KDYMM Menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala Bersama Tuan Yang Terutama Presiden Persekutuan Rusia

KDYMM Menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala Bersama Tuan Yang Terutama Presiden Persekutuan Rusia

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Tuan Yang Terutama Vladimir Putin, Presiden Persekutuan Rusia, yang diadakan di Kazan, Persekutuan Rusia.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Semasa Majlis Perjumpaan Dua Hala tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menzahirkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Presiden Putin kerana menghoskan Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia. Sudah lebih satu dekad sejak keberangkatan terakhir ke Rusia, yang mana Baginda turut mengimbas kembali keberangkatan dan pertukaran lawatan sebelum ini, termasuk mengalu-alukan Tuan Yang Terutama Presiden Putin ke Negara Brunei Darussalam semasa Mesyuarat Ketua-Ketua Ekonomi APEC pada tahun 2000 dan penyertaan Tuan Yang Terutama secara dalam talian semasa Negara Brunei Darussalam menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2021.

Mengenai hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa tahun ini amat bermakna memandangkan kedua-dua negara akan memperingati ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik pada bulan Oktober nanti. Hubungan tersebut telah berkembang menjadi kerjasama yang kukuh dan substantif dalam pelbagai bidang utama seperti pendidikan, pertahanan, keselamatan serta pertukaran antara rakyat. Pada masa yang sama, kemajuan yang berterusan juga telah dicapai melalui Kumpulan Kerja Bersama dan Perbincangan Staf Tentera Laut. Dalam hubungan ini, Baginda menekankan kepentingan untuk memperkukuhkan lagi kerjasama, termasuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Tentera Laut serta beberapa perjanjian lain yang masih dalam pertimbangan, bagi menjana manfaat yang nyata kepada kedua-dua negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengalu-alukan para pelajar Rusia untuk mempertimbangkan Brunei sebagai destinasi pengajian mereka bagi mengukuhkan lagi pertukaran antara rakyat serta bagi syarikat-syarikat Rusia untuk meneroka peluang pelaburan di Brunei dalam bidang seperti industri hiliran minyak dan gas, makanan, perkhidmatan, pelancongan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Di samping itu, Baginda berharap agar Rusia akan menyokong usaha Pusat Perubahan Iklim ASEAN di NegaraBrunei Darussalam apabila pusat tersebut mula beroperasi.

Menyentuh mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan Persekutuan Rusia terhadap ASEAN Centrality dan berpandangan bahawa Hubungan Dialog merupakan platform penting bagi menggalakkan penglibatan yang konstruktif. Dalam perkara ini, Baginda berharap kerjasama antara Brunei dan Rusia akan terus diperkukuhkan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta forum-forum pelbagai hala yang lain dalam usaha menegakkan undang-undang antarabangsa yang berasaskan peraturan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan kebimbangan yang mendalam mengenai krisis di Timur Tengah, khususnya berhubung isu Palestin, dan menegaskan semula sokongan terhadap penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka berdasarkan penyelesaian dua negara serta sempadan sebelum tahun 1967. Dalam menyeru agar pertikaian dihentikan serta-merta dan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza diberikan tanpa halangan, Baginda menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan Rusia dalam memperjuangkan isu Palestin. Baginda turut menegaskan kedudukan teguh Brunei yang menentang penggunaan kekerasan dalam situasi yang melibatkan Iran, sekaligus menyeru semua pihak untuk melibatkan diri secara tulus ikhlas dalam diplomasi dan dialog demi mencapai keamanan yang adil dan berkekalan. Baginda juga menyatakan harapan agar usaha-usaha diplomatik dapat membantu melindungi perdagangan, mengurangkan ketegangan serantau bagi penyelesaian yang aman dan segera di rantau berkenaan, termasuk Selat Hormuz.

Pada akhir mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia merakamkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Presiden Vladimir Putin atas komitmen beliau dalam memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara, serta mengundang Tuan Yang Terutama untuk mengadakan Lawatan Negara ke Negara Brunei Darussalam.

Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia menjalinkan hubungan diplomatic pada 1 Oktober 1991, dan menikmati hubungan yang mesra dan mesra dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan, pendidikan, budaya serta pertukaran rakyat.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Berangkat Tiba Di Kazan, Persekutuan Rusia

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Berangkat Tiba Di Kazan, Persekutuan Rusia

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat tiba di Kazan, Persekutuan Rusia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia yang akan berlangsung pada 17 hingga 18 Jun 2026.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan dijunjung oleh Tuan Yang Terutama Rustam Minnikhanov, Rais Republik Tatarstan, Persekutuan Rusia.

Juga hadir menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Tuan Yang Terutama Pengiran Muhammad Husaini bin Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Persekutuan Rusia.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Berkenan Mempengerusikan Persidangan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Berkenan Mempengerusikan Persidangan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan mempengerusikan Persidangan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet, yang berlangsung di Istana Nurul Iman.

Berangkat sama ke Persidangan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet.

Semasa mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah.

Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Ini merupakan mesyuarat kabinet yang pertama sejak pelantikan Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri yang baharu yang berkuatkuasa pada 4 Jun 2026. Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri yang baharu telah mengangkat sumpah pada Isnin, 8 Jun 2026 dengan pelantikan seramai 17 orang Menteri dan 4 orang Timbalan Menteri bagi tempoh empat tahun.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM AKAN BERANGKAT MENGHADIRI SIDANG KEMUNCAK KOMEMORATIF ASEAN-RUSIA

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM AKAN BERANGKAT MENGHADIRI SIDANG KEMUNCAK KOMEMORATIF ASEAN-RUSIA

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia pada 17 hingga 18 Jun 2026 di Kazan, Persekutuan Russia.

Sidang Kemuncak Komemoratif ini – yang diadakan bersempena ulang tahun ke-35 bagi Hubungan ASEAN-Rusia – akan dipengerusikan bersama oleh Tuan Yang Terutama Ferdinand R. Marcos Jr., Presiden Republik Filipina selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini, dan Tuan Yang Terutama Vladimir Putin, Presiden Persekutuan Rusia, serta dihadiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta para Pemimpin ASEAN yang lainnya.

Sidang Kemuncak Komemoratif tersebut akan melihat semula kemajuan yang telah dicapai di bawah Pelan Tindakan Komprehensif (CPA) ASEAN-Rusia bagi tahun 2021 – 2025, di samping membincangkan hala tuju kerjasama masa hadapan serta memperbaharui komitmen untuk memperkukuhkan lagi Perkongsian Strategik ASEAN-Rusia.

Sumber berita Jabatan Perdana Menteri
Sumber foto Infofoto

Berangkat ke Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48

Berangkat ke Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Mactan Expo, Cebu City, Republik Filipina.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dialu-alukan oleh Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Ferdinand R. Marcos Jr. dan isteri, First Lady Louise Araneta-Marcos.

Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48, yang juga dihadiri oleh para pemimpin ASEAN ini dimulakan dengan lagu tema ASEAN, ‘The ASEAN Way’, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Tuan Yang Terutama Presiden Republik Filipina selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, di mana Tuan Yang Terutama mengalu-alukan kehadiran para pemimpin dan delegasi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu City.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Berangkat ke Majlis Santap Malam

Berangkat ke Majlis Santap Malam

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Santap Malam yang dihoskan oleh Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Ferdinand R. Marcos Jr. dan isteri, First Lady Louise Araneta-Marcos yang berlangsung di Cowrie Cove, Shangri-La Mactan Resort, Cebu, malam tadi.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama Presiden Republik Filipina dan isteri.

Turut hadir pada Majlis Santap tersebut ialah para pemimpin ASEAN lain yang berada di Cebu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 pada Jumaat, 8 Mei 2026. 

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto