk kerjasama dengan industri-industri di negara ini dan institusi-institusi pendidikan, bagi memastikan anak-anak tempatan lepasan universiti dan pendidikan teknikal adalah employable.

Kita mahu, jawatan-jawatan dalam industri atau sektor swasta dapat diisi, tanpa terlalu memilih atau cerewet, dan kalau berusaha, janganlah hanya pandai membuka syarikat, sedang syarikat dijalankan oleh orang asing.

Berhubung dengan Program Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) pula, peluang adalah diberikan kepada penerima bantuan yang boleh bekerja (able-bodied and able-to-work) dengan memberikan bimbingan dan bantuan keusahawanan kepada penerima yang berkeinginan untuk memulakan perniagaan. Ini dihasratkan, akan dapat mengubah pendirian dari bergantung semata-mata kepada bantuan kerajaan kepada upaya berdikari.

Negara Brunei Darussalam juga tidak ketinggalan mengikuti perkembangan Era-Digital yang sering dikaitkan dengan Fourth Industrial Revolution, di mana teknologi seperti Edge, Cloud, Artificial Intelligence dan Extended Reality akan turut memacu transformasi industry Digital.
Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam terus teguh mempertahankan dan mengukuhkan ekonominya, disamping, bersiap sedia menghadapi apa jua keadaan, termasuk cabaran-cabaran berkaitan dengan faktor luaran. Kestabilan politik juga perlu menyerlah, untuk menarik pelaburan langsung asing ke negara ini.

Dalam usaha kita meningkatkan ekonomi, khasnya di bidang food security, Kerajaan Beta melalui usahasama dengan Darussalam Asset dan Kementerian berkenaan telah mula menanam padi variety Sembada secara komersial yang melibatkan keluasan 500 hektar di Daerah Belait. Beta berharap, ini akan diikuti juga oleh penanaman buah-buahan bagi menampung keperluan sendiri sekurang-kurangnya, dan dalam jangka panjang boleh dijadikan export commodity bagi Negara Brunei Darussalam.

Negara juga sedang meneroka inisiatif Blue Economy. Brunei Darussalam mempunyai sumber laut yang belum diteroka secara optima. Ini juga adalah satu peluang untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menyumbangkan pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Sehubungan itu, pihak-pihak yang berkepentingan diseru, supaya meneroka peluang-peluang untuk menyediakan program atau inisiatif ‘Tenaga Hijau’ bagi mempertahan dan melindungi alam sekitar dalam jangka masa yang panjang. Dalam masa yang sama, penglibatan orang ramai, penuntut-penuntut, pihak swasta dan NGOs, dikehendaki bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan bagi sama-sama mengatasi isu dan penyebab pencemaran alam sekitar.

Di arena antarabangsa, kita akan terus memupuk dan mengeratkan hubungan serta kerjasama dengan negara-negara sahabat dan rakan kongsi ASEAN. Kita mesti mengambil peluang-peluang yang ada bagi sama-sama mencapai kestabilan dan pembangunan di bidang ekonomi, sosial, budaya, teknikal, saintifik dan pentadbiran. Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah ASEAN pada tahun 2021.

Beta mengambil peluang untuk merakamkan kegembiraan diatas pencapaian Kontinjen Negara semasa Sukan Asia Tenggara (SEA Games) Ke-30 baru-baru ini di Republik Filipina.

Kejayaan yang telah diraih, boleh dijadikan kayu ukur, bahawa prestasi para atlet kita adalah meningkat, dibanding sejak tahun 1977 kita menyertainya. Syabas dan tahniah untuk semua.

Akhirnya, Beta merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta serta pasukan-pasukan keselamatan, di atas usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing di sepanjang tahun 2019.

Beta dan keluarga Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masihi 2020 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala sentiasa melimpahkan rahmatNya kepada kita semua dan menjadikan Negara Brunei Darussalam kekal aman dan sejahtera di bawah perlindungan Allah. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.