Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Perutusan takziah di atas kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen Elizabeth II
09/09/2022
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui'zzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan takziah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda King Charles III, King of The United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland, dan kepada Perdana Menteri United Kingdom, Puan Yang Terutama, The Rt. Hon. Elizabeth Truss MP, berikutan dengan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen Elizabeth II. 

Dalam titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta Ahli Kerabat Diraja, Kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam menzahirkan rasa simpati yang amat mendalam berikutan dengan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen Elizabeth II. 

Sepanjang hidup baginda, baginda bukan saja memberi sepenuh penumpuan kepada rakyat British tetapi jua kepada rakyat Komanwel dan akan sentiasa dikenang sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan juga di atas dedikasi yang berterusan terhadap perkhidmatan awam. 

Dalam tempoh tujuh dekad, keberanian dan kepimpinan baginda sebagai Ketua Komanwel menjadi sumber kekaguman, inspirasi dan kebanggaan yang menggalakkan kesepaduan di kalangan negara Komanwel. 

Kebawah DYMM dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha mempunyai kenangan manis semasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen Elizabeth II dan The Duke of Edinburgh membuat lawatan ke Negara Brunei Darussalam pada tahun 1972 dan 1998. 

Baginda berdua menghargai sumbangan peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen Elizabeth II dalam mengukuhkan hubungan yang penting ini. 

Kebawah DYMM masih ingat pertemuan terakhir dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Queen Elizabeth II semasa The Queen's Commonwealth Dinner di Buckingham Palace pada tahun 2018, di mana Kebawah DYMM sangat menghargai kemesraan baginda. 

Pertemuan ini mempamerkan keistimewaan dan hubungan erat yang sedia terjalin di antara United Kingdom dan Negara Brunei Darussalam. 

Bagi mengakhiri perutusan berkenaan, sekali lagi Kebawah DYMM dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan juga Ahli Kerabat Diraja, Kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam menzahirkan takziah yang amat mendalam kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda King Charles III, dan seluruh ahli Kerabat Diraja dalam tempoh kehilangan besar ini.​

Sumber berita Pelita Brunei