Titah KDYMM Mengenai Rombakan Dan Pelantikan Menteri-Menteri Kabinet Dan Timbalan-Timbalan Menteri Yang Baharu

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

MENGENAI ROMBAKAN DAN PELANTIKAN
MENTERI-MENTERI KABINET
DAN TIMBALAN-TIMBALAN MENTERI

YANG BAHARU

PADA HARI SELASA

13 JAMADILAWAL 1439 / 30 JANUARI 2018

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

 

Beta sendiri berpendapat, telah tiba masanya bagi Beta untuk membuat rombakan terhadap lantikan Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri yang ada pada masa ini. Memandangkan peri mustahaknya rombakan sedemikian, maka Beta telah membuat keputusan dan dengan ini mengisytiharkan pelantikan Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri yang baru. Lantikan-lantikan dalam rombakan yang Beta maksudkan adalah seperti berikut:

 

1. Beta sendiri menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan dan juga Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan. 
2. Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, sebagai Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri. 
3. Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim sebagai Penasihat Khas Beta dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Jawatan Penasihat Khas adalah bertaraf Menteri. 
4. Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. 
5. Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman sebagai Menteri Hal Ehwal Ugama.
6. Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong sebagai Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. 
7. Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusof sebagai Menteri Pertahanan II. 
8. Dato Paduka Dr. Awang Haji Md Isham bin Jaafar sebagai Menteri Kesihatan. 
9. Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. 
10. Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah sebagai Menteri Kewangan II. 
11. Dato Seri Paduka Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II. 
12. Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar sebagai Menteri Pembangunan. 
13. Dato Paduka Dr. Awang Haji Mat Suny bin Haji Md. Hussein sebagai Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian. 
14. Dato Paduka Awang Haji Hamzah bin Sulaiman sebagai Menteri Pendidikan. 
15. Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof sebagai Menteri Perhubungan. 
16. Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. 
17. Pengiran Dato Seri Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.
18. Datin Dayang Hajah Elinda binti C.A. Mohamed sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. 
19. Dato Paduka Awang Ahmaddin bin Haji Abd Rahman sebagai Timbalan Menteri Kewangan. 
20. Datin Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh sebagai Timbalan Menteri Pendidikan. 
21. Dato Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw sebagai Timbalan Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian. 

Rombakan dan pelantikan ini akan berkuatkuasa mulai hari Selasa, 30hb Januari 2018 bagi tempoh selama lima (5) tahun. 

Beta dengan ini juga sukacita mengisytiharkan bahawa jawatan Mufti Kerajaan dan Peguam Negara adalah sebagai jawatan yang bertaraf Menteri. 

Perlu Beta ingatkan bahawa lantikan-lantikan ini adalah amanah. Amanah mestilah ditanai dengan penuh setia dan sikap bertanggungjawab. Tidak siapapun yang boleh mengabaikan amanah. Kerana amanah itu adalah ia ibarat perjanjian suci kita dengan Allah Subhanahu Wata’ala. 

Untuk akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mereka yang tidak lagi dilantik dalam rombakan ini di atas khidmat dan jasa mereka yang disumbangkan selama ini, semoga Allah jua yang akan membalas dengan ganjaran pahala serta kebahagiaan yang berterusan. 

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Titah KDYMM Sempena Menyambut Awal Tahun Baru Masehi 2018

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

BERSEMPENA
MENYAMBUT AWAL TAHUN BARU
MASEHI 2018

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem


Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.


Alhamdulillah, marilah kita sama-sama bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat melaksanakan sebahagian besar daripada rancangan-rancangan negara pada tahun lalu.


Kita juga bernasib baik telah menikmati detik gemilang Sambutan Jubli Emas Beta Menaiki Takhta. Dengan tulus ikhlas Beta sekali lagi merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, baik secara langsung ataupun tidak, dalam menjayakan Sambutan Jubli Emas dan semua acara di dalamnya.


Kemeriahan sambutan oleh semua lapisan rakyat dan penduduk, termasuk para pengunjung daripada luar negara, adalah mencerminkan keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini.


Ini perlu dipertahankan, supaya negara terus kekal dalam aman dan makmur untuk diwarisi oleh generasi demi generasi.


Dari tahun ke tahun, kita adalah semakin hampir kepada tempoh sasaran bagi Wawasan 2035. Tempoh itu semakin ia menghampiri kita, maka semakin besarlah tanggungjawab untuk kita mempastikan bahawa, langkah kita tidaklah ke mana-mana, melainkan hanya terarah kepada sasaran sahaja, sehingga tercapainya matlamat “Brunei Maju”.


Tentu saja, dalam mendokong “Brunei Maju” ini, negara memerlukan kerjasama erat di antara pihak kerajaan, swasta dan rakyat seumumnya. Kerana dengan kerjasama itulah akan menjadikan iklim perniagaan dan perusahaan bertambah mudah, dan sekali gus akan menjadikan negara juga lebih menarik di mata pelabur-pelabur asing.


Jika suasana begini mampu dikekalkan, maka itulah satu kelebihan bagi Brunei, dimana Brunei perlu memilikinya.


Di bidang pendidikan, negara adalah berhak untuk berbangga dengan kejayaan Universiti Teknologi Brunei meraih 4 bintang pada penilaian Keseluruhan QS, dan juga dengan beroperasinya Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat, Universiti Islam Sultan Sharif Ali.


Ditambah lagi dengan pembukaan Pusat Global UBD-FPT di Republik Sosialis Vietnam baru-baru ini. Ini semua adalah bukti kecemerlangan jua.


Di bidang sosio-ekonomi, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan bagi membantu perusahaan-perusahaan mikro, kecil dan sederhana, untuk melangkah lebih jauh, sehingga ke pasaran antarabangsa. Ini termasuk penubuhan Bank Usahawan yang akan memulakan operasinya pada awal tahun 2018 ini.


Di bidang yang sama, kita juga menyedari, bahawa setiap insan itu mempunyai keupayaan dan kelebihan yang berbeza-beza. Maka dalam hal ini, demi kesejahteraan Orang-Orang Kelainan Upaya, Beta telah memperkenankan bagi pindaan ke atas Akta dan Peraturan Pencen dan Elaun Kurang Upaya. Melalui pindaan ini, elaun kurang upaya akan juga dapat dihulurkan kepada mereka yang berumur di bawah 15 tahun, yang layak pada kadar tertentu. Pindaan ini akan berkuatkuasa mulai 1hb Januari 2018.


Dengan pindaan ini, diharapkan kebajikan dan kesejahteraan penerima-penerima elaun tersebut akan lebih terjamin.


Di arena antarabangsa, kita akan terus memupuk dan mengeratkan hubungan serta kerjasama dengan negara-negara sahabat, disamping turut menghulurkan bantuan-bantuan kemanusiaan kepada pihak-pihak yang memerlukan, selaras dengan kemampuan kita.


Dalam hal ini, Beta merasa bangga atas inisiatif dan sambutan orang ramai yang telah menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya dan kepada  mereka yang memerlukan.


Baru-baru ini, Brunei Darussalam adalah antara 57 buah negara anggota OIC telah menyuarakan sokongan penyelesaian bagi sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur menjadi ibu negaranya.


Beta juga menegaskan dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC di Istanbul itu, tentang betapa pentingnya perpaduan umat Islam pada masa ini berbanding sebelumnya.

Pendirian kita adalah tegas untuk melihat dunia ini dipenuhi dengan keadilan, tanpa sesiapapun merasa teraniaya oleh sebarang bentuk penindasan dan pencerobohan.


Akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta, serta pasukan-pasukan keselamatan, di atas usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing di sepanjang tahun 2017.


Beta dan keluarga Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masehi 2018 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan melimpahkan rahmatNya kepada kita semua. Amin.


Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Semasa Majlis Bersama Rakyat Dan Penduduk Negara Brunei Darussalam Di United Kingdom Dan Eire Bagi Tahun 1439H/2017M

​TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


SEMASA MAJLIS BERSAMA RAKYAT DAN PENDUDUK
NEGERA BRUNEI DARUSSALAM
DI UNITED KINGDOM DAN EIRE
BAGI TAHUN 1439H / 2017M


PADA HARI AHAD, 28 RABIULAWAL 1439
BERSAMAAN DENGAN 17 DISEMBER 2017

Beta bersyukur ke hadhrat Allah
Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua, dapatlah Beta pada hari ini bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland, terutama para pelajar, pegawai-pegawai kerajaan yang sedang bertugas di sini dan juga mereka yang sedang bercuti bersama-sama keluarga.

Bagi para pelajar, Beta ingin mengingatkan bahawa Kerajaan Beta akan terus memberikan keutamaan kepada pendidikan, termasuk penyediaan skim-skim biasiswa dan skim bantuan pinjaman pendidikan.  Oleh yang demikian, para pelajar adalah dikehendaki supaya memberikan fokus terbaik kepada pembelajaran, sambil bersikap sentiasa ingin mempertingkatkan diri masing-masing.

Begitu juga mereka yang mengikuti pengajian melalui perbelanjaan sendiri, sewajarnya, lebih gigih lagi.  Kerana perbelanjaan yang dilabur oleh keluarga untuk menampung kos pengajian setiap pelajar bukanlah kecil.  Kerana itu, ianya mestilah dihargai.

Selain dari aspek pembelajaran, para pelajar juga diharapkan untuk mempertingkatkan keupayaan diri. Dalam makna, pelaburan yang tinggi ini bukan hanya untuk meraih kejayaan akademik semata-mata, malahan juga untuk menyumbang kepada pembangunan negara apabila kembali ke tanah air kelak.

Mengenai pembangunan negara ini, para graduan boleh memainkan peranan penting ke arah itu.  Ilmu dan kepakaran yang mereka perolehi adalah salah satu asas atau foundation untuk merealisasikan matlamat pembangunan tersebut. Namun ini hanya baru satu persiapan dalam menempuh alam pekerjaan.

Selain itu, rukun pembangunan juga mengambil kira kualiti dalaman, iaitu syakhsiyah dan sikap yang hebat dalam membangun.

Kita orang-orang Brunei, syakhsiyah dan sikap itu calaknya adalah MIB.  Maka selain MIB, ia bukan Brunei.

Ini mustahak untuk difahami oleh para pelajar sekalian.  Mereka adalah pewaris MIB, anak kandung kepada MIB.  Mereka tidak boleh berpaling tadah daripada MIB, walau apapun bidang pendidikan yang mereka pilih atau ambil.

Seyogia diingat, MIB bukanlah hanya untuk disandarkan kepada mata benda, seperti ada yang menyebut: “Kueh MIB” atau “Pakaian MIB” atau “Rekabentuk MIB” dan seumpamanya.  Tetapi yang lebih utama untuk difahami  di sini, bahawa MIB itu juga adalah sistem atau dasar atau nilai sistem bagi Brunei Darussalam.

Lalu kerana itu, janganlah ada yang sampai terbabas daripada landasan atau yang cuba meminati yang lain dari MIB.  Jika ada ini, sikap sedemikian itu adalah tidak patriotik selaku warga Brunei.

Di kesempatan ini, Beta sukacita mengucapkan tahniah kepada dua orang pelajar yang terpilih untuk menerima anugerah biasiswa
The Chancellor’s Scholar Universiti Brunei Darussalam bagi sesi 2017/2018 dalam pengajian di institusi-institusi ternama di United Kingdom.  Beta difahamkan, antara 9 orang penerima biasiswa berprestij ini, dari tahun-tahun yang lepas, 5 daripada mereka telahpun memulakan perkhidmatan di Universiti Brunei Darussalam.

Beta berharap, penerima-penerima anugerah ini akan terus mempertingkatkan lagi diri masing-masing sebagai
role model kepada pelajar-pelajar yang lain.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendo’akan agar semua pelajar dan pegawai yang bertugas di sini akan sentiasa berada dalam sejahtera dan perlindungan Allah
Subhanahu Wata’ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Bagi Tahun 1439H/2017M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

BERSEMPENA
SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
BAGI TAHUN 1439H / 2017M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Sambutan Maulid Ar-Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah salah satu perayaan yang tidak akan dilupakan untuk diperingati di negara ini. Kerana itu Beta sampai mengingatkan, supaya sebarang usaha untuk mempertikai atau memperkecilkan perayaan ini, eloklah ia dari awal-awal lagi ditangani dengan akta, bukan setakat dengan nasihat atau dakwah sahaja.

Tidaklah perlu untuk mengumpul sehingga banyak bukti mengenai orang-orang yang menolak tahlil, menolak talqin, menolak perayaan Maulid Ar-Rasul, menolak mengaminkan do’a imam dan lain-lain. Yang penting ialah, perkara ini memang sudah berlaku. Kalau di tempat kita ini, ia mungkin hanya kadang-kadang berlaku, tetapi di setengah tempat lain, perkara ini sudah pun jadi tengkarah yang lumrah.

Jadi, menggubal akta mengenainya memanglah sesuai, sekurang-kurangnya sebagai persiapan kita untuk menghadapinya.

Tema sambutan kita pada tahun ini berbunyi:
“Rasulullah: Qudwah Kepimpinan Yang Adil”. Memang tidak diragukan lagi, bahawa Rasulullah
Shallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah contoh ikutan yang paling unggul melaksanakan keadilan.

Baginda tidak pernah melakukan sebarang kezaliman, sehingga pernah bersabda, maksudnya:
“Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan potong jua tangannya”.

Inilah gambaran keadilan Rasulullah. Dalam sejarah, tiada siapa pun yang pernah dizalimi oleh Baginda. Semua orang menikmati keadilan daripada Baginda, walaupun golongan musyrik yang memusuhi Baginda.

Inilah maknanya usaha Baginda mengembangkan Islam sangat berjaya, kerana melalui keadilan itu, hati manusia mudah terpikat kepada Islam yang dibawa oleh Baginda.

Inilah rahsia keadilan apabila ia dilaksanakan. Allah tidak akan menghampakan sesiapa jua yang bekerja untuk keadilan.

Dalam zaman yang penuh bergolak ini, kita biasa mendapati keadilan itu dicemari oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Setengah mereka terlalu kejam, merampas kebahagiaan orang lain dengan kezaliman.

Perbuatan ini amatlah terkutuk, hanya menunggu sa’at sahaja lagi untuk dibalas oleh Allah.

Di Negara Brunei Darussalam, kita tidak membenarkan kezaliman berlaku. Kita pantangkan ia berlaku. Sesungguhnya di bumi bertuah ini, kezaliman tidak ada tempat untuknya. Ia adalah musuh kita. Kita tidak mampu untuk berkompromi dengannya.

Kezaliman biasanya dilakukan oleh pihak-pihak yang kuat atau berkuasa, termasuklah dalam dunia pekerjaan atau perkhidmatan. Kerana itu, Beta berkewajipan untuk mengingatkan, supaya sesiapa jua yang dititipkan dengan jawatan atau kuasa, tidak akan menggunakan jawatan atau kuasa itu untuk menzalimi orang lain.

Kezaliman yang paling dahsyat ialah ‘fitnah’: fitnah ke atas orang-orang yang tidak berdosa. Seyugia diingat, fitnah mestilah dijauhi oleh sesiapa saja yang ingin selamat.

Beta mahu, Brunei kita, mestilah bersih dari sebarang gejala fitnah dan kezaliman. Inilah saja modal kita untuk selamat. Allah Subhanahu Wata’ala pasti memberkati negara dan kerajaan yang adil.

Bersempena dengan memperingati Maulid Ar-Rasul
Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pada tahun ini, maka marilah kita sama-sama memasang azam untuk benar-benar menghayati tema sambutan, tentang keadilan Rasulullahi
Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Biarlah tema ini tidak hanya untuk dibaca atau disebut sahaja, tetapi yang penting, menjadikannya sumber ilham bagi kita untuk mencontohi Rasulullahi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam perkara mengamal dan menjalankan keadilan itu.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.