Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Perkukuh kerjasama keselamatan, keamanan melalui dialog

mjpm_191023.jpg

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Forum Seoul Defense Dialogue (SDD 2023) dan pameran Seoul International Aerospace and Defense Exhibition (ADEX) yang diadakan pada 17 hingga 22 Oktober 2023 di Seoul, Republik Korea. 

Duta Besar Istimewa dan Multak NBD ke Republik Korea, Puan Yang Terutama Pengiran Hajah Nooriyah binti Pengiran Lela Wijaya Pengiran Haji Yussof turut hadir di SDD 2023. 

SDD 2023 yang merupakan forum kali ke-12 pada tahun ini diadakan membawakan tema 'Kerjasama Untuk Keamanan dan Kemakmuran' bertujuan untuk menggalakkan kerjasama demi keselamatan dan keamanan melalui dialog dan membina kepercayaan ketenteraan di Asia Pasifik, termasuk di Semenanjung Korea. 

SDD pada tahun ini dirasmikan oleh Menteri Pertahanan Nasional, Kementerian Pertahanan Nasional, Republik Korea, Tuan Yang Terutama Shin Won-Sik. 

Manakala, ucaptama pembukaan disampaikan oleh mantan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tuan Yang Terutama Ban Ki Moon. 

SDD merupakan platform dialog keselamatan pelbagai hala peringkat tertinggi di rantau ini yang dihoskan oleh Kementerian Pertahanan Nasional, Republik Korea dan pengulangan pada tahun ini peringkat tinggi kehadiran peserta diangkat ke peringkat menteri dan menyaksikan tiga Sesi Plenari dan empat Sesi Khas disampaikan oleh para pegawai peringkat tinggi dan pakar keselamatan awam, yang membincangkan isu keselamatan antarabangsa semasa di dalam dan luar rantau Asia Pasifik, keselamatan siber, keselamatan maritim, pengurusan pertahanan negara dan industri pertahanan. 

Di samping SDD 2023, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II juga berkesempatan mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawat dari negara tuan rumah, Australia, Malaysia dan Singapura. 

SDD 2023 diadakan serentak dengan Seoul ADEX 2023, iaitu pameran aeroangkasa dan pertahanan yang besar di Asia bagi peminat penerbangan, para profesional aeroangkasa, kakitangan pertahanan utama serta orang ramai. 

Seoul ADEX diadakan setiap dua tahun sejak 2009 di Seoul, Korea Selatan, disertai oleh lebih 550 peserta pameran daripada 26 negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Australia, Singapura, Malaysia dan Korea Selatan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​​​​



Attachments