Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Hubungan dua hala Brunei - Republik Singapura terus diperkukuhkan
19/01/2023

hm_190123.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini berkenan menerima mengadap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong.

Semasa Majlis Mengadap ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Tuan Yang Terutama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura antara lainnya, membincangkan mengenai hubungan dua hala yang kukuh di antara kedua-dua buah negara terutamanya dalam bidang pertahanan dan Currency Interchangeability Agreement; penempatan pegawai-pegawai Kerajaan Negara Brunei Darussalam di Singapura di bawah Memorandum of Understanding (MoU) on Public Service Capacity Development yang ditandatangani semasa Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Singapura pada 24 Ogos 2022; serta Program Pemimpin Muda (Young Leaders' Programme - YLP) yang ke-9 yang akan dihoskan oleh Negara Brunei Darussalam (NBD). 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menzahirkan penghargaan terhadap hubungan akrab bersama Republik Singapura, yang mana Singapura telah menghulurkan bantuan semasa pandemik COVID-19. 

Menyertai Tuan Yang Terutama pada Majlis Mengadap tersebut ialah Menteri Luar Negeri, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr. Vivian Balakrishnan; dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke NBD, Tuan Yang Terutama Heng Aik Yeow. 

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; dan Timbalan Menteri di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos. 

Tuan Yang Terutama Lawrence Wong dan rombongan berada di negara ini adalah bagi Lawatan Rasmi selama dua hari.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto