Majlis Berselawat sempena penutupan Bilik Rambut Mulia Rasulullah

Majlis Berselawat sempena penutupan Bilik Rambut Mulia Rasulullah

Lebih 3,300 pengunjung berpeluang mendekati dan menyaksikan sendiri Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sepanjang pembukaan Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) sempena bulan Rabiulawal 1448 Hijrah tahun ini.

Sepanjang tempoh pembukaan dari 2 hingga 30 Rabiulawal 1448H bersamaan 15 Ogos hingga 12 September 2026, pengunjung hadir bagi mengambil peluang berselawat dan menghayati salah satu khazanah yang mempunyai nilai sejarah dan keagamaan berkenaan.

Majlis Berselawat yang diadakan hari ini bagi menandakan penutupan Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam turut dihadiri jemputan khas terdiri daripada Ahli-ahli Lembaga Penasihat BKISHHB, iaitu Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Kehadiran para jemputan khas dialu-alukan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, merangkap Pengarah BKISHHB, selaku Ketua Urus Setia Lembaga Penasihat BKISHHB.

Majlis kemudiannya diserikan lagi dengan bacaan selawat dan dikir yang dipimpin oleh tenaga pengajar dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Sheikh Haji Mutia’a Al-Kabbani Mahmoud.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Awang Abdul Hadi bin Haji Azrol, pelajar Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat Tahun 1, ITQSHHB.

Pembukaan Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sepanjang Rabiulawal merupakan antara usaha BKISHHB dalam menyemarakkan bulan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping membesarkan dan memuliakan bulan yang penuh keberkatan berkenaan.

Tidak hanya menjadi ruang kunjungan, BKISHHB turut menyusun pelbagai aktiviti keagamaan, termasuk empat sesi berselawat setiap hari bekerja, iaitu Isnin hingga Khamis dan Sabtu, yang disertai oleh kumpulan serta persatuan zikir daripada kementerian dan jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi, masjid-masjid serta syarikat swasta.

Sesi berselawat yang dibukakan melalui tempahan secara dalam talian berkenaan mencatatkan penyertaan seramai 934 orang, yang bersama-sama menyemarakkan Rabiulawal dengan pelbagai bentuk dikir dan Selawat, antaranya Dikir Syarafil Anam, Selawat Ibrahimiyah, Selawat Tafrijiyyah, Selawat Munjiyat, Selawat Fatih, Selawat Syifa, Selawat Nur, Selawat Badariyyah dan Maulid Diba’ie.

Dalam pada itu, acara dan aktiviti berselawat turut diadakan pada setiap Ahad sepanjang Rabiulawal di Auditorium BKISHHB, dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, persatuan berdaftar dan kumpulan-kumpulan zikir serta dibukakan kepada orang ramai.

Pembukaan Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam akan diteruskan lagi pada tahun hadapan, iaitu selama tiga hari pada Januari 2027 bersempena memperingati peristiwa Israk dan Mikraj nanti.

Sumber berita Jabatan Penerangan
Sumber foto Jabatan Penerangan

Persidangan “2026 Global Public Security Cooperation Forum Lianyungang”

Persidangan “2026 Global Public Security Cooperation Forum Lianyungang”

Lianyungang, Republik Rakyat China, 07 hingga 10 September 2026

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri Persidangan “2026 Global Public Security Cooperation Forum Lianyungang (GPSCFL)” yang diadakan di Kota Lianyungang, Wilayah Jiangsu, Republik Rakyat China pada 07 hingga 10 September 2026.

Negara Brunei Darussalam telah menyertai GPSCFL sejak tahun 2024 yang merupakan sebuah persidangan tahunan yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Keselamatan Awam, Republik Rakyat China dan China Association for Friendship di bawah Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Rakyat China. Tema GPSCFL pada tahun ini iaitu “Unite to Advance Public Security Governance Bring Stability to a Turbulent World,” menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dan perpaduan antarabangsa dalam meningkatkan tadbir urus keselamatan awam, khususnya dalam menangani landskap keselamatan global yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Sidang plenari GPSCFL telah diadakan pada petang 09 September 2026 di Haizhou Bayview Conference Centre di Kota Lianyungang, Republik Rakyat China. Hadir bagi merasmikan Persidangan GPSCFL 2026 ialah Tuan Yang Terutama Wang Xiaohong, State Councillor and Minister for Public Security, Republik Rakyat China. Pada hari yang sama, delegasi Negara Brunei Darussalam juga berkesempatan mengunjungi The 3rd Public Security Tech Expo yang diadakan bersempena dengan persidangan tersebut.

Terlebih dahulu pada 08 September 2026, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) telah mengadakan Mesyuarat Dua Hala dengan Tuan Yang Terutama Yang Weilin, Vice Minister of Public Security, Kementerian Keselamatan Awam, Republik Rakyat China. Semasa mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) telah menzahirkan rasa berpuas hati dengan hubungan kerjasama erat yang terjalin di antara agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di kedua-dua buah Negara. Mesyuarat turut membincangkan usaha-usaha untuk terus memperkukuh lagi jalinan kerjasama secara formal di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China khususnya dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan, termasuk melalui pertukaran maklumat, perkongsian amalan terbaik dan pembangunan kapasiti, khususnya dalam menangani isu-isu berkepentingan bersama termasuk penguatkuasaan undang-undang, pengedaran dadah dan keselamatan siber.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) juga telah mengadakan perjumpaan bersama Tuan Yang Terutama Syed Mohsin Raza Naqvi, Menteri Persekutuan bagi Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kawalan Narkotik, Republik Islam Pakistan pada 09 September 2026. Semasa perbincangan tersebut, kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama dalam bidang keselamatan, khususnya dalam menangani jenayah rentas sempadan termasuk pengganasan dan jenayah siber. Perbincangan turut menyentuh mengenai mekanisme rasmi untuk mengukuhkan kerjasama di antara agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di kedua-dua negara khususnya dalam memanfaatkan teknologi yang terkini.

Semasa berada di Republik Rakyat China, delegasi Negara Brunei Darussalam juga berpeluang untuk mengadakan lawatan ke beberapa lokasi di Kota Beijing dan Shanghai di atas jemputan pihak Kementerian Keselamatan Awam, Republik Rakyat China dan pihak-pihak berkepentingan yang lain.

Turut menyertai delegasi Negara Brunei Darussalam ke persidangan berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri, Dayang Hajah Aldila binti Haji Mohamad Salleh dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Jabatan Perdana Menteri

Lawatan memperkukuh kerjasama keselamatan, penguatkuasaan serantau, antarabangsa

Lawatan memperkukuh kerjasama keselamatan, penguatkuasaan serantau, antarabangsa

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II telah mengadakan lawatan kerja ke Persekutuan Rusia dari 27 hingga 29 Ogos 2026, di atas jemputan dari Tuan Yang Terutama Sergei Shoigu, Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia. Lawatan ini adalah susulan kepada Memorandum Persefahaman yang diperbaharui di antara Jawatankuasa Keselamatan Negara, Negara Brunei Darussalam dan Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia pada April 2024.

Pada 28 Ogos 2026, Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama Tuan Yang Terutama Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia. Semasa mesyuarat tersebut, delegasi Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia telah bertukar-tukar pandangan mengenai perkara-perkara berkepentingan bersama di bawah Memorandum Persefahaman tersebut termasuk isu-isu keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa serta peluang-peluang untuk mengukuhkan kerjasama di antara agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di kedua-dua buah negara khususnya dalam menangani jenayah merentas sempadan. Kedua-dua buah negara juga telah menzahirkan komitmen untuk merealisasikan objektif-objektif di bawah Memorandum Persefahaman tersebut dengan mengadakan usaha-usaha kerjasama yang lebih konkrit dan bermakna, termasuk melalui hubungan yang lebih rapat di antara agensi-agensi berkaitan, pertukaran maklumat dan pengalaman, pembangunan kapasiti serta pertukaran lawatan.

Semasa mesyuarat dan lawatan kerja dari 27 hingga 29 Ogos 2026, pihak Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia juga telah mengaturkan beberapa siri lawatan yang berkaitan dengan hal-ehwal sekuriti dan keselamatan untuk delegasi Negara Brunei Darussalam di kota Moscow dan Saint Petersburg.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Jabatan Perdana Menteri

Majlis Berselawat sempena pembukaan Bilik Rambut Mulia Rasulullah

Majlis Berselawat sempena pembukaan Bilik Rambut Mulia Rasulullah

Suasana penuh keberkatan menyelubungi Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) dengan alunan selawat dan dikir sempena Majlis Berselawat bagi menandakan pembukaan Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sama-sama mengimarahkan lagi bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, pagi tadi.

Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dibukakan untuk kunjungan orang ramai selama sebulan, bermula 15 Ogos hingga 12 September 2026.

Hadir selaku tetamu-tetamu khas ke Majlis Berselawat tersebut ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; dan Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu.

Juga hadir selaku tetamu-tetamu khas, Menteri di JPM (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah; dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid serta Ahli-ahli Urus Setia Lembaga Penasihat BKISHHB.

Kehadiran para tetamu khas dialu-alukan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, merangkap Pengarah BKISHHB, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad.

Atur cara dimulakan dengan Sayyidul Istighfar oleh Guru Ugama Tingkat 2, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Awang Muhammad Ayub bin Ali, diikuti dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Nazir Khas, JPI, Awang Haji Abdullah bin Haji Sahat dan seterusnya diikuti dengan bacaan selawat dan dikir beramai-ramai dipimpin oleh pegawai-pegawai dan kakitangan JPI.

Majlis tahunan ini merupakan antara usaha berterusan BKISHHB dalam menyemarakkan bulan kelahiran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping memberi peluang kepada orang ramai untuk mendekati, menghayati dan menghargai salah satu khazanah warisan Islam yang berharga serta dipelihara di institusi berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk mengambil kesempatan berkunjung ke Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta memperbanyakkan selawat ke atas Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai satu bentuk amalan tabaruk, di samping sentiasa memelihara adab dan menunjukkan penuh rasa hormat ketika berada di dalam bilik berkenaan.

Penganjuran majlis tahunan ini mencerminkan komitmen berterusan BKISHHB dalam menyemarakkan bulan Rabiulawal, khususnya dalam memupuk rasa kasih, kecintaan dan penghormatan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping mendekatkan warisan Islam kepada orang ramai melalui pengalaman pendidikan, kerohanian dan kebudayaan yang bermakna.

Selain itu, BKISHHB juga mempelawa kumpulan lelaki atau perempuan dari kementerian-kementerian, masjid-masjid, persatuan-persatuan, institusi-institusi pengajian tinggi dan syarikat-syarikat swasta untuk mengikuti Sesi Berselawat dan Bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sepanjang bulan Rabiulawal 1448 Hijrah di Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermula 15 Ogos hingga 12 September 2026 kecuali Jumaat dan Ahad.

Untuk mendaftar dan membuat tempahan slot, orang ramai boleh menghubungi talian hotline +673 8153264 dan ikuti Instagram rasmi BKISHHB @balaikhazanah.bn atau layari laman sesawang di https://www.bkishhb.gov.bn/.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Jabatan Perdana Menteri

Alunan dikir Maulidur Rasul bergema di Istana Nurul Iman

Alunan dikir Maulidur Rasul bergema di Istana Nurul Iman

Sempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang disambut pada 12 Rabiulawal setiap tahun, Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kini bermula dengan pembukaan Dikir Syarafil Anam di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bagi tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi selama 12 malam berturut-turut mulai malam tadi.

Bagi menghidupkan lagi Sambutan Maulidur Rasul, Majlis Bercorak Keagamaan sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam turut diadakan di Istana Nurul Iman.

Antara yang hadir pada majlis berkenaan, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; dan Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu.

Majlis berkenaan dimulakan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Ghani dan kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar beramai-ramai.

Majlis disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Ashizal bin Zainal Abidin. Manakala tazkirah bertajuk ‘Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui Doa Memohon Barakah Dalam Setiap Rezeki’ disampaikan oleh Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa.

Seterusnya majlis diteruskan dengan Dikir Assalaimualaika dan Asyrakal dari JPM, sementara Dikir Khairuman dari Badan Ugama Islam Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), manakala Ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara pula membawakan Dikir Bisyahrin serta persembahan Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat dibawakan dari Jabatan Pengajian Islam (JPI), Bahagian Sekolah Ugama (Brunei I).

Sementara bagi jemaah perempuan pula, majlis diadakan berasingan di Surau Istana Nurul Iman.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Jabatan Perdana Menteri

JPM adakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Hari Keputeraan KDYMM Ke-80

JPM adakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Hari Keputeraan KDYMM Ke-80

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan dibawahnya petang tadi telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80 tahun, yang bertempat di Masjid Ash-Shaliheen.

Hadir selaku Tetamu-tetamu Kehormat Bersama pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam); Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang); dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran).

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia Haji Md Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, Pegawai Hal Ehwal Masjid Ash-Shaliheen, diikuti dengan Bacaan Surah Yaasin dan Doa Khas Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun. Majlis kemudian diakhiri dengan sembahyang Asar berjemaah.

Majlis ini diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara BruneiDarussalam Yang Ke-80 Tahun dengan hasrat untuk melahirkan tanda kesyukuran atas kepimpinan Baginda dan seterusnya memanjatkan Doa Kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan kekal qarar memerintah Negara dengan berlandaskan Iman dan panduan dari Allah Subahanahu Wa Ta’ala.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Jabatan Perdana Menteri