JPM Menghadiri Persidangan “Asean Law Enforcement High-Level Conference on Cooperation in Combatting Criminal Fugitives”

JPM Menghadiri Persidangan “Asean Law Enforcement High-Level Conference on Cooperation in Combatting Criminal Fugitives”

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam ke Persidangan “ASEAN Law Enforcement High-Level Conference on Cooperation in Combatting Criminal Fugitives” pada 30 September 2026 di Ha Noi, Republik Sosialis Viet Nam. Persidangan dianjurkan oleh Kementerian Keselamatan Awam Republik Sosialis Viet Nam bertemakan “Enhancing Regional Cooperation for a Rule-ofLaw and Crime-free ASEAN”, dan telah dirasmikan oleh Jeneral Lương Tam Quang, Menteri Keselamatan Awam Republik Sosialis Viet Nam.

Persidangan ini diadakan sebagai susulan daripada ASEAN Leaders’ Declaration on Enhancing Cooperation in Locating and Arresting Criminal Fugitives, yang diterajui oleh Republik Sosialis Viet Nam dan diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur, Malaysia pada 26 Oktober 2025. Persidangan ini juga telah menghimpunkan para pemimpin agensi penguatkuasaan undang-undang dari NegaraNegara Anggota ASEAN serta wakil-wakil Sekretariat ASEAN bagi mengesahkan Joint Action Plan on Enhancing Cooperation in Combatting Criminal Fugitives, dan seterusnya persetujuan bagi Kenyataan Bersama (Joint Statement) Persidangan.

Di dalam kenyataan Yang Berhormat Menteri, beliau telah menekankan bahawa penjenayah yang melarikan diri pada masa kini semakin mudah bergerak dan mahir menggunakan teknologi digital. Yang Berhormat Menteri turut mengongsikan beberapa kes yang menunjukkan kepentingan tindakan pantas, persediaan awal dan kerjasama rapat di antara agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang di rantau ini. Diantara lain, Yang Berhormat Menteri telah mencadangkan beberapa keutamaan kerjasama serantau, termasuk penetapan pegawai penghubung kebangsaan yang dapat dihubungi pada bila-bila masa, perluasan akses pangkalan data di pusat-pusat kawalan sempadan, dan pembangunan templat bersama bagi permohonan segera.

Semasa Persidangan tersebut, Yang Berhormat Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Jeneral Lương Tam Quang, Menteri Keselamatan Awam Republik Sosialis Viet Nam bagi membincangkan kerjasama dalam bidang-bidang keselamatan yang menjadi kepentingan bersama kedua-dua negara.

Dalam pertemuan dua hala yang berasingan, Yang Berhormat Menteri juga turut bertemu dengan Tuan Yang Terutama Sar Sokha, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Kerajaan Kemboja. Kedua-dua Menteri telah membincangkan usaha-usaha bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang, termasuk memerangi penipuan dalam talian (online scams) dan jenayah siber, berlandaskan hubungan baik dan mesra yang telah lama terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Kemboja.

Semua Ketua-Ketua Delegasi juga turut berpeluang untuk mengadakan kunjungan hormat bersama Perdana Menteri Republik Sosialis Viet Nam, Yang Berhormat Phạm Minh Chính, sempena Persidangan tersebut.

Delegasi turut disertai oleh Yang Mulia Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad, Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Jabatan Perdana Menteri

KDYMM Mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat LNG (BLNG) Ke -231 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat (BGC) Ke-117

KDYMM Mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat LNG (BLNG) Ke -231 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat (BGC) Ke-117

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei LNG Sendirian Berhad (BLNG) Ke-231 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei Gas Carriers Sendirian Berhad (BGC) Ke-117 bagi Suku Ketiga Tahun 2026. Mesyuarat tersebut berlangsung di bangunan Jabatan Perdana Menteri.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran) dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri Kewangan II, selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat BLNG dan Syarikat BGC.

Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Doa. Pada permulaan mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Titah. Baginda turut mengiktiraf pencapaian yang menggalakkan oleh Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Venture setakat ini, di samping usaha penambahbaikan yang dilaksanakan secara berterusan.

Mesyuarat seterusnya membincangkan beberapa perkara utama termasuk prestasi operasi dan kewangan, keselamatan dan kebolehpercayaan operasi, pembangunan tenaga kerja serta perancangan perniagaan. Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha untuk terus meningkatkan prestasi dan daya saing syarikat-syarikat berkenaan, di samping memperkukuhkan keupayaan bagi menjana nilai secara mampan dalam menghadapi perubahan persekitaran perniagaan dan tenaga.

Baginda turut menekankan kepentingan hala tuju yang jelas bagi mencapai potensi setiap syarikat, termasuk keutamaan dan pilihan strategik yang diperlukan bagi menyokong prestasi dan daya saing jangka panjang. Perhatian turut diberikan kepada kepentingan penyelarasan dan kerjasama yang berkesan dalam kalangan Syarikat-Syarikat Brunei Shell Joint Venture.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Shell plc dan Mitsubishi Corporation serta ahli-ahli kepimpinan daripada BLNG dan BGC.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga PengarahPengarah Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-420 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah-Pengarah Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-198 bagi Suku Ketiga Tahun 2026 pada hari esok.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Berkenan melawat Temasek Shophouse

Berkenan melawat Temasek Shophouse

Mengakhiri program sebelah petang itu, Duli Yang Teramat Mulia berangkat ke Temasek Shophouse dimana keberangkatan tiba dijunjung oleh Puan Ho Ching, Pengerusi Temasek Trust. Dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Trust, lawatan berpandu tersebut mengetengahkan aspek pemeliharaan warisan, reka bentuk lestari, serta ciri-ciri impak sosial yang dipacu oleh komuniti di lokasi berkenaan.

Temasek Shophouse merupakan hab impak sosial milik Temasek Trust, iaitu cabang filantropi bagi Temasek Holdings. Bangunan tersebut menggabungkan warisan tempatan yang bersejarah dengan ruang moden bagi projek-projek komuniti, sosial, dan alam sekitar. Setelah menjalani kerja-kerja pengubahsuaian besar, hab tersebut dibuka semula pada bulan September 2025. Ia kemudiannya menambah ruang hijau terbuka baharu pada bulan Mac 2026 yang menampilkan ciri-ciri mesra alam seperti panel solar dan sistem pengumpulan air hujan.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Berkenan melawat Temasek Holdings

Berkenan melawat Temasek Holdings

Pada sebelah petang, Duli Yang Teramat Mulia berangkat ke pejabat korporat Temasek Holdings, di mana Duli Yang Teramat Mulia dialu-alukan oleh Teo Chee Hean, Pengerusi Temasek Holdings.

Semasa lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia mengadakan perjumpaan empat mata dengan Pengerusi Teo Chee Hean bagi bertukar-tukar pandangan mengenai perkara-perkara yang menjadi kepentingan bersama. Susulan perjumpaan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia berkesempatan mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli Temasek Holdings sebelum disembahkan taklimat yang menumpukan kepada inisiatif institusi program strategik organisasi berkenaan.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

DPMM berangkat melawat SAFTI City

DPMM berangkat melawat SAFTI City

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini meneruskan program rasmi Duli Yang Teramat Mulia sempena Program Pemimpin-Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei kali ke-12 di Singapura.

Duli Yang Teramat Mulia memulakan program hari ini dengan keberangkatan ke SAFTI City, diikuti dengan majlis perjumpaan dengan Teo Chee Hean, Pengerusi Temasek Holdings. Mengakhiri acara hari itu, Duli Yang Teramat Mulia berangkat melawat Temasek Shophousebagi meninjau projek-projek impak sosial yang mampan dan dipacu oleh komuniti.

Semasa lawatan ke SAFTI City, Duli Yang Teramat Mulia telah disembahkan taklimat yang mengetengahkan kerjasama pertahanan yang erat dan telah lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura, serta integrasi teknologi canggih dalam metodologi latihan moden. Lawatan tersebut turut menampilkan demonstrasi peralatan simulasi medan pertempuran khusus dan sistem udara tanpa pemandu (dron) generasi baharu. Bagi mengetengahkan tumpuan SAFTI City terhadap kesiapsiagaan operasi yang realistik, Duli Yang Teramat Mulia menyaksikan penggunaan peralatan instrumentasi pintar, turut mengendalikan dron, serta mengambil bahagian secara aktif dalam latihan praktikal menembak sasaran menggunakan senapang penembak tepat (sniper).

Dilancarkan pada bulan Mac 2025, SAFTI City merupakan kemudahan pintar generasi akan datang milik Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) untuk latihan operasi bandar yang realistik. Ia menyediakan persekitaran kawasan binaan bagi tujuan keselamatan dalam negeri, antipengganas, dan bantuan bencana.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto