Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Penerima dikurniakan Bintang-Bintang Kebesaran NBD
15/07/2022




Walaupun Negara Brunei Darussalam masih diselubungi oleh kebimbangan akibat ancaman COVID-19 namun berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang penuh bijaksana dan berjiwa rakyat, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini telah dapat menikmati suasana kehidupan dengan penuh keamanan, ketenteraman, kemakmuran, kestabilan serta kesejahteraan yang berpanjangan.  

Pada tahun ini, alhamdulillah kita selaku rakyat jelata dan penduduk di negara ini dapat menyambut dan meraikan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-76 bagi Tahun 2022 dalam suasana gilang-gemilang. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan baginda Ke-76 Tahun di Istana Nurul Iman. 

Berangkat sama ialah paduka anakanda dan adinda Kebawah DYMM, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah. 

Juga berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam serta ahli-ahli kerabat diraja yang lain. 

Istiadat yang berlangsung penuh adat istiadat di Balai Singgahsana Indera Buana itu bermula dengan pengurniaan titah Kebawah DYMM, diikuti dengan pengurniaan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam kepada 23 orang penerima. 

Kebawah DYMM mula-mula berkenan mengurniakan Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang Darjah Pertama (D.P.K.T) yang membawa gelaran 'Dato Paduka Seri' kepada tiga orang penerima iaitu Panglima Tentara Nasional Indonesia (TNI), Yang Terhormat Jenderal TNI Muhammad Andika Perkasa, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan. 

Diikuti dengan pengurniaan Darjah Pahlawan Negara Brunei Yang Amat Perkasa Darjah Pertama (P.S.P.N.B) yang membawa gelaran 'Dato Seri Pahlawan' kepada tiga orang penerima iaitu Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Awang Sulaiman bin Alidin, Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Brigedier Jeneral Awang Saifulrizal bin Abdul Latif; dan Pemerintah Markas Angkatan Bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Brigedier Jeneral (U) Awang Haji Alirupendi bin Haji Perudin. 

Sementara itu, enam menteri kabinet dikurniakan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Pertama (P.S.N.B) yang membawa gelaran 'Dato Seri Setia' iaitu Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dr. Dayang Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad. 

Baginda seterusnya berkenan mengurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Pertama (S.P.M.B) yang membawa gelaran 'Dato Seri Paduka' kepada enam orang penerima iaitu Peguam Negara, Yang Berhormat Awang Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi, Yang Mulia Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi, Yang Mulia Pengiran Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan. 

Seorang penerima dikurniakan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Kedua (D.S.S.U.B) yang membawa gelaran 'Dato Seri Setia' kepada Penolong Mufti (Ifta), Dr. Awang Haji Dennie bin Haji Abdullah. 

Kebawah DYMM berkenan mengurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Kedua (D.P.M.B) yang membawa gelaran 'Datin Paduka' kepada dua orang penerima terdiri daripada Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei, Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, dan Pengarah Biro Mencegah Rasuah, Dayang Hajah Anifa Rafiza binti Haji Abd Ghani. 

Kemudian diikuti dengan pengurniaan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Amat Bersinar Darjah Ketiga (S.S.U.B) kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Awang Haji Muhammad Bahrin bin Haji Alias. 

Baginda berkenan mengurniakan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Ketiga (S.N.B) kepada Timbalan Setiausaha Tetap Keselamatan, Penguatkuasaan dan Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohd Taib. 

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. 

Turut hadir pada istiadat tersebut ialah tetamu-tetamu khas Kebawah DYMM antaranya Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama Tun Dato Laila Utama Pehin Sri Dr. Haji Abdul Taib Mahmud dan isteri, dan Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong dan Isteri. 

Berangkat dan hadir pada istiadat itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Pengiran-Pengiran Peranakan, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Manteri-Manteri Pedalaman, para perwakilan negara sahabat, Setiausaha-Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto