Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Hampir 80,000 pokok berjaya ditanam
19/03/2023

mjpm_190323.jpg

Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei (BNCCP) dilancarkan pada tahun 2020 dengan menggariskan strategi utama dalam menangani isu perubahan iklim. 

Strategi 2 Dasar yang memberi tumpuan kepada Litupan Hutan bertujuan untuk meningkatkan penyerapan karbon Negara Brunei Darussalam melalui program penanaman semula hutan dan penghutanan semula dengan sasaran menanam 500,000 pokok baharu menjelang 2035. 

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah semasa Acara Penanaman Pokok bertempat di Taman Riadah, Jalan Pusat Persidangan, di sini. 

Sejak pelancaran BNCCP tambah Yang Berhormat, hampir 80,000 pokok telah berjaya ditanam yang menunjukkan usaha kerajaan untuk memelihara dan mengembangkan litupan hutan untuk mengurangkan pelepasan karbon, mengekalkan biodiversiti, dan menggalakkan pembangunan mampan. 

“Pokok memberikan kita sumber tenaga boleh diperbaharui dalam bentuk biojisim, dan teduhan untuk penyejukan, menggalakkan penjimatan tenaga dan peluang ekonomi. 

“Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam dikurniakan dengan hutan hujan yang subur yang menjadi rumah kepada kekayaan sumber asli yang boleh menyumbang kepada ekonomi kita. 

“Pokok adalah aset berharga dalam usaha kita menentang perubahan iklim. Ia juga boleh menjana kredit karbon, oleh itu memberikan insentif ekonomi untuk kita melabur secara bertanggungjawab dalam amalan mampan pengurusan hutan," ujar Yang Berhormat lagi. 

Yang Berhormat seterusnya berkata, dengan memelihara dan mengembangkan litupan hutan, kita menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan planet kita, negara kita, dan generasi akan datang. 

Yang Berhormat turut menggesa agar kita semua terus menerima inisiatif ini dan berganding bahu dalam usaha menangani isu perubahan iklim dan menggalakkan kemampanan bagi Negara Brunei Darussalam yang rendah karbon dan berdaya tahan iklim. 

Terdahulu itu, Pengurus Am UOB Asset Management Brunei (UOBAM Brunei), Awang Kamal bin Haji Muhammad berkata, UOBAM Brunei menghargai kepentingan meningkatkan kesedaran masyarakat dalam ruang kelestarian. 

Bersama-sama dengan Green Brunei tambahnya, UOBAM berhasrat untuk mengukuhkan kerjasama dalam kalangan pemain industri di negara ini dan menyokong persekitaran yang mampan untuk masa depan yang lebih baik. 

Acara tersebut menurutnya, juga menandakan salah satu usaha kami dalam pemeliharaan alam sekitar. 

Dianjurkan bersama UOBAM Brunei dengan Green Brunei, acara tersebut turut disokong Sekretariat Perubahan Iklim Brunei, yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang isu perubahan iklim dan menggalakkan pemuliharaan alam sekitar. 

Lebih 100 wakil daripada 19 organisasi, termasuk Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Agensi Pelaburan Brunei dan Perbadanan TAIB berkumpul untuk menanam 63 anak pokok 'Bucida Molineti' daripada jenis 'Combretum'. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Heng Aik Yeow; dan Setiausaha Tetap, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto