Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1448H/2026M

Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1448H/2026M

Bagi menyemarakkan sambutan Tahun Baru Hijrah 1448, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan-Jabatan dibawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1448 dengan tema “Hijrah Penyelamat Aqidah”. Majlis ini diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri.

Hadir selaku Tetamu Khas Bersama ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang); dan Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran).

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Jemputan Khas, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, Pegawai Hal Ehwal Masjid Ash-Shaliheen.

Majlis diteruskan dengan memperdengarkan bacaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran dan intisari oleh Siswa Diploma Tertinggi Aliyah Qiraat Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yusuf Haikal bin Mohammad Hashim dan Ahmad Darwish bin Hamdan.

Majlis turut disemarakkan dengan Ceramah Khas bertajuk “Hijrah Penyelamat Aqidah”, yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Yang Mulia Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang.

Seterusnya, majlis disempurnakan dengan Selawat Tafrijiyyah dan Selawat Asy-Syifa yang dipimpin oleh pegawai dan kakitangan dari Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis pada tahun ini dipengerusikan oleh Pusat Pengurusan Keselamatan Kebangsaan, Sekuriti dan Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan dikendalikan bersama Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Ianya merupakan salah satu aktiviti tahunan JPM untuk memuliakan acara-acara kebesaran Islam, di samping mengeratkan hubungan silaturahim di antara pegawai-pegawai dan kakitangan.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

DPMM Menerima Mengadap Ketua-Ketua Perwakilan Asing Yang Menamatkan  Perkhidmatan

DPMM Menerima Mengadap Ketua-Ketua Perwakilan Asing Yang Menamatkan  Perkhidmatan

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, pagi ini berkenan menerima mengadap secara berasingan Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam; Puan Yang Terutama Caryn R. McClelland, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam; dan Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Viet Nam ke Negara Brunei Darussalam yang akan menamatkan perkhidmatan.

Puan Yang Terutama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 24 Mei 2022.

Puan Yang Terutama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 24 Mei 2022.

Tuan Yang Terutama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Viet Nam ke Negara Brunei Darussalam telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 13 September 2023.

Majlis-majlis Mengadap tersebut telah berlangsung di Qashr Al-Meezaan.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Kdymm Menerima Mengadap Ketua-Ketua Perwakilan Asing Yang Menamatkan  Perkhidmatan

Kdymm Menerima Mengadap Ketua-Ketua Perwakilan Asing Yang Menamatkan  Perkhidmatan

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini berkenan menerima mengadap secara berasingan Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam; Puan Yang Terutama Caryn R. McClelland, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam; dan Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Viet Nam ke Negara Brunei Darussalam yang akan menamatkan perkhidmatan.

Puan Yang Terutama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 24 Mei 2022.

Puan Yang Terutama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 24 Mei 2022.

Tuan Yang Terutama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Viet Nam ke Negara Brunei Darussalam telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 13 September 2023.

Majlis-majlis Mengadap tersebut telah berlangsung di Istana Nurul Iman.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto infofoto

KDYMM Menerima mengadap Menteri Kesihatan Republik Indonesia

KDYMM Menerima mengadap Menteri Kesihatan Republik Indonesia

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal BolkiahMu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap Menteri Kesihatan Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Budi Gunadi Sadikin.

Tuan Yang Terutama berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan kerja selama satu hari untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang-bidang berkepentingan bersama, khususnya sektor kesihatan. Lawatan ini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan, memperkasa pembangunan kapasiti tenaga kerja kesihatan serta perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik antara kedua-dua negara.

Sebagai sebahagian daripada lawatan tersebut, Memorandum Persefahaman dalam bidang kerjasama kesihatan telah ditandatangani antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia yang mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan dan penambahbaikan sistem kesihatan demi kepentingan bersama. Tuan Yang Terutama juga mengadakan lawatan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Menyertai Tuan Yang Terutama pada Majlis Mengadap yang berlangsung di Istana Nurul Iman ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr. Achmad Ubaedillah; dan Timbalan Menteri Kesihatan Republik Indonesia, Yang Mulia Yuli Farianti.

Turut hadir semasa Majlis Mengadap tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Keberangkatan KDYMM Balik Meninggalkan Kazan, Persekutuan Rusia

Keberangkatan KDYMM Balik Meninggalkan Kazan, Persekutuan Rusia

Selesai Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat meninggalkan Kazan, Persekutuan Rusia.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Sebelum berangkat balik, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan bagi menyembahkan ucapan selamat berangkat Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Tuan Yang Terutama Alexey Pesoshin, Perdana Menteri Republik Tatarstan; dan Tuan Yang Terutama Yuri Kamaltynov, Deputy Chairman of the State Council of the Republic of Tatarstan.

Turut hadir ialah Tuan Yang Terutama Pengiran Muhammad Husaini bin Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Persekutuan Rusia dan para pegawai Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Moscow.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

KDYMM Berangkat Menghadiri Sidang Kemuncak Komemoratif Asean-Rusia

KDYMM Berangkat Menghadiri Sidang Kemuncak Komemoratif Asean-Rusia

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia yang berlangsung di Kazan Expo International Exhibition Centre.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Pada Sesi Plenari Pertama bagi Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula menzahirkan rasa penghargaan yang mendalam kepada Yang Terutama Presiden Vladimir Putin atas sambutan mesra serta layanan yang baik yang dihulurkan oleh Kerajaan Republik Tatarstan dan rakyat Kazan. Baginda juga menyampaikan ucapan takziah kepada Tuan Yang Terutama Anutin Charnvirakul, Perdana Menteri Thailand atas kemangkatan Her Royal Highness Princess Bajrakitiyabha, Kerajaan Thailand.

Menyentuh mengenai perkembangan Hubungan Perkongsian ASEAN-Rusia sepanjang tiga puluh lima tahun, di samping perubahan-perubahan signifikan yang telah membentuk rantau ini dan secara global, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan bahawa hubungan ini telah membuktikan kedayatahahan dan kepentingan yang semakin meningkat dalam menghadapi transformasi global. Tambahan lagi, kerjasama ASEAN-Rusia telah diperkukuhkan merentasi tiga tunggak Komuniti ASEAN yang mencerminkan komitmen teguh Rusia terhadap usaha-usaha serantau ASEAN serta matlamat bersama dalam memelihara keamanan, keselamatan dan kemakmuran.

Tambahan lagi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan bahawa melalui kerjasama ini, hubungan perkongsian tersebut telah mencapai manfaat ketara dan menanai hubungan persahabatan yang rapat di antara rakyat daripada kedua-dua rantau. Dalam usaha ASEAN ke arah merealisasikan Wawasan 2045, ASEAN berdepan dengan persekitaran global yang semakin mencabar, berikutan ketegangan politik dan ekonomi, cabaran perubahan iklim dan kemajuan teknologi yang pesat. Dalam hal ini, Baginda menggariskan bahawa kerjasama ASEAN-Rusia akan kekal menjadi penting dalam memperkukuhkan daya tahan secara kolektif dan memajukan keamanan, kestabilan dan kemakmuran dalam bidang-bidang yang boleh membawa impak yang bermakna, termasuk keselamatan tenaga dan makanan, tindakan menangani perubahan iklim, pengurusan bencana dan cabaran keselamatan bukan tradisional.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menekankan bahawa teras kepada segala usaha tersebut adalah rakyat, yang mana melalui pendidikan, pertukaran dan program latihan, generasi masa hadapan perlu dilengkapkan dengan kemahiran dan rangkaian yang diperlukan untuk memperkukuhkan perkongsian ini. Pada dasarnya, hubungan ASEAN-Rusia akan dinilai melalui manfaat sebenar yang dapat dinikmati oleh rakyat.

Akhir sekali, Baginda menyambut baik Deklarasi Kazan 2026, yang menegaskan semula komitmen terhadap memperkukuhkan Perkongsian Strategik ASEAN-Rusia. Dalam pada itu, Baginda juga menyatakan keyakinan bahawa, dalam mengemudi tiga puluh lima tahun yang akan datang, kedua-dua pihak akan memanfaatkan kepercayaan dan kerjasama yang telah dibina sekian lama bagi menghadapi cabaran-cabaran masa hadapan dengan jayanya.

Pada penghujung Sesi Plenari tersebut, empat (4) dokumen telahpun diluluskan, iaitu: Kazan Declaration 2026: ASEAN-Russian Federation: Unity in Diversity – 35 Years Together ; Comprehensive Plan of Action to Implement ASEAN-Russian Federation Strategic Partnership (2026–2030); Joint Statement of ASEAN and the Russian Federation on Energy Cooperation; dan Joint Statement of ASEAN and the Russian Federation on Cultural Cooperation

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama Ketua-Ketua Delegasi yang lainnya seterusnya berangkat menghadiri Sesi Plenari Kedua (Majlis Santap Tengah Hari). Majlis Santap Tengah Hari Pemimpin Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia bertemakan “Integration Processes in Eurasia”. Semasa Majlis Santap tersebut, Setiausaha Agung ASEAN, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan Pengerusi Lembaga Suruhanjaya Ekonomi Eurasia (EEC) telah menyampaikan ucapan serta laporan mengenai hasil Forum Perniagaan ASEAN Rusia – acara sampingan Sidang Kemuncak Komemoratif – yang telah diadakan pada 17 Jun 2026 di Kazan, Persekutuan Rusia.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto