Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
64 Pegawai Kadet Pengambilan Ke-21 ditauliahkan
26/01/2023

hm_260123.jpg

Seramai 64 orang Pegawai Kadet Pengambilan Ke-21, iaitu 45 Pegawai Kadet lelaki; dan 19 Pegawai Kadet wanita hari ini ditauliahkan dengan seramai 31 orang daripada Pegawai Kadet berkenaan ditauliahkan sebagai Pegawai Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), 14 orang Pegawai Kadet ditauliahkan sebagai Pegawai Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan 19 orang Pegawai Kadet pula ditauliahkan sebagai Pegawai Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB). 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat ke Upacara Sovereign's Parade bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan Ke-21, Sekolah Pegawai Kadet yang berlangsung di Padang Kawad Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (AP ABDB), Kampung Tanah Jambu, di sini. 

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen. 

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Mulia Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abd. Kadir; dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan. 

Sejurus itu, Kebawah DYMM berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan seterusnya memeriksa pasukan perbarisan di bawah perintah Pegawai Perbarisan, 1273 Kapten (Udara) Muhd. Shah Redzuan bin Haji Mat Serudin. 

Ini disusuli dengan acara perbarisan berjalan lalu oleh para Pegawai Kadet. 

Kebawah DYMM kemudian berkenan mengurniakan titah dan seterusnya mengurniakan Anugerah-anugerah bagi para Pegawai Kadet Terbaik Pengambilan Ke-21, iaitu Anugerah Pedang Kehormatan; Anugerah Terbaik Akademik; Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera; dan Anugerah Terbaik Ketahanan Latihan Jasmani. 

Penganugerahan didahului dengan Anugerah Pedang Kehormatan kepada Pegawai Kadet Awang Muhd. Asyraf bin Haji Awang Amin, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dari Universiti London South Bank, United Kingdom. 

Anugerah Pedang Kehormatan merupakan anugerah penghormatan tertinggi yang dikurniakan oleh baginda kepada Pegawai Kadet, dan ia merupakan simbol kecemerlangan terbaik secara keseluruhan bagi Pegawai Kadet yang mempunyai pencapaian tertinggi di dalam latihan asas ketenteraan, akademik, fizikal dan dalam semua aspek kepimpinan. 

Kebawah DYMM seterusnya mengurniakan Anugerah Terbaik Akademik kepada Pegawai Kadet (Laut) Wan Afifi bin Wan Ali, TLDB, yang berkelulusan Sarjana dalam Logistik dari Universiti Brunei Darussalam (UBD). 

Beliau dikurniakan anugerah berkenaan berdasarkan kepada keputusan keseluruhan akademik terbaik di sepanjang latihan dijalankan. 

Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera pula dikurniakan kepada Pegawai Kadet Mohammad Norhafiz bin Mohd Sani, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Shariah (Fiqh & Judiciary) dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali. 

Pengurniaan anugerah berkenaan adalah berdasarkan kepada kejayaan beliau mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran kemahiran tentera. 

Manakala Pegawai Kadet (Udara) Haji Mohammad Nasrullah bin Haji Mohammad Hidin yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Matematik dari UBD pula menerima Anugerah Terbaik Ketahanan Latihan Jasmani, sebagai pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang Pegawai Kadet berkenaan dalam latihan jasmani. 

Selesai pengurniaan anugerah-anugerah berkenaan, sembah 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' dilaungkan sebanyak tiga kali oleh pasukan perbarisan, diikuti dengan bacaan doa oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, TLDB. 

Kebawah DYMM kemudiannya menerima pesambah yang bertemakan 'Nahwa Attafawuq' yang membawa maksud 'Ke Arah Kecemerlangan'. 

Nahwa Attafawuq (Ke Arah Kecemerlangan) mengilustrasikan dua unsur penting, iaitu jati diri bangsa dan sifat kepimpinan dalam ABDB. 

Ukiran 'aing' mulih yang mengelilingi model berkenaan menjadi identiti kebruneian bagi anggota ABDB. Manakala, Islam merupakan agama rasmi negara yang dimanifestasikan melalui karya seni berbentuk pentagon yang menunjukkan lima prinsip Maqasid Syariah yang menjadi garis panduan dalam kepimpinan ABDB. 

Nilai teras setia, takwa dan berani juga ditanam dan disemai dalam diri Pegawai Kadet Pengambilan Ke-21 semasa menjalankan latihan di Sekolah Pegawai Kadet. Anak tangga melambangkan pelbagai langkah Pegawai Kadet yang asalnya merupakan seorang awam menjadi seorang anggota tentera yang terlatih. 

Sementara di atas anak tangga terdapat tiga bilah pedang pegawai dari tiga unit, iaitu Tentera Darat; Tentera Laut; dan Tentera Udara yang menghala ke bawah merupakan simbol kesediaan seorang pegawai tentera selaku pemimpin dalam mempertahankan kedaulatan Negara Brunei Darussalam. 

Pedang-pedang yang dikelilingi kaca melambangkan sifat telus dalam menyampaikan dan menyempurnakan arahan serta matlamat organisasi menurut pelbagai nilai teras Sekolah Pegawai Kadet. 

Baginda seterusnya berkenan beramah mesra dan menerima junjung ziarah daripada para Pegawai Kadet yang baharu ditauliahkan berserta keluarga masing-masing sebelum baginda dijunjung bagi sesi bergambar ramai. 

Upacara Sovereign's Parade berkenaan merupakan acara kemuncak latihan ketenteraan intensif yang berprestij bagi Sekolah Pegawai Kadet ABDB dalam melengkapkan pegawai yang baharu ditauliahkan dengan ilmu pengetahuan, kepercayaan, disiplin, profesionalisme dan kemahiran kepimpinan. 

Latihan Pegawai Kadet Pengambilan Ke-21 dijalankan selama 48 minggu yang bermula pada 14 Februari 2022 yang melibatkan pelbagai latihan dan aktiviti ketenteraan khusus untuk meningkatkan kualiti kepimpinan, perwatakan dan intelek sepertimana yang dikehendaki bagi setiap pegawai ABDB.​

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto