Slogan Bulanan
“Kesihatan Bangsa, Amanah Bersama Untuk Masa Depan Negara”
“Kesihatan Bangsa, Amanah Bersama Untuk Masa Depan Negara”
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-15
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
PADA HARI KHAMIS
26 SAFAR 1447 / 21 OGOS 2025
BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala Kerana dengan izin dan limpah rahmatNya jua dapatlah kita sekali lagi bersama-sama hadir dalam Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-15, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.
Beta dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan yang diraikan atas kejayaan mereka, yang bukan sahaja mencerminkan ketekunan dan kesungguhan, malah juga membawa harapan besar bagi generasi pelapis yang akan menerajui kepimpinan negara. Beta juga merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada para ibu bapa dan para penjaga yang menjadi tunggak di sebalik pencapaian hari ini. Seterusnya kepada para pensyarah yang telah sama-sama berusaha untuk memastikan para graduan dapat bersama meraikan kejayaan mereka pada hari ini.
Pada tahun ini genaplah 15 tahun UNISSA melahirkan graduannya. Dalam meniti kedewasaan ini Beta melihat UNISSA bukan sekadar gedung untuk belajar ilmu ugama tetapi berperanan penting menjadi sebuah gedung ilmu yang inklusif, dalam maksud ianya terbuka kepada kepelbagaian idea dan pendekatan baharu, namun dalam masa yang sama tetap berpasakkan nilai-nilai Islam. Beta berharap UNISSA akan dapat melangkah kehadapan menjadi pelopor pengajian tinggi Islam yang holistik dalam era digital ini.
Era digital hari ini menjadikan dunia bergerak pantas. Oleh itu, UNISSA tidak boleh hanya jadi penonton dan berdiri di tepi arus perubahan yang pesat, tetapi sebaliknya perlu tampil menjadi pemain aktif yang responsif dan proaktif. Mungkin sudah tiba masanya bagi UNISSA untuk menilai semula pendekatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran, memperbaharui kurikulum, serta meningkatkan keupayaan literasi digital terkini dalam kalangan pelajar dan tenaga akademik. Beta percaya penguasaan terhadap teknologi pada hari ini bukan lagi satu pilihan, bahkan keperluan untuk kelangsungan dan kecemerlangan institusi pengajian tinggi Islam seperti UNISSA.
Bidang-bidang ilmu tradisional seperti tafsir, hadits, fiqh masih saja mempunyai ruang yang sangat luas untuk diteroka semula dengan pendekatan yang lebih segar, khususnya apabila dihubungkan dengan teknologi digital. Di samping itu, UNISSA juga boleh menawarkan program micro-credential bersifat sepanjang hayat (Lifelong Learning) yang kandungan kurikulumnya adalah gabungan tradisional dan kontemporari.
Seiring dengan itu, aspek Penyelidikan dan Pembangunan adalah mustahak diberi keutamaan. Ia adalah teras utama kepada kecemerlangan sebuah universiti. UNISSA perlu memacu budaya penyelidikan berimpak tinggi, iaitu penyelidikan yang tidak hanya tertumpu kepada akademik semata-mata, tetapi juga yang berkait rapat dengan isu-isu semasa, cabaran masyarakat, serta pembangunan dasar dan penyelesaian kepada permasalahan sebenar. Sebagai contoh ialah penyelidikan dalam bidang halal dan sains makanan. UNISSA boleh menerajui penyelidikan yang berkaitan dengan teknologi pengesanan halal dan kajian piawaian halal serantau yang boleh memberi impak positif kepada integrasi sistem jaminan halal. Di samping itu, penyelidikan di dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam yang digandingkan dengan teknologi moden juga amat diperlukan. Ini adalah bagi merangka penyelesaian untuk membantu golongan kurang berkemampuan untuk meningkatkan tahap sara diri dan kesejahteraan ekonomi keluarga, agar mereka ini tidak terus tercicir daripada pembangunan arus perdana.
Beta juga ingin melihat kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, dan pihak industri diperkasa dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan. Usaha ini boleh dijayakan melalui geran kolaboratif dan perkongsian pakar.
Dengan gabungan yang kuat seperti ini, UNISSA setentunya akan dapat memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai pusat ilmu yang unggul dan diiktiraf di peringkat serantau dan global.
Akhirnya, Beta merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang terdiri daripada Ahli-Ahli Majlis, Senat, Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, tenaga akademik dan seluruh pegawai serta kakitangan UNISSA atas segala sumbangan dan penglibatan mereka dalam menjayakan Majlis Haflut Takharruj Ke-15 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan membalas dengan ganjaran berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
BERSEMPENA
SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAAN
KALI KE-20, 2025
TEMA: ‘BELIA SIAGA MASA DEPAN’
PADA HARI SABTU
22 SAFAR 1447 / 16 OGOS 2025
BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya kerana dapat bersama-sama menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan Kali ke-20 pada pagi ini.
Generasi belia masa kini memiliki semangat dan potensi kepimpinan yang tinggi. Transformasi positif yang ditunjukkan oleh golongan belia memberi gambaran jelas bahawa mereka sanggup menggalas tanggungjawab yang berat selaku pemimpin. Perkara ini penting dalam merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Kerajaan Beta sentiasa komited dalam memperkasa belia dan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk mereka berkembang.
Bagi mencapai Wawasan Brunei 2035 yang semakin mendekat, para belia turut memainkan peranan penting sebagai Pemacu Transformasi Ekonomi. Beta gembira melihat terdapatnya perubahan ‘mindset’ di kalangan belia dimana belia sekarang sudah berani beralih dari pencari kerja kepada pencipta peluang pekerjaan, dengan meneroka bidang keusahawanan dan perniagaan.
Dalam Bidang Keusahawanan, Beta sedia menyedari bahawa antara cabaran utama yang dihadapi ialah kesukaran mendapatkan pinjaman kewangan (access to funding) bagi memulakan perniagaan. Situasi ini lebih dirasakan oleh golongan belia yang tidak mempunyai rekod prestasi perniagaan dan sumber cagaran (collateral).
Maka kearah ini, Beta sukacita memaklumkan bahawa satu skim pembiayaan mikro patuh-syarak telah diwujudkan, khusus bagi usahawan belia, hasil kolaborasi strategik di antara Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dan Bank Usahawan Berhad. Skim ini dinamakan ‘BizBelia’ dan memberikan peluang kepada pengusaha-pengusaha belia tempatan untuk mendapatkan sumber kewangan daripada institusi kewangan tempatan. Inisiatif ini diharapkan akan dapat merangsang pertumbuhan dan perkembangan perusahaan belia tempatan dan menjadi teladan kepada institusi-institusi kewangan lain ke arah memudah cara penglibatan lebih ramai para usahawan belia.
Beta menaruh harapan yang tinggi bagi inisiatif ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan belia di negara ini dalam sama-sama meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Beta turut menaruh keyakinan dengan adanya bimbingan serta dokongan yang padu dari pihak-pihak yang berkenaan, para usahawan belia kita akan mampu menyerlah bukan saja di peringkat kebangsaan malah peringkat antarabangsa.
Namun dalam masa yang sama, Beta turut menzahirkan kebimbangan terhadap Eksploitasi Golongan Belia oleh sindiket-sindiket jenayah yang menawarkan ganjaran lumayan. Beta difahamkan adanya penglibatan beberapa belia tempatan dalam kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan yang didalangi oleh kumpulan pengedaran dadah antarabangsa. Beta juga amat prihatin akan perkembangan di negara jiran di mana terdapat sebilangan golongan belia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.
Gejala ini bukan sahaja mengancam masa depan belia tetapi juga keselamatan dan keharmonian masyarakat. Usaha membanteras sindiket berkenaan wajar diperkukuh melalui pendekatan menyeluruh, meliputi pendidikan serta kesedaran, penguatkuasaan undang-undang, dan sokongan para komuniti.
Para belia sendiri wajar diseru untuk memperkukuh jati diri melalui ilmu ugama serta nilai Melayu Islam Beraja demi mempertahankan masa depan yang cemerlang dan bermartabat.
Belia juga wajar diseru supaya sedia bekerjasama dengan semua golongan masyarakat termasuk warga emas demi sama-sama mencorakkan masa depan negara yang harmoni.
Akhirnya, bersempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ini, Beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini atas komitmen mereka untuk sama-sama membangun dan memajukan negara.
Beta amat menghargai segala usaha dan sumbangan golongan belia dalam pelbagai bidang. Sesungguhnya, belia adalah tonggak harapan bagi masa depan yang gemilang.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***

His Royal Highness Prince Haji Al-Muhtadee Billah ibni His Majesty Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, the Crown Prince and Senior Minister at the Prime Minister’s Office, and Her Royal Highness Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab-Rahaman watched the Malaysia FA Cup 2025 match between DPMM FC and Kuching City FC.
Also present were His Royal Highness’ brother and children, His Royal Highness Prince ‘Abdul Malik; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman; and Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa‘ Raihaanul Bolkiah. The match was held at the Hassanal Bolkiah National Stadium in Berakas, 16th August night.
Upon arrival, His Royal Highness and Her Royal Highness were greeted by Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Minister of Culture, Youth and Sports. In the match, the national team recorded a 3-2 victory over Kuching City FC. DPMM FC will continue its Malaysia Super League campaign with a home game against Terengganu FC on the 22nd of August at the Hassanal Bolkiah National Stadium.
News courtesy of Radio Television Brunei
Photo courtesy of InfoFoto
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-37
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM (UBD)
PADA HARI RABU
19 SAFAR 1447 / 13 OGOS 2025
BERTEMPAT
DEWAN CANSELOR
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-37 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.
Beta dengan ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Kejayaan ini tidak datang bergolek, sebaliknya hasil dari usaha para graduan dan sokongan padu para ibu bapa dan penjaga di sepanjang tempoh pengajian di UBD.
Semenjak penubuhannya pada tahun 1985, UBD telah berdiri teguh sebagai tunggak pendidikan tinggi negara, melahirkan ribuan para graduan dan telah meneroka pelbagai penemuan ilmu baharu.
Ulang tahun UBD Ke-40 ini mencerminkan komitmen berterusan dalam pembangunan pendidikan negara. Pada setiap tahun, UBD terus berjaya melahirkan graduan yang relevan, berdaya saing dan berkualiti. Maka sehubungan itu, Beta ingin menyeru supaya Institusi Pengajian Tinggi di negara ini terus melangkah kehadapan menjana kapasiti tenaga intelek yang lebih matang, khusus dalam bidang penyelidikan.
Beta berharap, nilai-nilai Islam serta warisan bangsa akan terus menjadi paksi kepada arah tuju UBD. Sesungguhnya kekuatan UBD tidak hanya terletak pada nama atau gagasannya, tetapi lebih utama ialah semangat dan sumbangannya kepada negara mesti berkekalan. Jika ini ada dan terus menyerlah, maka itulah tanda UBD berkualiti.
Beta ingin melihat UBD akan terus mendekati masyarakat, suka mendengar suara mereka dan memahami keperluan bersama. Sesungguhnya sebuah universiti yang hebat bukan hanya pandai mencipta nama tetapi juga tumbuh bersama masyarakat dan mampu pula menyesuaikan diri dengan arus perubahan.
Menyentuh komuniti pelajar, Beta juga mengambil maklum akan usaha UBD memperkenalkan kurikulum baharu bagi memperkukuhkan lagi pembangunan graduan cemerlang iaitu individu yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran. Kurikulum baharu yang dipanggil ‘GenBESTARI’ yang akan mula dilaksanakan pada September 2026 adalah merupakan satu langkah penting, dengan penekanan yang lebih seimbang antara pencapaian akademik dan pembangunan kemahiran insan atau soft skills. Dalam era yang semakin dipengaruhi oleh kecerdasan buatan (A.I), kemahiran seperti kepimpinan, komunikasi, pemikiran kritikal dan kebolehsuaian adalah menjadi kunci utama kepada peningkatan daya saing dan kebolehpasaran graduan.
Alhamdulillah, Beta juga gembira mengetahui penubuhan ‘UBD Sustainability Living Lab’ yang merupakan platform inovatif yang strategik dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh masyarakat dan industri. Beta yakin inisiatif seperti ini akan memperkukuhkan lagi UBD sebagai hab ilmu dan rujukan utama dalam bidang penyelidikan dan pengetahuan, serta menjadikan UBD kekal relevan bagi keperluan masyarakat dan industri.
Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan. Teruslah menimba ilmu, meningkatkan kemahiran diri, dan mengembangkan potensi, demi masa depan negara yang kita cintai ini. Berpegang teguhlah kepada Aqidah Ahli Sunnah Wal-jamaah agar setiap usaha dan jerih payah kita akan mendapat berkat serta rahmat daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Inilah kunci kejayaan hakiki, bagi dunia dan akhirat.
Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga UBD, baik yang masih berkhidmat atau yang telah bersara, yang merangkumi para Ahli Majlis, Ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai, kakitangan, pelajar, alumni dan rakan strategik atas segala sumbangan mereka kepada UBD selama 40 tahun ini. Semoga segala usaha mereka akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Beta mendoakan UBD akan terus maju jaya sebagai institusi ilmu yang digalati.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***