Keberangkatan KDYMM Balik Meninggalkan Kazan, Persekutuan Rusia

Keberangkatan KDYMM Balik Meninggalkan Kazan, Persekutuan Rusia

Selesai Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat meninggalkan Kazan, Persekutuan Rusia.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Sebelum berangkat balik, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan bagi menyembahkan ucapan selamat berangkat Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Tuan Yang Terutama Alexey Pesoshin, Perdana Menteri Republik Tatarstan; dan Tuan Yang Terutama Yuri Kamaltynov, Deputy Chairman of the State Council of the Republic of Tatarstan.

Turut hadir ialah Tuan Yang Terutama Pengiran Muhammad Husaini bin Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Persekutuan Rusia dan para pegawai Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Moscow.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

KDYMM Berangkat Menghadiri Sidang Kemuncak Komemoratif Asean-Rusia

KDYMM Berangkat Menghadiri Sidang Kemuncak Komemoratif Asean-Rusia

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia yang berlangsung di Kazan Expo International Exhibition Centre.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Pada Sesi Plenari Pertama bagi Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula menzahirkan rasa penghargaan yang mendalam kepada Yang Terutama Presiden Vladimir Putin atas sambutan mesra serta layanan yang baik yang dihulurkan oleh Kerajaan Republik Tatarstan dan rakyat Kazan. Baginda juga menyampaikan ucapan takziah kepada Tuan Yang Terutama Anutin Charnvirakul, Perdana Menteri Thailand atas kemangkatan Her Royal Highness Princess Bajrakitiyabha, Kerajaan Thailand.

Menyentuh mengenai perkembangan Hubungan Perkongsian ASEAN-Rusia sepanjang tiga puluh lima tahun, di samping perubahan-perubahan signifikan yang telah membentuk rantau ini dan secara global, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan bahawa hubungan ini telah membuktikan kedayatahahan dan kepentingan yang semakin meningkat dalam menghadapi transformasi global. Tambahan lagi, kerjasama ASEAN-Rusia telah diperkukuhkan merentasi tiga tunggak Komuniti ASEAN yang mencerminkan komitmen teguh Rusia terhadap usaha-usaha serantau ASEAN serta matlamat bersama dalam memelihara keamanan, keselamatan dan kemakmuran.

Tambahan lagi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan bahawa melalui kerjasama ini, hubungan perkongsian tersebut telah mencapai manfaat ketara dan menanai hubungan persahabatan yang rapat di antara rakyat daripada kedua-dua rantau. Dalam usaha ASEAN ke arah merealisasikan Wawasan 2045, ASEAN berdepan dengan persekitaran global yang semakin mencabar, berikutan ketegangan politik dan ekonomi, cabaran perubahan iklim dan kemajuan teknologi yang pesat. Dalam hal ini, Baginda menggariskan bahawa kerjasama ASEAN-Rusia akan kekal menjadi penting dalam memperkukuhkan daya tahan secara kolektif dan memajukan keamanan, kestabilan dan kemakmuran dalam bidang-bidang yang boleh membawa impak yang bermakna, termasuk keselamatan tenaga dan makanan, tindakan menangani perubahan iklim, pengurusan bencana dan cabaran keselamatan bukan tradisional.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menekankan bahawa teras kepada segala usaha tersebut adalah rakyat, yang mana melalui pendidikan, pertukaran dan program latihan, generasi masa hadapan perlu dilengkapkan dengan kemahiran dan rangkaian yang diperlukan untuk memperkukuhkan perkongsian ini. Pada dasarnya, hubungan ASEAN-Rusia akan dinilai melalui manfaat sebenar yang dapat dinikmati oleh rakyat.

Akhir sekali, Baginda menyambut baik Deklarasi Kazan 2026, yang menegaskan semula komitmen terhadap memperkukuhkan Perkongsian Strategik ASEAN-Rusia. Dalam pada itu, Baginda juga menyatakan keyakinan bahawa, dalam mengemudi tiga puluh lima tahun yang akan datang, kedua-dua pihak akan memanfaatkan kepercayaan dan kerjasama yang telah dibina sekian lama bagi menghadapi cabaran-cabaran masa hadapan dengan jayanya.

Pada penghujung Sesi Plenari tersebut, empat (4) dokumen telahpun diluluskan, iaitu: Kazan Declaration 2026: ASEAN-Russian Federation: Unity in Diversity – 35 Years Together ; Comprehensive Plan of Action to Implement ASEAN-Russian Federation Strategic Partnership (2026–2030); Joint Statement of ASEAN and the Russian Federation on Energy Cooperation; dan Joint Statement of ASEAN and the Russian Federation on Cultural Cooperation

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama Ketua-Ketua Delegasi yang lainnya seterusnya berangkat menghadiri Sesi Plenari Kedua (Majlis Santap Tengah Hari). Majlis Santap Tengah Hari Pemimpin Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia bertemakan “Integration Processes in Eurasia”. Semasa Majlis Santap tersebut, Setiausaha Agung ASEAN, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan Pengerusi Lembaga Suruhanjaya Ekonomi Eurasia (EEC) telah menyampaikan ucapan serta laporan mengenai hasil Forum Perniagaan ASEAN Rusia – acara sampingan Sidang Kemuncak Komemoratif – yang telah diadakan pada 17 Jun 2026 di Kazan, Persekutuan Rusia.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

KDYMM Menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala Bersama Tuan Yang Terutama Presiden Persekutuan Rusia

KDYMM Menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala Bersama Tuan Yang Terutama Presiden Persekutuan Rusia

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Tuan Yang Terutama Vladimir Putin, Presiden Persekutuan Rusia, yang diadakan di Kazan, Persekutuan Rusia.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Semasa Majlis Perjumpaan Dua Hala tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menzahirkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Presiden Putin kerana menghoskan Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia. Sudah lebih satu dekad sejak keberangkatan terakhir ke Rusia, yang mana Baginda turut mengimbas kembali keberangkatan dan pertukaran lawatan sebelum ini, termasuk mengalu-alukan Tuan Yang Terutama Presiden Putin ke Negara Brunei Darussalam semasa Mesyuarat Ketua-Ketua Ekonomi APEC pada tahun 2000 dan penyertaan Tuan Yang Terutama secara dalam talian semasa Negara Brunei Darussalam menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2021.

Mengenai hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa tahun ini amat bermakna memandangkan kedua-dua negara akan memperingati ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik pada bulan Oktober nanti. Hubungan tersebut telah berkembang menjadi kerjasama yang kukuh dan substantif dalam pelbagai bidang utama seperti pendidikan, pertahanan, keselamatan serta pertukaran antara rakyat. Pada masa yang sama, kemajuan yang berterusan juga telah dicapai melalui Kumpulan Kerja Bersama dan Perbincangan Staf Tentera Laut. Dalam hubungan ini, Baginda menekankan kepentingan untuk memperkukuhkan lagi kerjasama, termasuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Tentera Laut serta beberapa perjanjian lain yang masih dalam pertimbangan, bagi menjana manfaat yang nyata kepada kedua-dua negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengalu-alukan para pelajar Rusia untuk mempertimbangkan Brunei sebagai destinasi pengajian mereka bagi mengukuhkan lagi pertukaran antara rakyat serta bagi syarikat-syarikat Rusia untuk meneroka peluang pelaburan di Brunei dalam bidang seperti industri hiliran minyak dan gas, makanan, perkhidmatan, pelancongan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Di samping itu, Baginda berharap agar Rusia akan menyokong usaha Pusat Perubahan Iklim ASEAN di NegaraBrunei Darussalam apabila pusat tersebut mula beroperasi.

Menyentuh mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan Persekutuan Rusia terhadap ASEAN Centrality dan berpandangan bahawa Hubungan Dialog merupakan platform penting bagi menggalakkan penglibatan yang konstruktif. Dalam perkara ini, Baginda berharap kerjasama antara Brunei dan Rusia akan terus diperkukuhkan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta forum-forum pelbagai hala yang lain dalam usaha menegakkan undang-undang antarabangsa yang berasaskan peraturan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan kebimbangan yang mendalam mengenai krisis di Timur Tengah, khususnya berhubung isu Palestin, dan menegaskan semula sokongan terhadap penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka berdasarkan penyelesaian dua negara serta sempadan sebelum tahun 1967. Dalam menyeru agar pertikaian dihentikan serta-merta dan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza diberikan tanpa halangan, Baginda menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan Rusia dalam memperjuangkan isu Palestin. Baginda turut menegaskan kedudukan teguh Brunei yang menentang penggunaan kekerasan dalam situasi yang melibatkan Iran, sekaligus menyeru semua pihak untuk melibatkan diri secara tulus ikhlas dalam diplomasi dan dialog demi mencapai keamanan yang adil dan berkekalan. Baginda juga menyatakan harapan agar usaha-usaha diplomatik dapat membantu melindungi perdagangan, mengurangkan ketegangan serantau bagi penyelesaian yang aman dan segera di rantau berkenaan, termasuk Selat Hormuz.

Pada akhir mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia merakamkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Presiden Vladimir Putin atas komitmen beliau dalam memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara, serta mengundang Tuan Yang Terutama untuk mengadakan Lawatan Negara ke Negara Brunei Darussalam.

Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia menjalinkan hubungan diplomatic pada 1 Oktober 1991, dan menikmati hubungan yang mesra dan mesra dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan, pendidikan, budaya serta pertukaran rakyat.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Berangkat Tiba Di Kazan, Persekutuan Rusia

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Berangkat Tiba Di Kazan, Persekutuan Rusia

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat tiba di Kazan, Persekutuan Rusia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia yang akan berlangsung pada 17 hingga 18 Jun 2026.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan dijunjung oleh Tuan Yang Terutama Rustam Minnikhanov, Rais Republik Tatarstan, Persekutuan Rusia.

Juga hadir menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Tuan Yang Terutama Pengiran Muhammad Husaini bin Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Persekutuan Rusia.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Titah Perutusan KDYMM Sempena Tahun Baru Hijrah 1448

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA 
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA TAHUN BARU HIJRAH 1448

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Dengan niat suci semata-mata kerana Allah, marilah kita sama-sama merafa’kan syukur kepadaNya, yang telah mentakdirkan kita dipanjangkan umur untuk dapat menyambut Tahun Baru Hijrah.

Kita berharap dan malah berdo’a semoga tahun baru ini akan dapat diisi dengan usaha-usaha berkebajikan bagi diri sendiri dan keluarga serta bagi negara tercinta.

Banyak perkara masih perlu dibuat sama ada dalam bidang mata benda mahupun dalam bidang rohani. Bidang mata benda meliputi ekonomi dan pembangunan fizikal, sementara bidang rohani pula meliputi ilmu, Pendidikan dan dakwah.

Semua ini menuntut kita untuk bekerja keras, tanpa mengenal titik noktah. Ada pun tahun baru, hanyalah wadah untuk memperbaharui azam, bukannya untuk kita baru hendak melangkah melakukan kerja.

Dalam era hari ini, banyak perkara jadi cabaran. Sama ada kita suka atau tidak, dunia kita kini adalah sedang berada dalam kancah peperangan. Dari peperangan, tidak ada sebarang kebajikan yang dapat ditunggu, melainkan semuanya adalah penderitaan dan kesusahan belaka. Semua pihak termasuk kita, tidak ada uang terkecuali dari turut menerima kesannya.

Bercakap mengenai cabaran, alhamdulillah, Brunei kita dapat sentiasa berkeadaan selamat, tanpa mengalami sebarang bencana alam yang mengganggu kehidupan. Ini semua adalah berkat Brunei ditanai dengan do’a, dengan zikir dan dengan Al-Qur’an.

Cuma satu perkara yang memerlukan perhatian bersama ialah, Brunei kadang-kadang terpalit dengan jenayah, seperti jenayah dadah, jenayah curi dan lain-lain yang mengaibkan negara serta amat dibenci oleh ugama.

Maka dalam perkara ini, semua agensi, khasnya yang berkenaan dengan keselamatan dan ugama hendaklah bergerak pantas mendepani gejala ini.

Khusus bagi pihak ugama, ialah memperkasa Pendidikan ugama dan bidang dakwah, bagi tujuan menanam kesedaran membenci dadah dan lain-lain jenayah dikalangan masyarakat.

Pada hemat Beta, dalam scenario seperti ini, kita orang islam adalah dituntut supaya jangan lupa membanyakkan do’a meminta selamata, meminta negara bersih daripada jenayah, insya Allah, perlindungan akan tetap berpihak kepada kita.

Di sinilah tanggungjawab kita sedang diperlukan, iaitu tanggungjawab menyelamat terhadap umat dan negara. Beta yakin, perkara ini mampu untuk kita capai dengan izin Allah.

Maka dalam scenario seperti ini, kita orang Islam diperlukan supaya sentiasa waspada, bukan banyak lalai atau lupa, tetapi banyak berdo’a dan berzikir meminta selamat.

Akhir kalam, untuk menutup perutusan ini, Beta dan Keluarga Beta, dengan sukacita dan besar hati mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1448 kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini, semoga dengan berkat Tahun Baru, kita semua dilimpahi rahmat dan nikmat oleh Allah berupa petunjuk atau hidayah serta keselamatan dan rezeki yang mencurah-curah. Amin, Ya Rabbal ‘Alamin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*   *   *