Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Istiadat Bersuruh Diraja mulakan Istiadat Perkahwinan Diraja
08/01/2023

hm_080123.jpg

Negara Brunei Darussalam mencatatkan lagi satu peristiwa bersejarah di mana Istiadat Perkahwinan Diraja di antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah bermula hari ini dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja.

Sebagaimana yang lazimnya sejak turun-temurun, Majlis Istiadat Bersuruh Diraja berlangsung dengan penuh adat istiadat yang melambangkan keunikan, keindahan dan kegemilangan Adat Istiadat Diraja.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Bersuruh Diraja yang berlangsung di Balai Persantapan, Istana Nurul Iman.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Majlis Istiadat Bersuruh Diraja di Istana Nurul Iman bermula dengan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Awang Mohd. Yusof menjunjung anugeraha kepada Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar untuk mengadap ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan menyembahkan bahawa Majlis Istiadat Bersuruh Diraja telah siap sedia.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya menitahkan supaya istiadat dimulakan.

Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim bin Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr.) Kemaludin Al-Haj menjunjung anugeraha dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berdatang sembah ke hadapan majlis Kebawah DYMM.

Kebawah DYMM bertitah menyambut baik hasrat dan mengalu-alukan kedatangan rombongan Pengantin Diraja Lelaki.

DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah menyembahkan menjunjung kasih di atas kurnia titah perkenan Kebawah DYMM itu dan mendoakan kebahagiaan buat Kebawah DYMM dan kerabat diraja yang lain.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bahawa Majlis Istiadat Bersuruh Diraja telah sempurna dilaksanakan. Kemudian Kebawah DYMM seterusnya menitahkan supaya majlis berkenaan ditutup.

Berangkat dan hadir pada Majlis Istiadat Bersuruh Diraja, YAM Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis-Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Pengiran-Pengiran Peranakan, Pehin-Pehin Manteri, Manteri-Manteri Hulubalang dan Manteri-Manteri Pedalaman, Duta-Duta, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan ketua-ketua jabatan serta para jemputan.

Terdahulu, Majlis Istiadat Bersuruh Diraja yang berlangsung di Assana', Jerudong bermula dengan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jaafar bin Haji Abdul Aziz menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim untuk mengadap dan menyembahkan ke hadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah bahawa Majlis Istiadat Bersuruh Diraja telah siap sedia.

Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jaafar menyembahkan sabda yang dijunjungnya kepada YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim di Dewan Bankuet Assana'.

Selepas itu, bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar sebelum rombongan Istiadat Bersuruh Diraja Lelaki untuk menuju ke Istana Nurul Iman.

Rombongan Bersuruh Diraja dikepalai oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan diiringi oleh YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim, Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong dan Yang Amat Mulia Pengiran Ratna Wijaya Brigadier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan bin Pengiran Ahmad berangkat ke Istana Nurul Iman.

Setelah selesai rombongan Bersuruh Diraja di Istana Nurul Iman, rombongan Istiadat Bersuruh Diraja bagi Pengantin Diraja Lelaki yang dikepalai oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah kemudiannya berangkat kembali ke Assana'.

Sekali lagi Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jaafar menyembahkan kepada YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim yang Majlis Istiadat Bersuruh Diraja sempurna dilaksanakan dan YAM kemudian menyabdakan supaya majlis istiadat ditutup.​

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto