Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Tingkat pemedulian, kasih sayang terhadap anak yatim
14/12/2022

jpm_141222.jpg

Pelancaran 'SMS' Brunei Prihatin bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim (DANA) dihasrat akan dapat meningkatkan rasa pemedulian dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat terhadap anak-anak yatim. 

Sehubungan itu, Majlis Pelancaran 'SMS' Brunei Prihatin Bagi DANA Tahun 2022-2023 dan Penyampaian Sumbangan DANA Kepada Anak-anak Yatim di seluruh negara dalam Bentuk Kupon Untuk Pembelian Peralatan dan Keperluan Persekolahan Anak-anak Yatim DANA bagi Sesi Persekolahan Tahun 2023 berlangsung pagi tadi di Dewan Serbaguna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), di sini. 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA. 

Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah DANA. 

Projek tersebut merupakan salah satu usaha DANA dalam mempelbagaikan cara atau mekanisme yang mudah untuk orang ramai menyalurkan sumbangan ikhlas mereka khusus kepada anak-anak yatim di negara ini. 

Projek 'SMS' Brunei Prihatin bagi DANA 2022-2023 akan berjalan selama sembilan bulan iaitu bermula pada hari ini, 14 Disember 2022 hingga 14 September 2023. 

Bagi menjayakan 'SMS' Brunei Prihatin bagi DANA, tiga buah syarikat telekomunikasi telah bersedia memberi kemudahan perkhidmatan 'SMS' iaitu DST, Syarikat Progresif Sdn Bhd dan Syarikat Imagine Sdn Bhd. 

Orang ramai yang berhasrat untuk membuat sumbangan mereka kepada anak-anak yatim melalui SMS Brunei Prihatin bagi DANA bolehlah memberi sumbangan melalui 'SMS' sama ada BND100 atau BND50 atau BND20 atau BND15 atau BND10 atau BND5 atau BND1. 

Setiap 'SMS' yang dikirim khusus bagi sumbangan ini tidak akan dikenakan sebarang caj perkhidmatan oleh ketiga-tiga syarikat telekomunikasi berkenaan. 

Bagi orang ramai yang ingin membuat sumbangan, bolehlah menaip kata laluan DANA dan diikuti dengan jumlah sumbangan (100 atau 50 atau 20 atau 15 atau 10 atau 5 atau 1) tanpa jarak dan menghantarnya ke nombor 38111 bagi pengguna talian DST dan Progresif, atau 39999 bagi pengguna talian Imagine. Misalnya: DANA10 (bagi sumbangan BND10). 

Dalam membantu mempromosikan 'SMS' Brunei Prihatin bagi DANA Tahun 2022-2023, satu video promo telah diterbitkan dan akan ditayangkan di Radio Televisyen Brunei dan di pawagam-pawagam yang terlibat iaitu The Mall Cineplex, Times Cineplex dan Aman Hills Cineplex. 

Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian sumbangan kepada DANA daripada Jawatankuasa Kerja Projek Bantuan Sosio Ekonomi Sukarelawan Yayasan berjumlah BND2,009 iaitu hasil kutipan daripada Aktiviti 'Fun-Fair' semasa acara 'Hari Bekarih Yayasan'. 

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Projek Bantuan Sosio Ekonomi Sukarelawan YSHHB, Dayang Hajah Nurul Amal Akmalina binti Haji Talip kepada tetamu kehormat. 

Juga hadir, para pegawai kanan kerajaan; pegawai-pegawai kanan YSHHB dan pegawai-pegawai kanan dari DST, Syarikat Progresif Sdn Bhd dan Syarikat Imagine Sdn Bhd.​

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto