Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
DPMM FC tundukkan Indera SC, 5-1
22/10/2022
dpmm_221022.jpg 

DPMM FC menang bergaya setelah berjaya menewaskan Indera SC dengan keputusan 5 - 1 pada perlawanan Suku Akhir Piala FA Brunei 2022 yang berlangsung di Mini Stadium Jerudong Park, di sini. 

Berkenan berangkat menyaksikan perlawanan berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman. 

Berangkat sama, anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman. 

Pada perlawanan berkenaan, dua adik-beradik daripada pemain DPMM FC, iaitu Muhammad Shahrazen Said dan Muhammad Hakeme Yazid Said muncul wira bagi pasukan berkenaan setelah masing-masing berjaya menjaringkan dua gol, sementara Muhammad Hanif@ Abdul Hadi Hamir pula menjaringkan satu gol pada perlawanan berkenaan. 

Manakala, gol sulung bagi Indera SC dijaringkan oleh Mohammad Aimmil Rahman Ramlee. 

Pada babak pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun Indera SC berjaya membolosi gawang DPMM FC setelah Mohammad Aimmil Rahman Ramlee berjaya menjaringkan gol buat pasukannya menerusi sepakan percuma yang menewaskan Mohammad Haimie Abdullah Nyaring dengan sepakan dari sisi kiri gawang pada minit ke-9. 

Setelah didahului dengan jaringan mata 1 - 0, DPMM FC seterusnya dengan bijak mengawal permainan dan melakukan serangan demi serangan, hampir sahaja berjaya menjaringkan gol menerusi Muhammad Hakeme Yazid Said pada minit ke-23. 

Namun pada minit ke-25 pula, Muhammad Shahrazen Said kemudiannya berjaya menyamai jaringan bagi DPMM FC setelah menanduk masuk bola ke gawang Indera SC susulan hantaran lintang daripada sayap kiri pemain DPMM FC. 

Pada separuh masa kedua pula menyaksikan DPMM FC terus mengawal permainan dengan bijak dan berjaya menjaringkan gol menerusi Muhammad Hakeme Yazid Said pada minit ke-55. 

Sementara, Muhammad Hanif@ Abdul Hadi Hamir seterusnya menambah lagi derita Indera SC setelah berjaya menewaskan penjaga gawang, Mohammad Ahsanuddin Haji Mohd Dani menjadikan keputusan DPMM FC tiga dan Indera SC satu. 

Muhammad Shahrazen Said dan Muhammad Hakeme Yazid Said masing-masing terus menggandakan jaringan mereka pada perlawanan berkenaan pada minit ke-84 dan ke-85 sekali gus menjadikan jaringan mata 5 - 1 berpihak kepada DPMM FC. 

Jaringan mata kekal 5 - 1 hingga pengadil meniupkan wisel penamat. 

Pada perlawanan lain, Kasuka FC membelasah Panchor Murai FC dengan jaringan 9 - 0.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto