Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an bagi tahun 1437H / 2016M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.


DI MAJLIS

SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN

BAGI TAHUN 1437H / 2016M


PADA

HARI RABU,

 17 RAMADHAN 1437 / 22 JUN 2016


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita bersemuka lagi di dalam majlis yang berkat ini.

Telah menjadi tradisi kita umat Islam, pada setiap 17 Ramadhan, kita akan mengadakan Sambutan Nuzul Al-Qur’an. Boleh dikatakan, tradisi ini juga turut berlaku di mana-mana di seluruh dunia.

Nuzul Al-Qur’an adalah satu peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Ramadhan. Nuzul ertinya, kitab suci Al-Qur’an diturunkan. Kitab ini adalah ‘kitab induk’ untuk menjadi panduan bagi seluruh umat manusia. Kitab agung ini juga diberi nama sebagai An-Nur, yang bererti cahaya yang menerangi, atau Al-Furqan, yang bererti kitab yang dapat memandu untuk membezakan antara hak dan yang batil atau Az-Zikr yang bermaksud kitab yang memberi peringatan.

Memperkatakan keagungan kitab suci Al-Qur’an ini, kita di negara ini Beta percaya, telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu di dalamnya sebagai panduan, sesuai dengan Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Surah Al-Baqarah ayat 2 tafsirnya : “Itulah kitab (Al-Qur’an) yang tidak ada keraguan padanya. Ia adalah petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa”.

Kerajaan Beta pula melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama, telah tidak  kendur-kendur berusaha untuk mendekatkan masyarakat Islam di negara ini dengan Al-Qur’an, iaitu dengan memasukkan subjek Al-Qur’an itu di setiap sekolah rendah kerajaan dan swasta sehingga sampai ke peringkat tertinggi dan juga membukan kelas-kelas belajar Al-Qur’an di Masjid-Masjid, Surau-Surau dan Balai-Balai Ibadat serta kelas-kelas dewasa. Perkara ini dilaksanakan seupaya masyarakat Islam di negara ini sentiasa berpegang dengan Al-Qur’an sebagai panduan.

Untuk menghormati Ramadhan sebagai ‘bulan Al-Qur’an’, Kerajaan Beta memendekkan waktu bekerja dari jam 7.45 pagi sehingga 4.30 petang kepada 8.00 pagi sehingga 2.00 petang. Perkara ini juga dibuat, ialah untuk memberikan kemudahan dan keselesaan bagi kita semua menunaikan kewajipan berpuasa. Sementara pada malamnya pula, semua Masjid, Surau dan Balai Ibadat, mengadakan Sembahyang Tarawih dan bertadarus sebagai langkah menghayati ibadat-ibadat berkenaan, sambil mengharap-harap akan mendapat pahala Lailatul Qadar, yang lebih baik dari seribu bulan.

“Al-Qur’an sebagai Ubat dan Penawar Bagi Rohani dan Jasmani” adalah tema Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an pada tahun ini. Tema ini amat sesuai untuk kita praktikkan di dalam kehidupan kita, tidak kira samada kita dalam keadaan sihat ataupun sebaliknya. Ini adalah satu ungkapan supaya kita sentiasa membaca dan melaksanakan apa-apa jua yang terkandung di dalamnya.

Di antara ajaran Al-Qur’an ialah mengenai halal-haram makanan, yang juga turut diperjelas oleh hadits-hadits Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam  dan para ulama.

Beta difahamkan, usaha kita sekarang ialah ke arah memproses untuk mempercepatkan tempoh kelulusan permohonan Sijil Halal dan Permit Halal.

Langkah ini memanglah wajar dari sudut pentadbiran, tetapi dari sudut yang menyangkut perkara hukum halal-haram, kita tidaklah wajar untuk mengambil jalan pintas, tetapi mesti kemas dan penuh teliti, berdasarkan garis panduan syara’ yang    benar-benar syari’e bukannya setakat untuk melariskan sijil dan permit halal itu.

Hukum ‘halal-haram makanan’ adalah ia tersendiri, memerlukan orang-orang yang betul-betul tahu dan mengerti apa itu halal dan apa itu haram. Jika mereka tidak tahu atau faham semua ini, bagaimanakah boleh dijamin makanan atau hidangan yang dijual itu adalah halal?

Kita tidaklah mahu Brunei akan jadi seperti tempat-tempat lain, yang sering kedengaran ada yang berlaku penyelewengan atau pelanggaran hukum oleh premis-premis pemakanan dan perdagangan.

Mengambil sukut baik di bulan Ramadhan  yang penuh berkat keberkatan ini, maka marilah kita memperbanyakkan amal kebajikan, yang dituntut untuk kita melakukannya. Semoga dengan itu, rahmat Allah Subhanahu Wata’ala akan melimpah-limpah kepada kita dan juga kepada negara. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-55 Tahun

TITAH 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
SEMPENA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN 
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
 KE-55 TAHUN
PADA
HARI SELASA, 
12 SYA’ABAN 1437 / 31 MEI 2016
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat-Nya, mengurniakan negara kita sentiasa aman, tenteram dan sejahtera. 
Hari ini, genaplah usia Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ke-55 tahun. Kita menyambut ulang tahun ini di Akademi Pertahanan, salah satu dari mercu tanda Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. 
Akademi ini berperanan untuk melahirkan generasi muda pegawai-pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang lengkap dengan asas kepimpinan dan pengetahuan tentang ketenteraan. Kerana itu, Akademi ini mestilah terus merancang dan melebarkan skop pembelajarannya ke arah melahirkan pegawai-pegawai tentera yang berkualiti di peringkat taktikal, operasi dan strategik. Semua ini penting untuk menghadapi ‘contemporary operating environment’  yang serba mencabar dan tidak menentu. 
Dunia kita pada masa ini sedang berhadapan dengan pelbagai ancaman yang bersifat merentas sempadan. Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali dari kemungkinan menghadapi ancaman-ancaman keselamatan berbentuk tradisional dan bukan tradisional, seperti pengganasan, keselamatan maritim dan siber, serta bencana alam. 
Di sinilah perlunya kerjasama dari pelbagai pihak, bukan sahaja diantara agensi-agensi keselamatan dalam negara, malahan juga kerjasama di peringkat keselamatan antarabangsa. 
Oleh itu, prosedur dan tatacara yang terbaik, perkongsian pengetahuan dan kemahiran melalui perlaksanaan latihan-latihan dua hala dan pelbagai hala sentiasa penting untuk direview supaya selamanya relevan. Beta sedia mengambil maklum, bahawa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah pun meningkatkan usaha-usaha, dari segi Diplomasi Pertahanan, antaranya melalui kerjasama menerusi latihan bersepadu Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus Maritime Security and Counter Terrosism Exercise yang telah berjaya dilaksanakan pada awal bulan ini. Selain itu, talian hotline, atau juga yang dikenali sebagai “Direct Communications Link” diantara         Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN akan juga dilancarkan pada tahun ini. 
ADMM dan ADMM-Plus adalah merupakan satu tanda komitmen dan kemampuan kita dalam usaha memperkukuh kedudukan negara di tengah-tengah landskap keselamatan yang bersifat dinamik. 
Ianya juga turut mencerminkan, bahawa sungguhpun Brunei cuma sebuah negara kecil, namun kita juga mampu untuk menyumbang bagi keselamatan di rantau ini dan menyediakan satu landasan pelbagai kerjasama di dalam bidang pertahanan dan ketenteraan. Tidak diragukan lagi, ini adalah satu sumbangan terbesar yang dapat membantu negara-negara ASEAN dan rakan-rakan dialog di rantau Asia Pasifik untuk sama-sama meraih keamanan, kestabilan dan kemakmuran. 
Alhamdulillah, keupayaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada masa ini dapat dikenalpasti melalui perolehan peralatan-peralatan ketenteraan yang canggih dan terkini yang kita miliki. Namun ini bukanlah titik noktah untuk kita berhenti dari terus meningkat. 
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan tetap perlu, untuk terus menyesuaikan semua hala tuju perancangan perkembangan dan penyelidikannya mengikut keperluan dan keutamaan. 
Akhir kata, Beta rasa bersyukur dan bangga, dan seterusnya mengucapkan tahniah kepada semua warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang terlibat dalam menjayakan sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-55 Tahun. Syabas diucapkan kepada mereka yang menyertai perbarisan pada pagi ini dan tidak lupa juga diucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang Ke-55 Tahun kepada seluruh warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dalam dan luar negara, samada yang masih dalam perkhidmatan mahupun yang telah bersara. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 
***

Titah KDYMM Di Majlis Sambutan Isra’ dan Mi’raj Bagi Tahun 1437H 2016M

TITAH 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
DI MAJLIS 
SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ
BAGI TAHUN 1437H / 2016M
PADA
HARI KHAMIS, 
27 REJAB 1437 / 05 MEI 2016
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Kita sangat bersyukur, kerana Allah Subhanahu Wata’ala terus mengurniakan kepada kita rahmat-Nya, berupa nikmat sihat dan panjang umur, sehingga dengan itu dapatlah kita menunaikan ibadat dengan penuh selesa. 
Dapat beribadat dengan selesa, terutama ibadat sembahyang, tidak syak lagi adalah satu nikmat. Kerana bukankah sembahyang itu tiang ugama dan malah “Kunci Syurga”?
Tidak diragukan lagi, orang yang mampu mendirikan sembahyang adalah orang yang beruntung. 
Oleh itu, peliharalah sembahyang itu. Cara yang paling utama memelihara sembahyang, ialah melakukannya dengan konsisten pada awal waktunya. 
Di samping itu, adalah juga menjadi perkara asasi, ialah melakukan ibadat ini dengan betul, dengan menjaga segala rukun dan kaifiatnya (cara-caranya). Jika ini dapat dipenuhi dengan baik, maka barulah sembahyang itu dianggap sempurna. Jika tidak, maka selama itulah kita tetap dituntut untuk memperbaikinya. 
Jarang orang bercakap mengenai membaiki ibadat sembahyang. Yang banyak diperkatakan ialah, tentang membaiki bacaan Al-Qur’an. 
Pada hemat Beta, kedua-duanya itu patut diberikan perhatian seimbang, kerana bukan tidak pernah berlaku kekurangan atau kepincangan dalam perkara melakukan ibadat sembahyang itu. 
Hanya kita di Brunei, mungkin belum ada statistik tentang sembahyang, tetapi di luar negara, kita sudah baca, bahawa penuntut-penuntut, bahkan mereka yang di peringkat menengahpun, masih ramai yang tidak atau belum sempurna sembahyang mereka. 
Apakah perkara seumpama ini tidak mungkin berlaku di negara kita? Siapakah yang boleh berkata “TIDAK”, sedangkan kita belum lagi pernah mengkajinya? Atau belum pernah menyediakan sebarang statistik mengenainya?
Maka melalui majlis yang penuh berkat pada hari ini, Beta sukacita mengharapkan, supaya pihak-pihak yang berkenaan akan tampil untuk membuat kajian-kajian terperinci, bukannya setakat kajian rambang, mengenai pencapaian masyarakat, khasnya penuntut-penuntut kita pada keseluruhannya, termasuk juga para mahasiswa di pusat-pusat pengajian tentang mutu bacaan Al-Qur’an dan sembahyang mereka. 
Perlu diingat, kesalahan atau kekurangan di peringkat awal atau di peringkat kanak-kanak, adalah lebih mudah untuk memperbaikinya daripada setelah umur tua, di mana kesalahan atau kekurangan itu telah menjadi sebati. 
Bersempena dengan meraikan sambutan Isra’ dan Mi’raj ini, marilah kita sama-sama memuhasabah diri. Mana-mana yang masih kurang akan kita tambah dan apa jua yang belum disempurnakan akan kita sempurnakan dengan izin Allah.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 
***

Titah KDYMM di Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan kali ke- 56

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.


DI MAJLIS MUSABAQAH

MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT KEBANGSAAN

PADA HARI KHAMIS MALAM JUMAAT

13 REJAB, 1437H / 21 APRIL 2016M

(MALAM KETIGA)

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.


    Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat bersama-sama dalam majlis yang berkat pada malam ini.


    Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1437H/2016M ini adalah untuk kali yang ke-56 ia dianjurkan. Ertinya sudah lebih setengah abad negara kita memusabaqahkan bacaan Al-Qur’an peringkat dewasa. 


    Selama lima puluh enam tahun itu kita telah melahirkan qari’ dan qari’ah. Diantara mereka ada yang berpeluang mewakili negara ke musabaqah-musabaqah di luar negara. 


    Kita berasa bangga apabila ada diantara mereka yang mencapai mutu bacaan yang baik dan menggalakkan. 


    Lebih dari bangga, kita juga bersyukur kerana semua peringkat musabaqah membaca      Al-Qur’an yang diadakan di negara ini, khasnya di peringkat murid-murid sekolah dan belia-belia, adalah memberi makna bahawa Kitab Suci Al-Qur’an itu benar-benar kita hayati dan tidak diabaikan. 


    Maksud Beta ialah kita di negara ini sangat memberikan perhatian kepada Al-Qur’an. Kita tidak meringan-ringankannya, malah terus memelihara dan memartabatkannya. Cara kita memartabatkan itu termasuk melalui pelbagai program mengenai Al-Qur’an. 


    Kita adakan program mempelajarinya menerusi sistem persekolahan ugama. Kita juga adakan program menghafaznya, sehingga membawa kepada mempelajari ilmu qira’at Al-Qur’an di Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang melayakkan lepasannya melanjutkan pengajian ilmu qira’at ke peringkat yang lebih tinggi.


    Sebagai langkah mengembang dan menyebar luaskan lagi ilmu dan amalan menghafaz Al-Qur’an itu, kita juga ada menganjurkan Program Huffaz, yakni program melahirkan penghafaz dan pengamal hafazan Al-Qur’an di kalangan orang ramai. Setakat ini ada seramai 163 orang telah diperakukan sebagai huffaz, iaitu penghafaz dan pengamal hafazan Al-Qur’an dalam kategori hafazan sepuluh juz, dua puluh juz dan tiga puluh juz. Mereka itu diperiksa menerusi ujian tasmi’e pada setiap tahun sebelum mereka layak untuk menerima elaun galakan. 


    Sambil itu kita juga telah menerbitkan Mushaf Brunei Darussalam tulisan tangan yang disusuli dengan penerbitan Tafsir Mushaf Brunei Darussalam dan terjemahannya. 


    Pada hemat Beta, perhatian kita terhadap Al-Qur’an setakat ini adalah sebagai tanda kita menunaikan tanggungjawab berugama dengan sempurna.


    Dalam masa yang sama kita juga bertabarruk atau mengambil berkat daripadanya. Kerana Kitab Suci Al-Qur’an itu adalah pembawa keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala. 


    Dalam hubungan ini, Beta ingin menekankan, supaya perhatian berat terhadap Al-Qur’an hendaklah diteruskan. Maksud Beta, supaya ada usaha-usaha yang berterusan untuk memikir, merancang dan melaksanakan program-program yang bersesuaian. 


    Pada hemat Beta, adalah juga mustahak difikirkan tentang bagaimana untuk meningkatkan keberkesanan mata pelajaran Al-Qur’an itu di sekolah-sekolah ugama. Kerana setahu umum, pencapaian bacaan Al-Qur’an di sekolah-sekolah ugama itu masih saja di tahap memerlukan pembaikan dan peningkatan.


    Apa yang mustahak di peringkat kanak-kanak ini ialah, untuk menjadikan mereka itu    “betul-betul pandai” membaca Al-Qur’an. Inilah yang lebih mustahak disempurnakan sebelum berbangkit tentang pemahaman ayat-ayatnya dan lain-lain. 


    Disamping pembaikan bacaan Al-Qur’an di peringkat rendah, pada hemat Beta, elok juga diselajurkan untuk membuat kajian tentang kemampuan penuntut-penuntut sekolah menengah dalam bidang membaca Al-Qur’an. Kerana walaupun mereka sudah belajar membaca Al-Qur’an melalui persekolahan ugama sehingga darjah enam, namun ada tanda-tanda yang mutu bacaan Al-Qur’an mereka itu juga belumlah sebaik yang diharapkan. 


    Apabila mutu bacaan Al-Qur’an mereka itu belum sampai ke tahap seperti yang diharapkan, maka bererti kajian yang segara dan realistik perlulah dijalankan. 


    Seyogia diingat, keperluan untuk memperbaiki sistem pembelajaran Al-Qur’an, terutama bagi sekolah-sekolah ugama, sangatlah mendesak, kerana persekolahan ugama itu merupakan asas dan teras dalam sistem pendidikan negara pada keseluruhannya. Oleh itu, asas ini perlulah kuat untuk memperkemas pendidikan bangsa. 


    Akhirnya, mengenai Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan pada malam ini, Beta berharap ia akan menampilkan Qari’ dan Qari’ah yang terbaik di antara semua peserta. Kerana selepas ini, mereka akan berhadapan pula dengan keadaan yang lebih mencabar. 


    Beta sukacita dengan ini mengucapkan selamat bermusabaqah, sambil juga kita bersyukur kerana dapat meraih pahala dari membaca dan mendengar bacaan Al-Qur’an itu.  


    Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Hari Raya ‘Idil Fitri Tahun 1437H/2016M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

 

SEMPENA

HARI RAYA 'IDIL FITRI

TAHUN 1437H/2016M

 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Dengan segala syukur dan sukacita, Beta dan keluarga terlebih dahulu merakamkan ucapan Selamat Hari Raya 'Idil Fitri kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di Negara Brunei Darussalam di mana saja mereka berada. Semoga sekaliannya berada dalam keadaan sihat 'afiat, selepas berjaya menunaikan salah satu rukun Islam, puasa pada bulan Ramadhan.

Mulai malam ini sehingga imam mengangkat takbiratulihram bagi Sembahyang Hari Raya pada keesokannya, kita disunatkan bertakbir, dan esok pagi juga kita bergerak ke masjid atau surau atau balai ibadat untuk menunaikan Sembahyang Sunat 'Idil Fitri.

Demikianlah indahnya urutan ibadat yang telah disyari'atkan oleh Allah ini, dengan kita mula-mula berhempas pulas memenuhi tuntutan berpuasa, diikuti sembahyang tarawih, bertadarus Al-Qur'an dan Qiyamullail.

Dalam jangka waktu yang agak panjang sebulan penuh, kita sebenarnya adalah diuji, sama ada mampu ataupun tidak untuk bersabar memenuhi titah perintah Allah dengan berpuasa. Jika kita mampu bersabar, maka kitalah orang yang berjaya, sedang kalau tidak, maka kitalah orang yang kekal kecewa di hari akhirat kelak.

Oleh itu berhaklah bagi siapa saja yang sanggup bersabar, untuk bergembira pada hari ini, sebagai tanda kejayaan mereka melalui "ujian besar" berpuasa pada bulan Ramadhan.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Sangat biasa kita mendengar orang menyebut, bahawa puasa itu adalah "terapi ketuhanan" untuk kesihatan. Ia sangat berkesan untuk mengatasi pelbagai masalah, seperti masalah glukosa tinggi dalam darah, tekanan darah tinggi, berlebihan berat badan, obesiti dan sebagainya.

Kesihatan adalah faktor yang paling penting untuk semua. Jika badan sihat, semua kerja boleh dibuat dengan baik, sebaliknya jika tidak sihat, maka segala aktiviti tidak akan dapat berlaku dengan sempurna.

Inilah rahsia atau harga kesihatan.

Ugama Islam sangat mementingkan kesihatan. Diantara langkah paling berkesan untuk mengekalkan kesihatan ialah melalui pemakanan. Al-Qur'an dan Hadits Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam sendiri tidak ketinggalan menyebut tentang pemakanan. Al-Qur'an mengungkap: bahawa makan minum itu boleh saja, tetapi jangan sampai berlebih-lebihan. Sementara Hadits Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam pula sampai menyebutkan sukatan: satu pertiga untuk makanan, satu pertiga lagi untuk minuman dan satu pertiga pula untuk bernafas.

Inilah kaedah pemakanan bagi kesihatan. Kita umat Islam dituntut untuk memakai kaedah ini, di mana sebagai pelengkapnya ialah ibadat berpuasa.

Baru-baru ini kita mendengar atau membaca laporan Global Nutrition Report 2016 yang menempatkan Brunei Darussalam sebagai negara 'ranking' tertinggi bagi obesiti dikalangan orang dewasa di rantau ASEAN.

Manakala, hasil Kajian Status Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam sendiri pula, telah mendapati, bahawa tahap peningkatan berat badan berlebihan dan obesiti adalah sangat tinggi, mencapai sehingga 61 peratus dewasa. Sementara kesan dari masalah ini, telah pula dibutirkan sebagai: lebih dari 30 peratus penghidap tekanan darah tinggi, 12.4 peratus penghidap diabetes dan 70 peratus penderita dari kolesterol tinggi.

Perangkaan ini amatlah mencemaskan. Kita tidak dapat memandang ringan lagi, melainkan dari sekarang, kita perlu mendisiplinkan diri untuk mengatasi gejala ini dari terus meningkat.

Caranya, kita mestilah cepat bertindak memupuk kesedaran, supaya semua orang menjalani gaya hidup sihat dan gaya pemakanan sihat. Ke arah ini, pihak-pihak yang berkenaan dalam Kerajaan tidaklah boleh lengah lagi dari memberikan tunjuk ajar dan bimbingan kepada masyarakat.

Promosi dan motivasi mesti ditingkatkan, tidak memadai hanya sekali dua sahaja dilakukan, tetapi perlu berterusan, sehingga kefahaman yang mendalam dapat benar-benar diresapi kepada masyarakat.

Akhirnya, Beta berharap, semua kita di negara ini akan mengambil perhatian terhadap apa jua perkembangan semasa, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan perkara kesihatan, kerana kesihatan itu tidak syak lagi, adalah satu rukun untuk memperolehi segala kebaikan.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***